kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu PT3: Murid bukan bahan ujikaji

SHAH ALAM - Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukan menjadikan pelajar sebagai bahan uji kaji dan ujian itu tidak disediakan dalam masa yang singkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah diguna pakai untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).


Datuk Dr Khair Mohamad Yusof
“Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS). PS yang dilaksanakan mulai tingkatan satu menggalakkan guru mentaksir pelajar dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan, kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, ini bermakna pelajar telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012.

Beliau turut menafikan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) penyebab kemerosotan kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

“Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“PT3 merupakan pentaksiran sumatif setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah,” katanya.

Ujarnya lagi, pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan  manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera," katanya.


Bincang PT3 secara berhemah

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Semua pihak digesa supaya tidak membandingkan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana format kedua-dua peperiksaan tersebut adalah berbeza.

P. Kamalanathan

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, pada masa yang sama, sebarang perbincangan berhubung PT3 perlu dilakukan secara berhemah selain mengambil kira PT3 yang baru diperkenalkan tahun ini.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan segelintir pihak secara membuta tuli mengkritik peperiksaan PT3 yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Malah, saya pasti mereka telah melalui sistem pendidikan sama seperti pelajar lain jika bukan seluruh negara namun sekurang-kurangnya di sekolah masing-masing. Jika mereka dapat memahami format baharu dan menunjukkan prestasi, jadi apa yang memberi cabaran kepada pelajar lain?,” katanya seperti dipetik dalam laman blog http://pkamalanathan.blogspot.com/ di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang menyuarakan prestasi pelajar yang merosot akibat pelaksanaan PT3 yang bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh semalam berkata, pelajar dan ibu bapa perlu mempertimbangkan keputusan ujian PT3 secara menyeluruh supaya pentaksiran tersebut boleh dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya.

Idris berkata, keputusan PT3 akan diambil kira bersama Pentaksiran Psikometrik (Ppsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Sekolah (PS) bagi menentukan aliran yang akan diambil oleh pelajar.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, keberkesanan sesuatu perubahan bukan sentiasa dalam kadar segera terutamanya apabila melibatkan aspek pendidikan.



PT3 dianggap berjaya – GPMS

PULAU PINANG 24 Dis. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berharap kerajaan meneruskan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana pelaksanaannya akan memberi kesan positif terhadap sistem pendidikan negara dalam jangka panjang.

Ketua Penerangannya, Mohd. Adib Anas Md. Noor berkata, PT3 merupakan satu permulaan baik untuk melonjakkan mutu pendidikan di negara ini kerana mengandungi format peperiksaan berkualiti untuk pelajar.

Katanya, melalui PT3, calon diuji dengan soalan berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi seawal usia 15 tahun dan sistem berkenaan telah lama dilaksanakan pada peringkat umur sama di negara maju.

Katanya, walaupun mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak selepas keputusan bagi kumpulan pertama pelajar yang menduduki PT3 diumumkan Isnin lalu, GPMS menyokong penuh peperiksaan berkenaan, namun pada masa sama berharap ada penambahbaikan dilakukan.

“PT3 memberi gambaran bahawa sistem pendidikan menengah di negara ini sedang menghampiri kaedah yang digunakan negara maju untuk menguji pelajar mereka.

“Kita seharusnya menyambut baik transformasi yang dilaksanakan kerajaan dalam bidang pendidikan kerana melalui PT3, penilaian bukan sekadar teori yang dihafal menerusi buku semata-mata tetapi pelajar dituntut berfikir di luar kotak,” katanya di sini hari ini.

Tahun ini, sebanyak 453,413 calon yang menduduki PT3 di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara menerima keputusan masing-masing dan merupakan kumpulan pertama mendudukinya bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan sejak 1993.

Utusan Malaysia Nasional 25 Disember 2014


Calon PT3 bukan bahan uji kaji – Khair

PUTRAJAYA 24 Dis. - Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan bahawa tujuan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bukan untuk menjadikan para pelajar sebagai bahan uji kaji manakala soalannya juga tidak disediakan dalam masa yang singkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof sebaliknya berkata, soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada seperti diguna pakai di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan formatnya selari dengan instrumen Pentaksiran Sekolah (PS) yang dilaksanakan sejak tingkatan satu lagi.

Pada masa sama beliau berkata, keputusan PT3 pada Isnin lalu juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh dan ke aliran sains atau sastera kerana pemilihan turut mengambil kira laporan keempat-empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu PS, Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3.


KHAIR MOHAMAD YUSOF

“Kementerian juga ingin menekankan bahawa keputusan PT3 tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan PMR kerana format dan instrumen kedua-duanya berbeza. Soalan PT3 berbentuk subjektif atau respons terbuka manakala bentuk soalan PMR lebih kepada objektif atau aneka pilihan.

“Struktur soalan baharu PT3 memerlukan pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran ketika menjawab daripada bentuk objektif yang hanya mereka memerlukan menghafal sukatan pelajaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi orang ramai termasuk ibu bapa calon PT3 yang memberi pelbagai respons positif dan negatif mengenai keputusan pentaksiran itu yang diumumkan kelmarin.

Dalam pada itu, Khair turut menjelaskan, nisbah aras kesukaran soalan adalah berbeza iaitu PT3 3:4:3 (rendah: sederhana: sukar) berbanding PMR 5:3:2 (rendah: sederhana: sukar) dan kaedah penggredan masing-masing juga tidak sama.

“Penggredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) sementara penggredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard atau gred dibuat menerusi prestasi keseluruhan calon,” katanya.

Selain itu beliau berkata, PT3 juga merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Khair dalam kenyataannya itu turut menegaskan bahawa dakwaan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dikatakan menjadi penyebab kemerosotan pencapaian pelajar adalah tidak benar kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

Kata beliau, Lembaga Peperiksaan juga amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor dan untuk memastikan perkara tersebut, satu panduan perskoran telah disediakan malah guru-guru dilatih bagi tujuan itu selain melantik pentaksir luar yang berkecuali.

“Kementerian juga ingin menjelaskan empat komponen PBS ini telah disampaikan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak 2012 menerusi program turun padang ‘Outreach PBS Public Engagement PIBG’.

“Di samping itu kementerian juga telah membuat hebahan dan memberi kefahaman mengenai PT3 termasuk PBS menerusi media elektronik, portal Lembaga Peperiksaan termasuk media cetak,” katanya.t

Walau bagaimanapun katanya, kementerian sentiasa menerima pandangan dan maklum balas daripada semua pihak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya.

“Oleh itu, pihak kementerian akan terus meneliti termasuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya.


Nilai keputusan PT3 secara menyeluruh

PUTRAJAYA 23 Dis. - Para pelajar dan ibu bapa perlu mempertimbangkan keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) secara menyeluruh supaya pentaksiran tersebut boleh dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya.


Boleh dijadikan panduan menentukan
hala tuju pendidikan


Idris Jusoh

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan PT3 akan diambil kira bersama Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Sekolah (PS) bagi menentukan aliran yang akan diambil oleh pelajar.

Beliau berkata, selepas ini iaitu dengan berdasarkan keputusan PT3, ibu bapa dan pelajar perlu menentukan sama ada mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera, sains atau latihan teknikal dan vokasional.

"PT3, PPsi, PAJSK dan PS secara bersama membentuk komponen utama sekolah berasaskan pendekatan penilaian yang membolehkan kita memahami dan menghargai dengan lebih baik potensi dan keperluan anak-anak kita.

"Adalah diharapkan menerusi sistem ini kita akan dapat membentuk pelajar yang bersifat lebih holistik dan mengangkat standard sistem pendidikan kebangsaan," katanya dalam status terbaharu laman sosial Facebook miliknya tengah malam tadi.

Selain itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menduduki PT3 dan guru-guru yang telah bekerja keras bagi menjayakan sistem pendidikan yang baharu diperkenalkan itu.

Sebanyak 453,413 calon yang menduduki PT3 di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara pada Oktober lalu menerima keputusan masing-masing semalam.

Tahun ini adalah kali pertama PT3 dilaksanakan selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan pada 1993.

Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments