kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Belajar dari banjir

FENOMENA banjir yang berlaku ketika ini benar-benar mengejutkan semua pihak. Apatah lagi ia dilihat antara banjir terburuk pernah berlaku di negara ini. Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAM ID telah menemubual Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), PROF. MADYA DR. AHMAD ISMAIL untuk mendapatkan pandangan lanjut tentang perkara ini. "Kalau kita lihat kawasan banjir dan tanah runtuh, ia banyak berlaku di kawasan yang tidak dirancang dengan baik. Malah ia berlaku di kawasan serta pada musim yang sama hampir setiap tahun, oleh itu sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi perkara ini.

MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat masalah banjir yang boleh dikatakan paling buruk dalam sejarah negara ini?

DR. AHMAD: Kalau kita lihat fenomena yang berlaku di rantau ini menunjukkan kejadian banjir dan angin kuat sering berlaku. Misalnya kejadian puting beliung di kawasan utara semenanjung dan suasana banjir yang sedang berlaku. Mungkin ini kesan akibat perubahan iklim dunia dan kejadian berlaku makin buruk berbanding masa lampau. Banyak faktor yang boleh menyebabkan perubahan iklim dan kesannya bukan berbentuk setempat tetapi serantau.

Sebab itulah isu perubahan iklim ini dibincang bersama dengan negara lain di dunia sama ada berjiran atau tidak. Perbincangan tentang perubahan iklim sudah lama dianjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Mungkin agensi terlibat sudah mempunyai maklumat yang boleh meramalkan perubahan cuaca dan membantu rakyat Malaysia bersedia menghadapi bencana alam ini. Walaupun kita tidak mampu menghalang kejadian angin kuat, hujan lebat dan banjir tetapi kita boleh membuat persiapan apabila bencana alam seperti banjir berlaku. Banyak perkara yang boleh kita pelajari jika kita melihat perkara ini secara serius untuk menanganinya dari berulang lebih buruk pada masa akan datang.

Boleh Dr. jelaskan tentang fenomena new moon yang dikatakan menjadi punca air pasang lebih tinggi daripada biasa?



Prof Madya Dr.Ahmad Ismail

DR. AHMAD: Fenomena new moon berlaku apabila kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang kemudian menyebabkan air pasang. Ini menjadi faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur sekarang. Dalam hal ini, keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

Walaupun hujan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena new moon yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa. Hujan yang tidak berhenti sebelumnya juga telah menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar dan mengakibatkan banjir teruk. Oleh itu, di negeri-negeri yang belum terjejas teruk dengan banjir, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir.

Apakah tiupan angin Monsun Timur Laut yang secara konsisten merentasi Laut China Selatan turut menjadi punca masalah banjir teruk tahun ini. Berapa lama angin ini dijangka akan bertiup dan apa kesannya jika ia terus berpanjangan?

DR. AHMAD: Jika kita lihat, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu pada Isnin hingga Rabu lepas. Dijangkakan juga episod keempat Monsun Timur Laut akan bermula pada 28 hingga 31 Disember depan malah mungkin berterusan sehingga Januari nanti.

Akibat Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang lebih menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari bermula November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015. Ini bermakna hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak beberapa minggu ini, akan berlanjutan sehingga awal Januari depan.

Apa persediaan yang boleh dilakukan oleh penduduk yang bakal terjejas? Mungkin sebelum ini ramai yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan akhirnya terperangkap.

DR. AHMAD: Kalau kita ada data tentang banjir, keadaan muka bumi, penggunaan tanah serta ramalan cuaca yang tepat, kita boleh mendidik penduduk serta memberi amaran awal supaya dapat dilakukan tindakan selanjutnya. Memandangkan keadaan perubahan cuaca berterusan maka Malaysia perlu lebih bersedia dengan perancangan dan penyelidikan selain pengetahuan dan teknologi.

Sekiranya kita mempunyai data-data hujan, banjir, aliran sungai dan keadaan muka bumi setempat maka adalah lebih mudah untuk kita menasihati rakyat dan masyarakat tentang cara menghadapi dan menangani masalah akibat banjir. Untuk mendapat data-data tepat kajian terperinci perlu dilakukan melibatkan beberapa agensi kerajaan sebelum mengambil tindakan sepatutnya. Hakikatnya di Malaysia kajian terperinci tentang perubahan iklim dan pemanasan dunia kasih kurang dijalankan.

Apa langkah awal yang boleh dilakukan oleh penduduk di kawasan yang masih belum dilanda banjir atau bakal di landa banjir?

DR. AHMAD: Apa yang penting kerajaan perlu mengenal pasti tempat-tempat yang selamat dan tidak selamat. Ini penting supaya penduduk boleh berpindah lebih awal atau semua pihak boleh mengambil tindakan sepatutnya lebih awal jika kelengkapan dan kepakaran yang lebih baik dapat disediakan.

Kalau kita sudah kenal pasti kawasan yang selalu dilanda banjir maka adalah penting supaya aktiviti pembangunan, pembukaan tanah dan penerokaan hutan dapat dirancang dengan baik. Kalau kita lihat kawasan banjir dan tanah runtuh, ia banyak berlaku di kawasan yang tidak dirancang dengan baik. Malah ia berlaku di kawasan serta pada musim yang sama hampir setiap tahun, oleh itu sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi perkara ini. Dengan pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang ada tentang cuaca, masyarakat boleh diberi pendidikan awal tentang perubahan cuaca dan ancaman yang akan berlaku.

Harapan dan pandangan Dr. supaya masalah akibat fenomena banjir ini tidak menjadi begitu buruk pada masa hadapan?

DR. AHMAD: Apa yang penting maklumat terperinci tentang muka bumi, penggunaan tanah, lokasi penempatan penduduk, faktor persekitaran dan ramalan cuaca dapat dikumpul dan diselaras supaya ia dapat membantu penduduk dan pihak berkuasa. Alhamdulillah setakat ini pihak yang bertanggungjawab telah bersedia dan mengambil tindakan segera dan pantas dalam memberikan bantuan dan menyelamat mereka yang terperangkap dalam bencana ini.

Apatah lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang prihatin dan sukarela membantu dapat menguruskan perkara ini dengan berkesan. Namun begitu kalau ada maklumat kependudukan dan ramalan tentang kawasan bencana, tindakan susulan sudah tentu akan lebih baik dan terurus sekali gus memudahkan urusan semua pihak.

Tags: banjir, bencana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments