kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perkasakan ekonomi negara

MUKADIMAH : Prestasi ekonomi dunia yang tidak menentu dikatakan bakal memberi kesan kepada negara pada 2015. Ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit dan kemerosotan harga minyak mentah di pasaran dunia telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini. Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia, SAFINA RAMLI dan jurugambar Ismail Kamadin telah mewawancara penganalisis ekonomi yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM), PROFESOR DATUK DR. AMIR HUSSIN BAHARUDDIN untuk berkongsi pandangan beliau mengenai cabaran ekonomi yang bakal dihadapi negara pada 2015. "Kita ada sumber dan manusianya terdidik. Dari segi itu kita bersedia untuk mengambil keadaan yang ekstrem di dalam dunia ini termasuklah soal ekonomi," ujar beliau.

Mingguan Malaysia: Bagaimana Datuk melihat prestasi ekonomi negara pada 2015. Apakah negara akan mendapat kesan dari kesuraman ekonomi Jepun dan dunia?




Dr. Amir Hussin

DR. AMIR HUSSIN: Biasanya begitulah anggapan orang ramai termasuk kita sendiri. Kalau kita nak mengharapkan sesuatu perkara itu jadi cantik sahaja, memang tak boleh. Kita kena aturkan ekonomi kita di dalam dunia yang bergolak. Jangan kata Eropah tak bergolak. Nampak saja tenteram tapi bergolak juga. Pernah dengar kata Eropah tak suka pada Amerika Syarikat (AS) sebab letih kena ikut telunjuk mereka sahaja? Kalau itu jadi, memang akan jadi satu fenomena yang besar. Kanada dah bawa diri sendiri sekarang ini. Jadi kita mesti merancang ekonomi negara mengikut keadaan yang bergolak.

Kalau itu diterima, apa perlu kita risau. Kita bukan tidak pernah berperang. Kita boleh bertahan dan kita bukan satu negara yang tak pernah diancam. Kita pernah darurat, banjir besar pada 1971 dan pernah digertak oleh Soekarno (Indonesia). Kita merancang ekonomi kita mengikut kemampuan dan keadaan dunia, kita banyak kawan, tak ada musuh. Jadi berbaloi kita tekankan falsafah 'naturality' itu. Jadi kalau negara lain suram itu biasa. Eropah walaupun suram, pertumbuhannya 2.5 peratus, ada pertumbuhan walaupun suram. AS pun begitu. Cuma mereka takut AS terlibat di dalam import dan eksport, ada risiko tinggi. Kalau dulu AS hanya 2 peratus berdagang tetapi kini 13 peratus. Takut ekonomi AS akan tergugat dengan cara itu. Itu sangat biasa.

Apakah Bajet 2015 dilihat mampu memacu ekonomi Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi?

DR. AMIR HUSSIN: Bajet 2015 amat komprehensif. Bajet keperluan rakyat kata Perdana Menteri. Beliau tidak mahu negara ada pertumbuhan tetapi rakyat menderita. Jadi bajet itu kalau dilihat ada tujuh teras dan hasilnya kita harap rakyat akan dapat nikmat hidup yang baik. Contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia sebenarnya membantu untuk orang ramai berdikari. Jika tidak, ia akan jadi satu pergantungan. Kalau orang itu berdikari dengan bantuan RM1,000 contohnya untuk setahun, itu satu strategi yang baik.

Satu tempat kita belanja RM1,000 tapi hasil daripada usaha rakyat, kita dapat RM5,000. Bagus pulangannya satu kepada lima. Dengan penurunan harga minyak, kita tak perlu lagi beri subsidi kepada harga minyak tetapi hasilnya pendapatan negara terjejas sedikit, pasal kita hanya mengeluarkan 800,000 tong sehari. Jadi memang ia mampu memberi pertumbuhan ekonomi yang tinggi tapi ia sebenarnya lebih daripada itu. Pertumbuhan kekal antara empat hingga enam peratus. Jangan tinggi sangat nanti inflasi dan jangan rendah sangat tak elok untuk guna tenaga. Jadi kalau itu yang kita nak, Bajet 2015 adalah tepat. Sebab ada pertumbuhan dan agihan semula. Di samping itu kualiti manusia diletakkan dari segi pendidikan mengupayakan manusia yang luas dan sifat keusahawanan akan dibetulkan.

Bajet adalah mencukupi tapi individu perlu main peranan. Kalau rakyat berpeluk tubuh tak jadi sebab yang bekerja katalah hanya menteri sahaja. Katalah menteri ada lebih kurang 200 orang tapi 29 juta rakyat tidur, memang tak jadi apa. Bajet yang menyeluruh perlu menyentuh setiap rakyat, dari kaya hingga miskin dan dari bandar hingga luar bandar. Kalau kita andaikan orang gembira dengan Bajet 2015 dan jalankan tugas masing-masing, saya ingat tak ada masalah, 'Malaysia can be a great nation'.

Pada pandangan Datuk adakah Malaysia mampu mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK sekitar 5.5 peratus seperti sekarang atau ia akan kurang atau lebih?

Dr. Amir Hussin: Saya ini konservatif sedikit. Dalam temubual di pelbagai tempat, saya anggarkan empat peratus tapi ada orang optimis kata 5.5 peratus. Baguslah begitu tapi anggaran yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu bagus. Anggaran pertumbuhan sekitar 5.5 peratus. MIER badan yang ada kredibiliti. Jika MIER kata begitu memang boleh kita pegang. Tak ada gangguan yang boleh gugat pertumbuhan. Tapi jangan harap enam peratus kerana itu tinggi sangat, kita tak mampu. Kita sebuah negara ekonomi terbuka dan banyak rakan dagang. Indeks keterbukaan kita adalah 2.2 berbanding AS 0.2.

Negara yang lebih bergantung kepada kita ialah Singapura dan Jepun tetapi dia tak ada sumber. Kita ada sumber dan manusianya terdidik. Dari segi itu kita bersedia untuk mengambil keadaan yang ekstrem di dalam dunia ini. Jadi kalau kita bersifat macam anak manja, orang jatuh sedikit kita pun jatuh, itu tidak betul. Kita patut berdiri sendiri. Masa kita jatuh, dunia tidak jatuh tetapi kita patut bangun balik. Takkan semua tempat di dunia ini nak jatuh ekonominya. Kalau AS jatuh sedikit, tetapi China belum jatuh, maka masih ada harapan. Kalau Eropah masih bagus, China jatuh sedikit dan AS naik semula, kita masih OK. Ini yang jadikan kita unik dari segi percaturan ekonomi dan tak mudah jatuh.

Bagaimana pandangan Datuk bahawa Malaysia bakal berhadapan kesukaran akibat penyusutan nilai mata wang, penurunan harga minyak serta peningkatan inflasi?

Dr. Amir Hussin: Harga minyak tak boleh buat apa sebab itu isu global. Sekarang ini harga minyak AS$60 setong. Itu kira lumayan. Pernah harga minyak ini turun sehingga RM35 setong pada 1985 tapi kita kena ingat pada masa itu harga minyak ini ditentukan oleh Arab Saudi. Yang jadi malapetaka negara Rusia sebab tak boleh tahan harga rendah. Ekonomi kita tidak bergantung pada harga minyak. Terjejas sedikit tetapi sementara. Apa pun kita mesti bersedia. Orang yang buat spekulasi harga minyak itu mesti nak pulangan semula. Saya ingat dalam masa setahun, paling lama harga akan stabil balik. Inflasi perbuatan kita, tabiat orang yang menjual barang.

Harga minyak naik, harga tambang beca pun naik dan harga kopi pun naik. Ini semua bukan kerja AS, ini tabiat kita yang tak elok. Jangan melebih, jadi inflasi. Inflasi kalau tabiat itu cantik, kita boleh kawal. Mata wang pula turun naik dan bagus untuk banyak pihak. Kalau turun pengeksport untung tetapi pengimport susah. Orang datang melancong bagus untuk ekonomi negara. Ada untung rugi untuk negara kita jadi pasal apa nak susah hati.

Apa langkah terbaik dalam memastikan masalah ini tidak akan membebankan rakyat dan negara?

Dr. Amir Hussin: Kalau dia import memang mahal sedikit. Harga barang yang diimport akan naik sedikit. Tapi yang eksport seperti kelapa sawit, getah, balak, ini dapat untung. Di samping itu, sektor pelancongan dijangka meningkat. Pelancong lagi untung datang ke Malaysia sebab nilai mata wang dolar dan pound lebih mahal.

Dengan cara ini, pelancong dapat lebih 20 peratus dari setiap dolar atau pound yang dibelanjakan. Kerajaan perlu lebih galakkan pelancongan, pastikan mereka selamat, selesa, jangan diculik dan peniaga tidak menjual barangan dengan pada tinggi. Dengan itu, kesejahteraan rakyat tidak tergugat. Kita banyak perjanjian jangka panjang dengan pengeksport. Ini bagus sebab melalui perjanjian jangka panjang harga akan distabilkan.

Apalah langkah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mampu menampung masalah ini serta memberi kesan yang lebih baik?

Dr. Amir Hussin: GST adalah salah satu punca pendapatan negara. Dahulu orang kutip tak bagi pada kerajaan pasal tak daftar. Sekarang 220,000 syarikat telah didaftarkan. Mekanisme dan siapa yang dikecualikan sudah ada dan sepatutnya barang-barang yang kena GST patut lebih murah lagi. Kalau naik sedikit sahaja sebab kos pentadbiran tetapi banyak harga makanan akan turun.

Ada yang mengatakan GST akan menyebabkan kos perubatan kita naik dan memberikan kesan kepada pengguna?

Dr. Amir Hussin: Sebanyak 2,400 ubat sudah disenaraikan. Kementerian Kesihatan telah buat iklan, jangan bayar lebih kerana harga telah ditetapkan. Ubat juga ada beribu jenis ubat yang tak kena GST. Kerajaan dah fikir keperluan rakyat tetapi kenapa GST perlu dilaksanakan? Ia disebabkan sistem ini lebih teratur dan telus kepada rakyat. Yang sedih apabila rakyat bayar tapi duit tak dapat pada kerajaan. Jadi sistem cukai sekarang pun dah bayar 10 peratus tambah enam peratus. Selepas ini kita hanya bayar enam peratus sahaja. Sepatutnya OK.

Ada juga kata enam peratus terlalu tinggi untuk permulaan GST di negara ini. Apa pandangan Datuk?

Dr. Amir Hussin: Saya dah tengok data daripada 160 negara, ada yang kena sampai 27 peratus. Burkina Faso negara miskin tetapi GST sampai 62 peratus. Kita amat bertimbang rasa tetapi kita nak laksanakan GST sebagai alternatif sumber pendapatan negara. Mudah-mudahan kita berjaya. Tak banyak sebenarnya. Katalah ada RM7 bilion sampai ia matang tiga atau empat tahun lagi, mungkin ada sebanyak RM27 bilion. Tahun pertama dapat tambahan RM1 bilion, mungkin enam peratus yang terbaik. Kalau rendah tak munasabah dan kalau tinggi rakyat tak mampu. Jumlah enam peratus dilihat mencukupi. Sama-sama kita tengok. Kerajaan tidak akan menutup mata kalau ada yang menyusahkan rakyat. Kita tidak akan mengorbankan rakyat.

Mungkin ada langkah-langkah lain yang boleh dilakukan untuk memberi impak ekonomi yang lebih baik?

Dr. Amir Hussin: Kita sudah berada di landasan yang betul. Cuma jangan berubah sewenang-wenangnya. Misalnya agenda memperkasakan ekonomi bumiputera, memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) serta memperkasakan wanita dan belia. Jadi kita boleh wujudkan lebih banyak usahawan. Kadang-kadang duit RM1 juta dah cukup, tak perlu RM10 juta tetapi cara yang penting. Kena ada tadbir urus yang betul kerana kita pun tak perlu cukai yang banyak apatah lagi GST akan dilaksanakan.

Kita nak ekonomi dibangunkan dengan sumbangan setiap rakyat. Bagi mereka yang tak boleh beri sumbangan, kita bantu dia manakala yang kaya pula jangan lari. Itulah falsafah hidup senegara yang AS pun tak boleh ajar kita. Malaysia ini masih ada nilai-nilai Islam yang hendak dibetulkan. Balik kepada Islam kerana pendekatan Islam perlu diperkuatkan. Ada benda dalam Islam yang cukup baik dan kita perlu lihat apa lagi khazanah Islam yang boleh digunapakai. Mesti ada selain daripada perbankan Islam. Kita ada tiga perkara berkait dengan ekonomi Islam iaitu perbankan, takaful dan pajak gadai Islam.

Mesti ada lagi yang boleh diguna dan dikomersialkan. Lagi satu, Amanah Saham Nasional. Jangan hanya bagi enam peratus sahaja, jangan bagi jatuh kepada RM1 dan jangan bagi pelabur domestik takut. Kita nak pelaburan langsung asing (FDI) masuk tapi semakin banyak yang keluar. Faktor gaji pekerja kena tengok juga. Adakah munasabah gaji minimum RM900 sebulan. Jangan ikut kos sara hidup AS tapi ikut kos sara hidup kita.

Apakah perlu dilaksanakan tambatan ringgit seperti 1998 untuk mengurangkan kesannya atau bagaimana?

Dr. Amir Hussin: Kalau tengok krisis 1997/98, satu dolar naik sampai RM4.50 sen. Takkan kita nak jual lagi belum naik RM4, baru RM3.47. Jadi kita jangan sentimen. Turun naik lumrah dan kita patut ambil tindakan yang sewajarnya mengikut keadaan. Jadi kalau tengok gawat kita tambat ringgit bila sampai RM4.70 dan pada masa itu satu pound naik sampai RM7.50. Jadi kita tambat pada RM3.80 untuk satu dolar. Sekarang ini nak tambat macam mana, malah tak perlu pun sebab itu mainan pasaran, malah belum lagi strategik sebab belum lepasi RM4.

Kalau nak tambat, tambat di mana? Dahulu kita tambat lepas setahun. Kita gawat Jun 1997, tambat ringgit pada September 1998. Jadi tak mungkin jejas semua orang. Ada yang untung dan ada yang rugi. Tapi kalau tambat ringgit pada dolar atau apa apa mata wang pun kita terpaksa jaga. Ini yang kita namakan sebagai kawalan modal. Saya ingat lagi masa kegawatan ekonomi, ringgit ditambat dengan kawalan modal dan. pelaburan tak boleh diambil keluar lepas setahun. Kalau diambil keluar, kena bayar penalti. Orang yang pakar dalam tindakan ini ialah Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Kalau mereka nampak ringgit perlu ditambat, mereka akan buat. Yang penting bukan hanya ditambat tetapi perlu kena buat beberapa perkara. Tahun depan kita tak perlu buat. Mungkin kita dapat rating baru yang jadikan sistem kewangan kita lebih baik. Ringgit tak patut menyusahkan kita dan saya nasihatkan rakyat supaya jangan dibuai dengan sentimen spekulator.

Apa yang perlu dilakukan oleh para usahawan terutama bumiputera untuk mempersiapkan diri berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi?

Dr. Amir Hussin: Kena ada jati diri, kena ada tekad berjaya dan kena cari ilmu kerana bantuan dah disedia oleh kerajaan. Ada lebihan kena simpan sedikit. Jangan ada lebihan, beli kereta BMW. Rugilah balik. Kita boleh maju. Bumiputera kena ingat kerajaan UMNO ini takkan sampai kiamat memerintah. Satu hari nanti dia pun nak bersara.

Jadi kena bersedia untuk berdikari. Satu caranya ialah perlu buat koperasi. Jalankan koperasi sebagai bisnes besar. Kalau nak sendirian tak jadi. Anggaplah kita bekerja untuk hidup selamanya dan beribadatlah seolah-olah kita nak mati esok. Pakai istilah ini. Kita selalu lupa. Selalunya, kita kuat bekerja seolah-olah esok nak mati. Sebab itu kita tekan harga tinggi pada orang lain.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments