kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kerajaan negeri perlu konsisten iktiraf penulis

Setiap tahun Kerajaan Persekutuan menghargai penulis kreatif yang berjaya melalui Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Hadiah ini diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya terbaik dalam bidang esei dan kreatif meliputi untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Sayangnya tidak semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama.


Penulisan kreatif mempunyai peranan dalam tamadun sesuatu bangsa. Ia menjawab atau memenuhi keperluan yang tidak bersifat fizikal atau luaran, sebaliknya yang berkaitan dengan spiritual, emosi serta kebijakan melalui pembacaan. Oleh itu, ia selalu dianggap sebagai bidang penting dalam kehidupan masyarakat, termasuk masyarakat moden.

Jika pimpinan kerajaan negeri di Malaysia menyedari akan hakikat kepentingan sastera dan penulisan kreatif, sewajarnya mereka mengambil langkah menghargai semua penulis pada setiap tahun di negeri masing-masing.

Penghargaan tenggelam timbul

Penghargaan negeri kepada penulisnya adalah dalam situasi tenggelam timbul, atau sekejap ada sekejap tiada. Hanya beberapa negeri yang agak konsisten menghargai penulis yang berjaya. Antaranya ialah Sabah, Sarawak, Johor dan Perak. Tahniah diucapkan kepada pimpinan kerajaan negeri itu.

Pada peringkat negeri yang disebutkan, biasanya terdapat dua tahap anugerah. Tahap tertinggi, diberikan kepada penulis berdasarkan sumbangan cemerlang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Penulis ini menerima hadiah tertinggi, yang dianggap sebagai sasterawan negeri. Contoh terbaharu ialah Jong Chian Lai yang menerima Anugerah Sasterawan Sarawak 2014 dan Malim Ghozali Pk yang menerima gelar Sasterawan Perak Darul Ridzuan 2014.

Tahap kedua, biasanya membabitkan genre esei, kajian, serta genre kreatif seperti puisi, drama, cerpen dan novel. Sesetengah negeri membuka ruang lebih luas kepada genre kreatif bagi meliputi karya untuk pembaca sasaran golongan kanak-kanak dan remaja juga.

Beri kesedaran umum

Peluasan hadiah kepada karya terbaik untuk bacaan kanak-kanak dan remaja, sedikit sebanyak memberi kesedaran umum, khususnya kepada ibu bapa, akan bahan bacaan bermutu yang ada di pasaran.

Bahan-bahan itu boleh dibeli dan diberikan kepada anak-anak sebagai proses pendidikan dan hiburan.

Kini sebahagian golongan kanak-kanak dan remaja agak menjauhkan diri dari buku. Mereka lebih gemar melihat skrin iPad, komputer dan sebagainya. Pembacaan, walau apa pun halangannya, masih suatu kaedah untuk kita membijaksanakan generasi muda.

Oleh itu wajar jumlah buku untuk kanak-kanak dan remaja dipertingkatkan kuantiti dan kualitinya. Serta wajarlah buku-buku yang terbaik untuk golongan ini dihargai pada peringkat negeri juga.

Karya kreatif golongan dewasa

Bagi karya kreatif untuk golongan dewasa, penghargaan kepada penulis peringkat negeri dapat memberi dua petunjuk. Pertama, mengenal pasti penulis terbaik pada peringkat negeri dalam sesuatu tahun penilaian.

Petunjuk kedua, secara tidak langsung menyarankan nama penulis yang layak diketengahkan bagi menerima pengiktirafan lebih tinggi pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Pengiktirafan antarabangsa termasuklah SEA Write Award, Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Anugerah Sastera MASTERA.

Tanpa hadiah pada peringkat negeri kadang-kadang menyebabkan nama penulis terkenalnya hilang dari radar perhatian penilaian peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ada persatuan negeri bagi pihak penulis tertentu, atau penulis negeri yang mengeluh akibat gejala ini kerana seolah-olah pengorbanan dan karya mereka tidak mendapat penilaian serta penghargaan sewajarnya.

Oleh sebab hadiah sastera peringkat negeri mempunyai natijah yang berantaian dengan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, wajarlah setiap negeri memberi hadiah sastera secara tahunan kepada penulis yang terbaik.

Kepemimpinan negeri harus peka akan hal ini, kerana mutiara negeri boleh bersinar lebih cerah pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Tags: penulis
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments