kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Saifuddin ahli politik progresif

Penampilan Datuk Saifuddin Abdullah dalam barisan Majlis Tertinggi Umno Malaysia sepanjang 2009 hingga 2013 mewarnai dunia politik. Lontaran buah fikiran dan pandangan beliau yang bernas dan terbuka melalui media massa, persidangan dan wacana juga sering menjadi tarikan ramai khususnya golongan aliran indie.

Datuk Saifuddin Abdullah

Beliau yang menjadi ahli Umno pada 1986, telah memenangi kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihanraya Umum (PRU) Mac 2008, namun kecundang dalam PRU13 tahun lalu. Namun di sebalik kegagalan itu, adakah  ini bermakna perjuangan beliau terhenti begitu sahaja?

Apabila ditebak soalan sebegitu, anak kelahiran Temerloh Pahang ini tidak pernah anggap politik sebagai kerjaya tetapi sambungan kerja dakwah.

“Adat politik ada jatuh bangun.Mungkin latihan saya sebagai pendakwah, itulah yang saya bawa ke mana-mana dan teruskan walaupun sekarang saya tiada jawatan dalam Umno.

“Rukun perjuangan saya ada tiga iaitu idealism, aktivisme dan intelektualisme. Penglibatan saya sebagai ahli politik bermula sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), berucap dalam Perhimpunan Agung Umno, tahun 2000,” kata beliau yang kini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Graduan lulusan bidang Sejarah dan perniagaan dari Universiti Malaya (UM) pada1984, mendapat didikan dan latihan daripada bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Sarit Yusoh apabila dilantik sebagai pembantu peribadinya selama empat tahun.

Pendedahan aktivisme
Saifuddin bersama isteri, Datin Norlin Shamsul Bahri
dan puterinya, Nur Madihah.


Saifuddin mempromosikan idea politik baru sejak 2006 dan menerbitkan bukunya Politik Baru, pada 2008. Sehingga kini, beliau membincang empat perkara tersebut iaitu integriti, kerangka governance antara semua pihak – kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil, inovasi demokrasi, dan pemikiran progresif.

Dalam masa sama, ada pihak yang seolah-olah memulangkan paku buah keras apabila mengatakan politik baru yang dipromosikan itu telah makan diri tuannya (Saifuddin). Bagaimanapun beliau menegaskan pengundi masa kini mengikut politik baru, yang pendekatannya digunakan parti pembangkang.

Dari aspek kepimpinan dan keilmuan tokoh pemimpin ini, ia bermula sejak beliau belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak (1974-1980). Saifuddin pernah menjadi ketua murid, ketua pengarang majalah sekolah, ketua pasukan debat, pengerusi badan agama, pemain bola keranjang dan penolong setiausaha Kesatuan Pelajar Islam Perak, Cawangan Kuala Kangsar (di luar sekolah).

Beliau menghargai bapanya, Abdullah Long dan ibunya, Ramlah Uda yang juga guru sebagai sumber inspirasinya untuk berjaya, manakala dari segi melihat dunia lebih besar bermula di MCKK yang menyediakan speaker corner.

“Di sana, saya banyak terlibat dalam pertandingan debat dan bola keranjang. Hari ini pun bila saya berfikir soal aktivisme, pengurusan dan politik, sebenarnya dipengaruhi dua bidang tersebut,” katanya yang kini banyak ikuti debat dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya, debat mempunyai elemen budaya ilmu, untuk menentukan fakta itu betul atau tidak. Dalam Islam, debat sebagai strategi dakwah iaitu kebijaksanaan, pengajaran baik dan berdialog dengan cara terbaik (ayat 125, Surah An-Nahl). Ramai menteri dan setiausaha politik sekarang pernah menjadi pendebat di sekolah dan universiti,” katanya.

Pendedahan aktivisme

Penaung Institut Debat & Pengucapan Awam Malaysia (MIDP) ini berkata, minatnya dalam aktivisme sewaktu di MCKK, apabila murid tua  Datuk Anwar Ibrahim yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) rentetan demonstrasi Baling 1974 diperkenalkan oleh pelajar senior.

“Dari situ baru saya kenal apa itu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),” katanya.

Sewaktu di UM, Saifuddin terus bergiat dalam PKPIM seterusnya menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusinya, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) yang kemudiannya dilantik sebagai presidennya selama dua tahun.

Saifuddin menyarankan kepada golongan siswa buat tiga perkara dan seimbangkan iaitu belajar; cari pengalaman untuk pekerjaan, bukan sekadar duit; dan tanggungjawab sosial.
Tags: politik, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments