kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PT3 tak jejas kemasukan ke aliran sains, sastera

PUTRAJAYA - Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada Isnin lepas tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Asrama Penuh dan aliran sains atau sastera, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata, murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum  (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3.

“Pemilihan ke aliran tersebut (Sekolah Asrama Penuh dan aliran sains atau sastera) dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3 tetapi juga mengambil kira pelaporan keempat-empat komponen PBS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Datuk Dr Khair Mohamad Yusof
Dr Khair juga menjelaskan bahawa PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan uji kaji dan ia tidak disediakan dalam masa yang singkat sebaliknya soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah diguna pakai untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Beliau berkata, format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS) yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian  bertulis, kajian lapangan, kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak.

“Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012,” katanya.

Dr Khair juga menjelaskan bahawa pelaksanaan PT3 untuk menggantikan PMR dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir.

“Justeru, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi kerana negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis, kreatif dan mendorong mereka untuk berfikir di luar kotak,” katanya.

Dr Khair berkata, PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian akademik calon dari segi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Melalui PT3, beliau berkata, calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. - Bernama
Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments