kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berakhirnya kisah Liu Shao-chi

Penyiksaan terhadap Liu Shao-chi, Wang Guang-mei dan anak-anak mereka tidak lengkap tanpa menyebut nama Kuai Da-fu yang digunakan Mao Tse-tung. Kuai, yang berumur 20 tahun ketika itu, mula berminat dalam politik sejak berumur tiga belas tahun bila dia melihat keadaan kebuluran di kampungnya di wilayah Hebei, dan memerhatikan juga bagaimana petugas-petugas kerajaan menyalahguna kuasa serta menindas orang di kampungnya yang hidup kelaparan. Pada usia semuda itu, dia tersentuh untuk menulis surat panjang lebar kepada ibu pejabat parti komunis di Beijing, menyatakan apa yang dilihatnya.

Sementara itu, dalam bulan Jun 1966 – dua bulan sebelum Liu Shao-chi dilucutkan jawatan sebagai Presiden negara China – berikutan meletusnya keadaan huru-hara di sekolah-sekolah dan universiti di seluruh China dengan bermulanya Revolusi Kebudayaan, Liu Shao-chi (yang masih menjadi Presiden) telah menubuhkan apa yang digelar ‘Pasukan Kerja’ (Work Teams) untuk mententeramkan keadaan huru-hara di kampus-kampus sekitar Beijing walaupun dia tahu perbuatannya tidak akan disenangi Mao.

Anggota-anggota Pasukan Kerja terdiri dari anggota-anggota parti komunis sendiri yang tidak sukakan dasar-dasar Mao. Yang menariknya, ialah isteri Liu, Wang Guang-mei, memilih untuk menyertai anggota Pasukan Kerja yang ditugaskan menangani keadaan kacau-bilau yang sedang berlaku di Universiti Qinghua, Beijing. Apabila Pasukan Kerja itu muncul di Universiti Qinghua di tengah-tengah kancah ‘pemberontakan’ para pelajar yang disertai oleh Kuai Da-fu, maka berlakulah pertentangan di antara petugas-petugas Pasukan Kerja – terdiri dari anggota-anggota parti komunis dan isteri Presiden negara China sendiri – dan para pelajar yang merusuh yang direstui oleh Mao Tse-tung menerusi penubuhan Red Guards.

Kuai Da-fu menjuarai pelajar-pelajar yang ‘memberontak’.Mereka dapat diamankan oleh Pasukan Kerja, Kuai Da-fu berhasil ‘ditangkap’. Dia ditahan disebuah bilik dormitori selama 18 hari untuk mententeramkannya. Penahanan itu diizinkan oleh Liu Shao-chi.

Tergamam

Sudah barang tentu tindak-tanduk Liu serta isterinya menerusi Pasukan Kerja itu menerima reaksi marah dari Mao. Pada tengah malam 1 Ogos, Kuai Da-fu, yang sedang ditahan di dormitori, dikejutkan dengan bunyi beberapa buah kereta berhenti. Tiba-tiba muncul di depannya pembesar negara bernama Chou En-lai. Kuai terkejut, tergamam, malah terketar-ketar.

Chou memberitahu Kuai, dia datang atas nama Mao Tse-tung dan mahu bertanyakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Pasukan Kerja. Chao juga bertanyakan peranan yang dimainkan oleh Wang Guang-mei. Anehnya, walaupun Chou ada membawa jurutrengkasnya, Chou sendiri telah membuat catitan sepanjang perbualan mereka yang menelan masa tiga jam. Sebelum beredar, Chao meminta Kuai datang ke pejabatnya pada petang hari itu. Di pejabatnya Chau meneruskan temubualnya selama tiga jam lagi.

Kesudahannya, Chou En-lai sendiri menyerahkan laporan kepada Mao Tse-tung. Sudah barang tentu, laporan itu dijadikan Mao untuk melengkapkan rancangannya bertindak balas terhadap Liu Shao-chi, isterinya Wang Guang-mei dan anak-anak mereka. Mao kini mula menggunakan Kuai sebagai orang utama, mengetuai Red Guards untuk memusnahkan kehidupan Liu Shao-chi sekeluarga. Kerja-kerja Kuai Da-fu bermula 25 Disember, sehari sebelum harijadi Mao yang ke-73.

Atas arahan Kumpulan Kecil Revolusi Kebudayaan (yang Chou dan Jiang Qing adalah sebahagian anggotanya), Kuai mengetuai sekumpulan Red Guards terdiri dari 5,000 pelajar sekolah dan universiti, berarak riuh-rendah meredah bandar raya Beijing, dengan menggunakan trak-trak yang dipasang dengan pembesar suara, terjerit-jerit melaungkan kata-kata “Hapuskan Liu Shao-chi”.

Ini menandakan bermulanya langkah Mao memberitahu rakyat China – yang ketika itu belum lagi diberitahu Liu telah dilucutkan jawatan Presiden China dua bulan sebelum itu – bahawa Presiden mereka adalah musuh utama negara dan patut dibuang kerja. Ia juga adalah tipu helah Mao untuk menunjukkan kononnya penyingkiran Liu dari jawatan ketua negara adalah atas kehendak dan desakan rakyat.

Menyedari kedudukannya, yang semakin terpinggir, pada awal Januari 1967, Liu menemui Chou En-lai, menyatakan hasratnya untuk “mengaku” membuat kesilapan-kesilapan seperti yang didakwa oleh Mao, dan dia sedia membiarkan Revolusi Kebudayaan berjalan terus tanpa bantahan darinya.

Tetapi, kata Liu, dia mahu parti tidak lagi melaksanakan dasar-dasar yang bertentangan dengan keperluan kebanyakan ahli parti. Chou En-lai tidak mengikut permintaan Liu. Anehnya, tidak berapa hari selepas itu, Liu telah dipanggil oleh Mao datang ke pejabatnya di Dewan Besar (Great Hall) pada tengah malam 13 Januari.

Dalam pertemuan itu, Liu mengulangi apa yang telah diperkatakan kepada Chou. Dia meminta Mao menghukumnya seorang sahaja atas apa jua kesilapannya, kalau itulah– menurut Liu – harga bagi Mao untuk bersetuju memberhentikan– dan bencana yang ditimpakan Red Guards ke atas rakyat China. Tetapi, Mao tidak memberi jawapan kepada Liu, selain memberi nasihat supaya Liu menjaga kesihatannya.Dia juga menasihatkan Liu supaya memperbanyakkan membaca buku. Menurut penulis Jung-Halliday, “With this, he (Mao) saw Liu, his closest colleague for nearly three decades, to the door for the last time – and to a slow and agonising death (halaman 551, buku mereka).”

Sementara itu, seawal Januari 1967 juga, Liu Shao-chi telah terputus hubungan dengan dua daripada empat orang anaknya hasil dari perkahwinan pertamanya. Liu Rong-biu (lelaki) dan adiknya, Liu Au-qing (perempuan) telah dibuang negeri, ke sebuah wilayah terpencil China semata-mata atas alasan kononnya mereka disyaki menjadi pengintip pihak Soviet kerana kedua-dua mereka pernah belajar di Moscow.

Seorang lagi, Liu Rong-ruo, yang bekerja di sebuah kilang membuat mercun di Beijing, telah ditangkap pada Januari 1967 atas tuduhan menjadi pengintip Kuomintang – tuduhan yang direka-reka – dan ditahan di sebuah penjara yang mengamalkan sistem keselamatan maksima.

Anak keempat Liu, dari perkahwinan pertama itu, Liu Tao (perempuan), telah ditangkap oleh Jiang Qing dengan tujuan mengumpan dia membuat pengakuan tertentu terhadap bapanya, Liu Shao-chi. Liu Tao, yang berumur tujuh tahun lebih muda dari Wang Guang-mei, memberitahu Jiang Qing yang bapanya memang sukakan gaya hidup mewah. Dia memberi beberapa alasan dan telah dibebaskan tidak lama selepas dia memberi ‘kerjasama’ penuh kepada penyiasatan Jiang Qing.

Dalam coretan minggu hadapan, saya akan lanjutkan kisah penyiksaan terhadap Liu Shao-chi dan ahli-ahli keluarganya gara-gara sikap gila dan keji Mao Tse-tung.

Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 28 Disember 2014
Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments