kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan bandingkan PT3 dengan PMR

Walaupun hasil keputusan sulung ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menyaksikan keputusan yang agak luar biasa dengan beberapa buah sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran, namun majoriti sekolah terkenal yang sebelum ini secara tradisinya mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), merekodkan kemerosotan prestasi yang agak ketara dalam PT3 ini.

Akibatnya kebanyakan sekolah tersebut mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Rata-rata barisan pengetua yang terlibat melaporkan mengalami kemerosotan ketara berbanding keputusan PMR sebelum ini.

Malah bukan saja pihak sekolah, malah ibu bapa juga kelihatan ada yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak menepati ramalan untuk mencatatkan keputusan cemerlang. Lebih membimbangkan apabila ada sekolah yang mencatatkan keputusan yang sangat merisaukan dalam beberapa mata pelajaran penting seperti Matematik dan Sains apabila majoriti calon PT3 dikatakan tidak dapat menguasai tahap minimum atau hanya mendapat keputusan F.

Kita percaya ini satu situasi yang pastinya membimbangkan ramai pihak terutamanya pihak sekolah yang mahu mengekalkan rekod prestasi yang cemerlang serta ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mencapai kejayaan.

Namun ada kalanya kita perlu berfikiran lebih rasional dan memandang jauh ke hadapan demi masa depan anak-anak itu sendiri di samping memenuhi tuntutan untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu berfikir dengan baik dan seterusnya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran secara nyata dan abadi dan bukannya di atas kertas peperiksaan semata-mata.



Antara gelagat pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam ketika mengambil keputusan PT3 di sekolah tersebut kelmarin. – UTUSAN/Mohd Shaharani Saibi

Hakikatnya PT3 dan PMR adalah dua kaedah penilaian yang sangat berbeza dan apa yang lebih penting tidak wajar sama sekali untuk mana-mana pihak untuk membandingkan prestasi pencapaian kedua-dua penilaian terbabit.

Secara ringkasnya format peperiksaan dan penilaian kedua-dua peperiksaan ini jauh berbeza misalnya melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai persediaan pelajar untuk menduduki peperiksaan di tingkatan lima nanti dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR. Malah PT3 yang merupakan salah satu komponen dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Terimalah kenyataan bahawa ini adalah kali pertama kita mengadakan PT3. Maka semua data dan pencapaian ini perlu dilihat sebagai data baharu dan tidak wajar dibandingkan dengan rekod PMR sebelum ini. Maka realitinya, keputusan yang dikeluarkan itu juga tidak boleh dirumuskan sebagai mengalami sebarang peningkatan atau penurunan kerana berbeza dengan peperiksaan terdahulu.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd. Yusof, pentaksiran ini digubal untuk melihat tahap penguasaan anak-anak kita selepas belajar selama tiga tahun di peringkat menengah rendah, yang mana untuk PT3 pendekatan penetapan standard untuk penentuan skor mengikut penggredan A, B, C, D dan seterusnya jika mereka layak gred A kita bagi keputusan itu.

Dan ia jauh berbeza dengan PMR di mana kita menggunakan kaedah penentuan standard yang mana penentuan penggredan mengikut beberapa perkara antaranya mengikut trend tiga tahun lepas, statistik dan norma tetapi untuk PT3 bergantung sepenuhnya kepada pelajar itu sendiri dan tidak dilihat pada trend sebelum ini. Apa yang penting dalam PT3 ini ialah tidak seharusnya dilihat kepada akademik semata-mata tetapi perlu dirangkumkan bersama komponen lain iaitu pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik bagi melahirkan pelajar yang holistik.

Justeru kita perlu rasional dengan perubahan sistem pendidikan negara yang berteraskan kepada kemampuan pelajar itu sendiri dalam menguasai proses pendidikan yang bersifat global dan berdaya saing. Maka dalam konteks ini mengambil kira masa depan anak-anak, baik pihak sekolah mahupun ibu bapa tidak wajar melatah dan marah.

Walaupun prestasi anak-anak kita mungkin kurang memberangsangkan dalam PT3 ini namun percayalah mereka sebenarnya sangat beruntung kerana menjadi kelompok perintis yang bukan saja mencipta sejarah baharu dunia pendidikan negara malah mereka diberi peluang untuk melalui satu proses pembelajaran dan pemikiran yang cukup kritis dan holistik demi masa depan yang lebih gemilang.

Dalam hal ini kita juga sangat berharap agar ibu bapa tidak menyalahkan anak-anak mereka atau memberi tekanan yang berlebihan. Kita yakin semua calon telah cuba sehabis baik untuk mencapai keputusan cemerlang. Kita khuatir tekanan yang berlebihan boleh menyebabkan emosi dan psikologi pelajar terganggu. Maka di sini peranan ibu bapa dan guru cukup penting. Pujuk, beri nasihat dan jelaskan kepada anak-anak kita kepentingan PT3 ini seterusnya menyuntik semangat dan motivasi mereka untuk cemerlang di SPM kelak.

Dalam aspek ini penulis sangat bersetuju dengan pandangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan PT3 yang diumumkan tidak seperti yang dijangkakan. Sewajarnya percubaan pertama oleh Kementerian Pendidikan perlu dipandang secara positif.

Apapun kita perlu akui bahawa antara punca yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan prestasi sekolah dan pelajar dalam PT3 ini ialah kekurangan tempoh masa yang sewajarnya untuk para guru dan pelajar membuat persediaan yang secukupnya. Kita perlu akui kelemahan ini dan diharapkan kelemahan ini dapat dan mampu diatasi pada tahun hadapan.

Pihak sekolah terutamanya perlu membuat analisis dan kajian yang sewajarnya berdasarkan keputusan PT3 tahun ini supaya dapat tampil dengan kaedah dan strategi baharu bagi menghadapi PT3 tahun depan.

Pihak Kementerian Pendidikan juga perlu memberikan latihan yang sewajarnya kepada semua tenaga pengajar dan penilai yang terlibat dalam PT3 supaya dapat memberikan impak yang diharapkan.

Ringkasnya jangan sesekali bandingkan PT3 dan juga PMR. Jangan juga cepat melatah dan menyalahkan pihak kementerian dengan tuduhan membuat perubahan secara tergesa-gesa.

Cuba teliti, memahami dan terima sisi positif dan impak pelaksanaan PT3 secara jujur dan ikhlas. Pastinya apa yang kita tidak boleh nafikan ialah pelajar yang cemerlang dalam PT3 ini adalah mereka yang seimbang dalam akademik dan juga penglibatan aktiviti luar yang sekaligus bakal melahirkan generasi modal insan keperluan negara yang holistik. Penulis ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia

Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Arguments against use of CEFR flawed

    I REFER to the letter “Adopt a Malaysian framework” (NST, May 28), in which the writer attempts to make a case for rejecting the…

  • Kita kurang guru bahasa Inggeris

    “Desak guru ambil MUET, NUTP minta menteri campur tangan” adalah berdasarkan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments