Hujung tahun 2014, hampir seluruh Semenanjung mengalami musim tengkujuh. Beberapa kawasan di Pantai Timur kini ditenggelami air. Saya teringin menulis topik ini sebab bencana yang tidak diduga ini merupakan satu takdir tetapi banyak pula pihak dan individu cuba menyalahkan pihak tertentu kerana lewat menghulur bantuan.
Bagaimanpun saya berhajat untuk meneruskan topik minggu lalu, ‘Penguatkuasaan yang lembik dan lembut’. Aisah Bee mengirim e-mel dengan pertanyaan bagaimana hendak mengatasi masalah ini jika kerap bertolak ansur? Malah kata Aisah, satu modus operandi pekerja asing ialah berkahwin dengan rakyat tempatan semata-mata untuk mengaburi banyak pihak supaya mereka dapat ‘permit’ untuk berniaga dan mohon status penduduk tetap. Keadaan begini sudah banyak berlaku.
Warga Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Afrika, Iran, Iraq dan jangan lupa Rohingya yang sepatutnya tidak berniaga tetapi boleh dilihat bebas berniaga di mana-mana di Malaysia, begitu juga yang mengemis.
Pihak berkuasa juga kena menyiasat dakwaan aktiviti mengklon kad status pelarian UNHCR.
Banyak kesan kurang baik kepada ekonomi negara. Sebagaimana kiriman e-mel Mohd Zul tentang pengaliran wang keluar negara. Berbilion wang negara dihantar pulang oleh pekerja asing ke negara asal mereka. Tahun 2012 mencatatkan rekod RM19 bilion. Itu yang dihantar pekerja sah. Berapa pula jumlah yang dihantar oleh pekerja asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara haram dan berniaga? Jumlahnya mungkin sekali ganda.
Malaysia yang bakal menuju status negara maju bakal dirosakkan oleh cara hidup Dunia Ketiga pekerja asing. Selain membawa masuk amalan rasuah, pekerja asing membawa bersama mereka budaya pengotor, tidak hormat pada undang-undang. Dahulu mana ada orang mengutip sampah atau mencari barang di dalam tong sampah. Tetapi sekarang masyarakat kita pun sudah terikut-ikut gaya mereka. Jangan suatu hari, orang kita tanpa segan silu menjual barangan di simpang jalan berlampu isyarat.
Majikan yang menggaji pekerja asing dalam jumlah yang ramai ini pula mengambil kesempatan memperlakukan pekerja mereka seperti hamba abdi dengan gaji yang rendah dan waktu kerja yang panjang. Tempat tinggal mereka tidak dipedulikan apatah lagi kemudahan kesihatan. Sebab itulah pekerja asing tinggal bersama-sama rakyat tempatan dan menggunakan perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan. Sering kali kita dengar pekerja asing terperangkap di Malaysia kerana majikan tidak mahu membayar gaji dengan alasan sudah bankrap. Benarkah majikan mereka rugi dan bankrap?
Cadangan
Kata Mohd Zul negara kita masih memerlukan pekerja asing. Tetapi jumlahnya perlu terkawal dengan mengambil kira peluang pekerja tempatan masih tidak terjejas. Mohon kerajaan supaya mengambil berat perkara yang berikut.
1. Mengawal jumlah ejen pekerja asing. Syarikat yang mengurus pekerja asing mestilah hendak mengaut untung. Jadi mereka akan membawa masuk seberapa banyak pekerja asing ke negara ini. Kerajaan diminta mengguna pakai pengambilan pekerja asing secara antara kerajaan dengan kerajaan.
2. Memberi ingatan kepada negara pembekal agar pekerja asing mematuhi undang-undang Malaysia, tidak terlibat dalam perniagaan serta tidak mengambil peluang berkahwin dengan penduduk tempatan.
3. Mengetatkan pemberian permit masuk yang membolehkan pekerja asing tidak mahir dan separuh mahir begitu mudah memohon taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan. Apa faedahnya kepada negara dengan memberi keistimewaan ini kepada tukang sapu, pencuci atau pekerja kontrak warga asing. Taraf ini sepatutnya diberi kepada golongan profesional seperti ahli kewangan, jurutera, saintis dan profesional lain kerana negara memerlukan kepakaran mereka.
4. Memastikan pekerja asing yang tamat permit kerja pulang kembali ke negara asal mereka bagi menghapuskan terus masalah PATI di negara ini. Kepakaran Singapura dalam hal ini mungkin boleh ditagih. Mungkin kerajaan boleh mengenakan denda berat kepada syarikat pembekal dan majikan yang gagal memastikan pekerja mereka pulang mengikut tempoh ditetapkan.
5. Mengehadkan tempoh permit pekerja asing bagi mengurangkan masalah aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran dan bagi mengelakkan pekerja asing ini terlibat dalam aktiviti perniagaan.
6. Mengehadkan pengambilan pekerja asing di sektor peruncitan, perkhidmatan dan pelancongan. Warga tempatan mungkin tidak berminat bekerja di tapak pembinaan dan ladang sawit. Tapi mustahil mereka juga tidak mahu bekerja di tempat berhawa dingin seperti hotel, restoran dan pasar raya.
7. Mewujudkan peraturan anti ali baba (penyewaan lesen warga tempatan kepada warga asing) bagi mengelakkan rakyat tempatan mengambil jalan mudah menyewakan lesen perniagaan mereka kepada rakyat asing. Jika dibiarkan, pekerja asing akan menguasai ekonomi negara kita.
Harap suatu masa nanti negara kita bebas bergantung kepada pekerja asing. Janganlah kita terlalu memudahkan warga asing mengambil hak rakyat tempatan.