kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Elak siar berita palsu banjir

PASTI setiap daripada kita ada sanak saudara yang tinggal di kawasan yang terkena dengan bencana banjir di seluruh negara. Paling tidak pun, ada rakan sekerja yang bertugas di negeri-negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Laporan diterima negeri-negeri di utara dan Johor juga dinaiki air. Tentulah wujud rasa bimbang dan cemas.

Di Lembah Klang, hujan lebat sepanjang hari Rabu lalu, turut menyaksikan air meningkat. Turut sama meresahkan ialah meningkatnya mesej-mesej, pernyataan dan ‘berita’ menerusi WhatsApp, SMS, Twitter, Facebook dan sebagainya. Semua hendak jadi ‘wartawan sambilan’.

Antara yang paling menyedihkan ialah tweet mendakwa landasan lapangan terbang klia2 dinaiki air, menyebabkan pesawat tidak boleh mendarat. Tweet individu tersebut telah dipadamkan tetapi sempat dirakam menggunakan kaedah screenshot. Yang tidak sempat ialah sebilangan pembacanya telah terpengaruh dan ada yang mendakwa membatalkan penerbangan gara-gara tweet individu tersebut.

Tidak tahu apakah Malaysian Airports Holding Berhads (MAHB) mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap orang itu. Tindakan wajar diambil kerana reputasi klia2 tidak putus-putus dijadikan modal belasahan. Itupun kalau MAHB sedar tentang tweet tersebut. Kalau tidak, nyanyi lagu Frozen sahajalah.

Satu lagi ‘berita’ yang menyebabkan darah mendidih ialah kononnya Empangan Batu telah dilepaskan airnya, dan menyebabkan ibu negara banjir. Siap dengan gambar menerusi grup WhatsApp. Sejam kemudiannya, seorang lagi siarkan kenyataan penafian oleh Jabatan Parit dan Saliran. Tiada air dilepaskan, tiada dinding empangan retak.

Menegur

Apa ini? Apa faedah sebarkan berita palsu? Ini bukan berita politik atau lawak. Ini berita banjir. Ini benar-benar kejadian. Apa untungnya sebar berita palsu? Dapat likes atau RT (retweet) beribu-ribu, maka melayakkan wujud rasa megah? Atas kesusahan orang lain?Walaupun berita seumpamanya disampaikan oleh sahabat-sahabat, saya tidak memanjangkannya lagi kepada sesiapa. Ini kerana tiada laporan seumpamanya daripada rakan-rakan sekerja atau menerusi laman web utusan.com.my. Insiden ini mendorong saya menegur sahabat-sahabat WhatsApp. Kawal dulu ‘berita’, jangan siar, kongsi atau RT sesaat selepas menerimanya daripada orang lain.

Tetapi bagaimana hendak menegah ‘wartawan sambilan’ ini daripada meneruskan kerja tanpa gaji ini? Wartawan profesional seperti saya ini pula dilabel ‘lambat’ dan ‘pasif’ menyiar berita dalam WhatsApp.

Niat mereka mungkin murni. Mahu berkongsi maklumat. Tetapi hendak jadi ‘wartawan’ kenalah patuh etika kewartawanan. Periksa dan periksa sumber sehingga benar-benar yakin sumber itu sah. Jika tidak, nyawa boleh melayang, kerugian boleh berjuta-juta. Berita banjir tidak perlukan beribu-ribu ‘likes’ atau RT.

Orang lain boleh siar berita menerusi laman sosial mereka sesuka hati, jika salah akan padamkan dan meminta maaf sambil lewa. Mereka tidak peduli apa kerosakan kesan daripada siaran berita palsu itu. Kita jangan jadi seperti mereka.

Berikut adalah beberapa kaedah untuk anda mengenal pasti sesuatu artikel itu berita palsu:

Periksa Laman Berita Sebenar

Jika sesuatu berita itu benar dan penting, banyak agensi berita (cetak atau elektronik) akan menyiarkannya juga. Mencari berita ini menggunakan kata kunci menerusi Google News misalnya, akan mengesahkan ketulenan sesuatu berita. Jika tiada disiarkan oleh agensi berita bonafide, bermakna itu berita palsu.

Semak berita lain dalam laman web terbabit

Baca dan perhatikan berita-berita lain yang disiarkan. Apakah banyak berita aneh dan tidak masuk akal, atau menggunakan sumber luar biasa yang kita tidak pernah dengar. Sekali lagi, semak kesahihan berita berkenaan menggunakan kaedah pertama di atas.

Baca Disclaimer

Disclaimer bermaksud kenyataan yang diletakkan dalam perisian atau pada bungkusan perisian untuk memberitahu pengguna perisian bahawa pembuat perisian tidak menjamin sesuatu ciri atau tidak bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara khusus akibat penggunaan sistem. Kenyataan ini diletakkan mengikut undang-undang untuk memberitahu keadaan sebenar perisian dan mengelakkan pembuat didakwa di mahkamah. Jika sumber berita itu berbentuk satira, disclaimer akan menyatakannya sama ada fiksyen atau satira. Disclaimer boleh dibaca dalam ruangan About atau di akhir halaman.

Periksa laporan tentang laman web

Buat begini: ‘< nama laman web > satire’, ‘< nama laman web > hoax’, atau ‘< nama laman web > fake’ dan akan terpapar laporan tentang sesuatu laman web sama ada boleh dipercayai atau sebaliknya.

Kenal pasti individu

Dalam Twitter atau Facebook, seseorang yang popular (dan memiliki berpuluh ribu pengikut) ialah yang lantang mengkritik orang lain. Pada dia, orang lain semua tidak betul. Dia sahaja yang pandai. Wujud kecenderungan individu sebegini untuk menyiarkan apa sahaja cerita mengikut suka hati dia, bukan ikut sahih atau benar. Anggaplah sebagai hiburan semata-mata hasil karya badut siber.

Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 28 Disember 2014
Tags: berita
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments