kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu Persatuan Bolasepak Perlis

Pemain Perlis merana


PEMAIN skuad Liga Premier Perlis kini merana. Penat lelah mereka sepanjang musim ini tidak dihargai ekoran kegagalan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gaji mereka selama enam bulan.


PARA pemain Perlis (jersi biru) dilaporkan tidak mendapat gaji daripada PFA sejak bulan Jun lalu.

Difahamkan, para pemain skuad Singa Utara itu tidak mendapat bayaran gaji mereka sejak bulan Jun lalu.

Akibatnya, ramai pemain terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara kehidupan harian.

Tindakan kurang profesional PFA itu dikecam oleh Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkannya sebagai perbuatan yang memalukan.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan bahawa tindakan PFA menahan gaji pemain selama enam bulan adalah satu perbuatan tidak profesional.

Baginda menganggapnya sebagai satu penderaan kerana ia menyukar para pemain terbabit meneruskan kehidupan harian mereka.

“Perkara tersebut telah pun dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak dua bulan lalu dan berharap kejadian itu tidak akan berulang lagi dengan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

“Sebagai Penaung PFAM, saya menggesa agar Persatuan Bola Sepak Perlis menyelesaikan segera gaji para pemain mereka yang masih tertunggak.

“Perlis FA telah menahan gaji pemain sehingga tertunggak enam bulan dan ia menyebabkan ramai di antara mereka (pemain) terpaksa berhenti bermain bola sepak atau melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk menyara hidup keluarga mereka.

“PFAM telah pun mengemukakan kes ini kepada FAM dan setakat ini, belum nampak lagi tindakan yang diambil oleh pihak FAM atau PFA untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Para pemain telah pun menunjukkan kesungguhan mereka di atas padang, maka sudah menjadi tanggungjawab setiap persatuan untuk memainkan peranan yang sewajarnya bagi memastikan kebajikan pemain sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Ekoran tuntutan daripada para pemain terbabit, PFA yang kini diterajui Datuk Rozabil Abd Rahman menjelaskan bahawa pihaknya sudah melunaskan sebulan gaji kepada pemain kepada skuad Singa Utara itu pada September lalu manakala bakinya akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Perlis yang pernah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2004 dan 2006, tersingkir ke Liga FAM musim depan selepas menduduki tangga ke-11 dalam saingan Liga Premier apabila sekadar mengutip 12 mata dalam 22 perlawanan.



PFA banyak tipu muslihat

KEMELUT dalaman Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) semakin memuncak apabila persatuan tersebut dikatakan masih enggan melunaskan tunggakan gaji para pemainnya sejak bulan Jun hingga November.

Semalam, Presiden PFA, Datuk Rozabil Abd Rahman dilaporkan telah menjelaskan bayaran gaji sebulan kepada pemain skuad Singa Utara itu pada September lalu.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh salah seorang pemain Perlis yang enggan dikenali dan dia menjelaskan bahawa pembayaran pada September itu adalah untuk gaji pada bulan Jun dan PFA masih perlu menjelaskan baki tunggakan empat bulan lagi kepada mereka.

Jelas pemain tersebut yang kini terpaksa berniaga menjual air minuman selepas tidak menerima bayaran gaji selama lima bulan, PFA cuba bermain kotor apabila enggan melunaskan gaji mereka dan sekadar membayar RM1,500 kepada setiap pemain untuk menutup kes tersebut.

“Itu (bayaran pada September) adalah gaji untuk bulan Jun tetapi dibayar pada September dan itulah gaji terakhir yang kami dapat. Sebenarnya, perkara itu masih belum selesai kerana kami masih ada kontrak sehingga 30 November.

“Sepanjang saya bermain bola sepak, persatuan wajib bayar penuh selepas 30 hari perlawanan terakhir sebelum bertindak menamatkan mana-mana kontrak pemain. Berdasarkan kontrak kami, kami berhak mendapat bayaran penuh selepas merujuk kontrak itu sendiri kepada Pesuruhjaya Sukan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Saya difahamkan PFA mahu melunaskan tunggakan gaji kami. Bagitupun ia sekadar khabar angin kerana baru sebentar tadi (petang semalam), kami ditawarkan RM1,500 untuk gaji bulan Jun dan lebih menyedihkan, ada beberapa pemain bersetuju kerana tidak tahan dengan masalah kewangan biarpun sebenarnya kami berhak dapat lebih daripada itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Menurutnya, mereka hanya mahu PFA menjelaskan dua bulan kerana menyedari persatuan berada dalam kedudukan kewangan yang sangat tenat.

“Kami mahu mencapai kata sepakat dan mahu PFA menjelaskan dua bulan sahaja dan bukan empat bulan gaji (sehingga November) memandangkan kami sudah tiada lagi perlawanan.

“Malangnya, mereka enggan berbuat demikian dan cuba mengertak kami dengan mendakwa, mereka boleh menamatkan kontrak kami. Untuk memburukkan lagi keadaan, kami pula yang dituduh terlibat dengan rasuah.

“PFA pula mengajak kami berbincang dengan menghantar satu pesanan menerusi ‘Whatsapp’ sahaja. Tiada sebarang surat rasmi ataupun panggilan telefon. Lebih teruk, mereka mengugut kami, jika kami tidak hadir, ia dianggap bersetuju yang mana mereka hanya mahu membayar gaji pada Jun sahaja,” ujarnya.

Pemain itu sendiri memberitahu, ahli majlis PFA sendiri didakwa terlibat dalam skandal rasuah dan merekalah yang bertindak mengatur perlawanan dalam Liga Premier musim ini.

“Tidak dapat dinafikan, ada pemain Perlis mengambil rasuah tetapi ahli majlis PFA sendiri yang mengatur pemain-pemain ini. Saya cukup kecewa dan saya berani bersumpah tidak mengambil rasuah tersebut.

“Skuad Perlis tahun ini sudah ‘mati’. Kami begitu tertekan. Ada sebilangan besar pemain terpaksa menjual kereta mereka untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kehidupan seharian. Malah, ada terpaksa ikat perut ketika menjalani perayaan Aidilfitri pada Julai lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain terbabit memberitahu, kesalahan tersebut tidak wajar diletakkan seratus peratus kepada Rozabil kerana Naib Presiden FAM itu telah menjadi mangsa keadaan oleh individu tertentu dalam PFA.

Katanya, barisan pemain Perlis tahu siapa dalang sebenar tetapi enggan mendedahkan individu tersebut kerana butiran laporan telah dikemukakan kepada FAM dan PFAM.


Ahmad Fazli Mohd Yadi Kosmo Sukan 24 Disember 2014


PFA jamin selesai masalah tunggakan gaji pemain

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) memberi jaminan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain skuad 'Singa Utara' sejak Jun lepas.

Setiausaha Kehormatnya, Marzuki Mohd Sani berkata, PFA sedang membuat pembayaran gaji secara berperingkat dan pemain terlibat akan menerima pembayaran gaji sepenuhnya tidak lama lagi.

"Bukan kami tidak mahu membayar gaji tetapi mungkin disebabkan oleh beberapa  faktor lain yang menyebabkan para pemain lewat menerima gaji masing-masing.


"Kami pernah mengadakan perjumpaan dengan para pemain lebih kurang September lepas di Dewan Pusat Kubang Gajah, Arau, dan rata-rata mereka bersetuju dengan proses pembayaran gaji seperti yang kami terangkan dalam sesi perbincangan itu," kata Marzuki hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa PFA gagal menyelesaikan masalah bayaran gaji pemain pasukan itu yang tertunggak sejak enam bulan lepas.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu menerusi laman Facebook rasmi Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mendakwa ramai pemain skuad 'Singa Utara' terpaksa berhenti bermain bola sepak atau melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk menyara keluarga mereka disebabkan masalah itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Marzuki melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah bersikap 'lepas tangan' dalam membantu PFA yang  ihimpit masalah kewangan kritikal dalam menghadapi saingan Liga Malaysia sejak beberapa musim lepas. - Bernama 23 Disember 2014
Tags: bolasepak, sukan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments