kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan ~ Bisik-Bisik Awang Selamat

SIMPATI, HARGAI DAN IKTIBAR

Awang ingin memulakan ruangan ini dengan menzahirkan simpati kepada seluruh mangsa banjir terutama di negeri-negeri pantai timur atas segala kesukaran, keperitan dan kemusnahan harta benda. Cerita- cerita daripada mangsa banjir terutama di Kelantan menggerunkan. Sahabat Awang, Azran Fitri dari Kelantan antara lain  menulis bagaimana Kota Bharu pula dilanda banjir besar selepas Gua Musang dan Kuala Krai: "Air masuk melalui segenap penjuru. Limpahan air dari Sungai Kelantan tidak dapat ditahan lagi. Sungai Kelantan mengamuk. Tidak pernah terfikir penduduk di negeri ini, Kelantan akan tenggelam. Sana sini kedengaran mangsa mohon bantuan. Pasukan penyelamat juga tidak menang tangan. Terdapat 400 mangsa terperangkap di sebuah sekolah di Manek Urai dan ramai lagi yang berlindung di atas bukit. Entah makan atau tidak pastinya kesejukan.''' Itu antara petikan berita beliau yang sangat menggangu fikiran Awang. Dalam satu lagi laporan, ramai mangsa banjir mengadu kelaparan, tiada air bersih, tidak bermaya selain ketakutan.Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Moga kesemua mangsa terusdiberi kekuatan dan kesabaran menempuh dugaan ini.

Umat Islam di seluruh negara mengadakan solat hajat memohon kepada Allah SWT untuk melindungi mangsa banjir dan agar musim hujan dan air pasang segera berakhir. Pada kesempatan ini juga Awang ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota pasukan keselamatan, anggota penyelamat dan sukarelawan yang bertungkus lumus membantu menangani musibah banjir. Tanpa pengorbanan mereka, situasi pasti lebih buruk dan membawa mudarat lebih besar kepada para penduduk di kawasan yang dilanda banjir.

Syukur juga Raja-raja Melayu sama-sama mencemar duli meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir, menyebabkan ramai tersentuh. Dalam pada itu, Awang tidak berhajat untuk menuding jari kepada sesiapa dan mana-mana pihak. Sememangnya semuapihak harus bersatu menghadapi musibah dan bukan berbalah. Banjir buruk yang berlaku kali ini perlu dijadikan iktibar dan ini memerlukan post mortem besar-besaran. Antara isu yang kritikal adalah stok simpanan makanan dan barang keperluan hadapi banjir terutama pada musim tengkujuh hujung tahun, perlu ditempatkan lebih awal di negeri-negeri apatah lagi di Pantai Timur. Semua aspek kelemahan perlu diatasi yang tidak perlu Awang senaraikan, cukup sekadar untuk diambil tindakan supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak dinafikan sumbangan dan kerja keras mereka, perlu lebih proaktif dan ke hadapan.Seperkara lagi, mengapa sukar untuk mengisytiharkan darurat terutama di Kelantan yang sudah meruncing? Sistem siap siaga kita juga perlu dikaji semula untuk hadapi situsi banjir luar jangka atas apa sahaja fenomena cuaca.

Isu lain tentunya penerokaan hutan secara berleluasa yang turut menjadi punca banjir sebagaimana dinyatakan oleh Dekan Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Zulkifli Yusop kepada akhbar Kosmo!, terbitan semalam. Persoalannya beberapa kerajaan negeri masih gagal menangani isu tersebut yang antara lain dikaitkan dengan faktor rasuah, kelemahan pentadbiran negeri dan agensi penguatkuasaan. Jenayah alam sekitar menjadi-jadi yang akhirnya bumi ini yang terhukum dengan bencana. Semoga banjir buruk di pantai timur kali ini menjadi pengajaran yang sangat bernilai. Tolonglah jangan ambil mudah lagi...

HUDUD, PAS DAN BANJIR....

Menjengkelkan apabila beberapa pemilik laman sosial bukan Islam mengaitkan langkah kerajaan Pas Kelantan melaksanakan hudud tidak lama lagi dengan banjir yang melanda negeri itu. Ada yang merumuskan musibah itu sebagai tanda Tuhan menolak hudud dan tidak kurang yang mengambil kesempatan memperlekehkan Pas secara terang-terangan dengan apa yang berlaku. Adalah tidak wajar bagi sesiapa yang waras dan bertanggungjawab untuk melemparkan reaksi sedemikian, yang Awang anggap berpemikiran dangkal dan ekstrem. Sebenarnya apa sahaja dalam hidup ini boleh dikaitkan dengan musibah dan perkara yang tidak elok, jika kita mahu.

Dalam hal ini, bukan sahaja Kelantan, negeri lain yang tidak berhasrat melaksanakan hukum hudud turut dilanda banjir. Pada Awang, sebahagian komen itu boleh dilihat sebagai penghinaan bukan sahaja kepada Pas malah kepada Islam. Mereka wajar menarik balik kata-kata itu dan meminta maaf kepada umat Islam. Sepatutnya inilah masa semua warga negara berkongsi kesedihan dan keprihatinan terutama ke atas mangsa banjir. Bukan sebaliknya sibuk dengan politik murahan dan komen ala pesakit mental.  Cubaan banyak pihak terutama pakatan pembangkang yang mendapat bantuan tentera siber  Red Bean Army untuk mentohmah Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan menggunakan isu banjir, nampaknya tidak bertahan lama.

Dari awal lagi, Awang lihat strategi itu tidak akan menjadi. Rekod telah membuktikan Najib adalah Perdana Menteri yang komited menjaga kebajikan rakyat. Itu antara kekuatan beliau. Apabila gambar Najib bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Hawaii dipolitikkan dengan tujuan untuk memburukkanburukkan  beliau pada ketika negeripantai timur dilanda banjir, ia makin  mengundang simpati kepada Perdana Menteri. Hakikatnya beliau dijemput oleh Obama untuk membincangkan isu keselamatan serantau melalui permainan golf. Dalam dunia diplomatik, ia adalah hal biasa atau apa yang dipanggil golf diplomacy. Memenuhi undangan itu juga adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab seorang ketua kerajaan. Apatah lagi ia suatu pengiktirafan AS terhadap kepimpinan Najib, yang sudah tentu dicemburui oleh pihakpihak tertentu terutama ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang terkenal kuat melobi AS dan untuk itu banyak berada di luar negara termasuk ketika banjir. Selain jadual pertemuan dengan Obama yang telah diatur, Najib berlepas ke Hawaii  ketika banjir belum serius. Tiada siapa menjangka banjir kali ini lebih buruk. Jabatan Meteorologi dan MKN tidak menguar-uarkan kewaspadaan tinggi secara meluas terlebih dahulu walaupun menyedari kewujudan fenomena new moon. Pun di sebalik kesibukannya, Najib sebelum berlepas ke Hawaii telah meninjau keadaan banjir dan melawat penempatan mangsa banjir di Kuantan. Sepanjang di luar negara  saban masa beliau menghubungi beberapa pihak terutama MKN untuk mengetahui perkembangan serta memberikan arahan demi arahan sebagai Perdana Menteri, sebagaimana  dilaporkan media.

Semalam, Najib kembali dengan misi menangani banjir terutama membantu mangsa-mangsa banjir berikutan banyak kawasan terputus hubungan darat menyebabkan penghantaran bantuan lebih sukar dan mencabar. Di sebalik segala tohmahan dan kata nista di laman sosial, kunjungan Najib meninjau keadaan banjir di Kelantan semalam disambut teruja dan penuh pengharapan oleh para penduduk. Keprihatinan beliau terserlah semasa mendengar permasalahan, berbual dan makan bersama mereka di pusat penempatan sementara.

Kehadiran Perdana Menteri yang mempunyai aura tersendiri memberi makna besar, begitu juga dengan pengumuman tambahan bantuan RM500 juta. Hakikat betapa Najib sangat diperlukan adalah cerminan keyakinan terhadap kepimpinan beliau terutama dalam menangani musibah dan krisis. Walau apa pun tafsiran dalam isu banjir ini, Najib sekali lagi membuktikan kesabaran, ketenangan dan komitmennya. Sedikitpun beliau tidak melatah. Namun itu sudah cukup untuk menepis serangan budaya politik jahil dan jijik pihak yang kepala mereka dibanjiri sampah sarap.

KEJUTAN 2015?

Tahun 2014 yang akan menutup tirainya empat hari lagi pasti akan dikenang sebagai tahun yang begitu mencabar buat Malaysia. Misteri kehilangan pesawat MH370 dan nahas pesawat MH17 ditembak jatuh adalah ujian terbesar. Awang tertanya-tanya apa lagi kejutan tahun depan?

Berdoalah agar  tiada lagi kejutan yang buruk buat negara. Sebaliknya yang lebih ditunggu kejutan yang baik-baik termasuk mengharapkan Perdana Menteri menggantikan pemimpin tertentu yang tidak lagi relevan, tiada integriti dan tidak efisien.

Penentuan rayuan kes  Anwar Ibrahim pastinya jadi tumpuan, jika beliau terlepas itu kejutan besar. Menarik juga untuk dinantikan pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Pas di Kelantan. Apakah ia akan tetap dilaksanakan atau sebaliknya dikejutkan dengan pembatalan atau penangguhan lebih lama lagi ekoran tekanan sekutu pakatan iaitu DAP dan PKR? Itu belum menyentuh soal cabaran ekonomi dan lain-lain. Apa pun, hadapilah 2015 dengan senyuman dan keyakinan. Selamat Tahun Baharu.

Utusan Malaysia Rencana Awang Selamat 28 Disember 2014
Tags: banjir, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments