kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hulur bantuan tanpa mengira perbezaan

Banjir dan bencana adalah dugaan besar Tuhan kepada hamba-Nya. Dugaan adalah untuk terima dan hadapi dengan penuh tabah bagi menguji kekuatan kita bersama. Justeru, sekarang masa untuk bekerja bersama. Masa untuk melupakan segala perbezaan yang ada dan saling membantu serta menghulur pertolongan tanpa mengira apa jua perbezaan sama ada bangsa, bahasa, warna kulit dan pegangan politik.

Semua pihak perlu menghulur bantuan dan sokongan dengan penuh ikhlas untuk mereka yang menghadapi dugaan ini. Paling tidak pun, berdoa dan melakukan ritual agama masing-masing meminta pertolongan Tuhan agar ia segera berakhir.

Banjir, bencana alam lain dan musibah termasuk kemalangan yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan kesusahan dan kesedihan menjadi ukuran bagaimana kita saling bekerjasama dan membantu dengan sebaik mungkin.Sepatutnya tidak ada yang mengambil kesempatan dan memburukkan keadaan. Kita tentu masih ingat cerita menarik rakyat Jepun ketika berhadapan musibah tsunami suatu ketika dahulu.

Rakyatnya sabar beratur panjang untuk mendapatkan makanan, tidak merosakkan apa sahaja yang ada untuk kepentingan diri dan melakukan tindakan yang boleh menyebabkan kesusahan kepada saudaranya yang lain.

Gerakkan pasukan sukarela

Sekarang juga adalah masa untuk menggerakkan apa jua pasukan sukarela dengan pengawasan, bantuan dan kerjasama pihak berkuasa dan pada masa sama mengelak sebarang tragedi. Media sosial menggembleng kekuatan bersama seperti membuat kutipan pakaian, makanan, sumbangan lain termasuk tenaga dan wang ringgit untuk membantu mangsa di mana sahaja tanpa hanya menyerahkan semata-mata kepada kerajaan dan pihak berkuasa, bukan menyebarkan berita tidak sahih.

Sepanjang 2014, banyak perkara terjadi disebabkan perbezaan pendapat dan pandangan, pegangan politik dan pelbagai tuduhan, kejadian ngeri dan jenayah yang berterusan serta banyak lagi yang membimbangkan. Walaupun terkawal, terlalu banyak api permusuhan ditiup dengan kata-kata mahu pun tindakan yang boleh menimbulkan permusuhan berpanjangan

Kita sepatutnya menutup tahun 2014 ini dengan muhasabah diri, doa dan usaha untuk menjadikan negara sentiasa terpelihara kedamaian, keamanan dan kesentosaannya, saling memaafkan serta memulakan tekad dan azam untuk saling membantu mewujudkan negara lebih sejahtera dan bahagia.

Marilah kita beriltizam menggembleng apa sahaja yang boleh untuk melakukan perubahan yang bermula dengan diri sendiri secara konsisten dengan saling memahami, menghormati dan menghargai, mengelak diri daripada membuat pertimbangan berasaskan persepsi dan pandangan peribadi kepada fakta serta data yang tepat termasuk dalam kalangan mereka yang membuat fatwa mengelirukan dan berasaskan kefahaman sendiri sehingga menimbulkan kekhilafan, pertelagahan dan kebencian bukan sahaja dalam kalangan kita, malah juga pelbagai kaum dan agama.

Marilah kita turun padang tanpa melihat siapa penerimanya kerana bencana yang terjadi memerlukan kita ikhlas bersama dengan semua pihak dengan niat ikhlas membantu saudara yang ditimpa musibah.

Konsep Kaizen

Penulis sentiasa teringat pesanan tokoh korporat yang juga Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff yang ditemui baru-baru ini yang katanya: "Jika sesebuah institusi dan seseorang pemimpin ingin berjaya dia harus mengetepikan antara emosi dan pandangan peribadi dengan fakta dan data yang sahih. Selagi kita menggunakan fakta dan data, kita akan dapat mengelakkan dari sikap prejudis dan dituduh dalam konteks yang salah".

Beliau mengingatkan kembali penulis kepada konsep Kaizen sebagai usaha penambahbaikan berterusan diperkenalkan Masaki Imai dalam bukunya Kaizen: The Key to Japan's Competetive Success (1986) yang menekankan kepada proses kerja yang baik menghasilkan hasil yang baik, bercakap dengan data dan mengurus dengan fakta, bekerja bersama-sama dan selesaikan masalah dari akar umbi.

Kaizen tentu bukan sekadar amalan kualiti industri dan organisasi, tetapi dalam kalangan kehidupan kita dengan mengharapkan 2015 lebih baik dan sejahtera bermula untuk bekerja bersama-sama menghadapi dugaan Tuhan yang berlaku sekarang ini. Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia Berita Harian Kolumnis 28 Disember 2014

Tags: banjir, bencana
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments