kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akur resolusi 10 perkara demi kekal harmoni

Penduduk di Sabah dan Sarawak agak tersentak dengan kenyataan dan perbuatan beberapa pihak, termasuk PERKASA dan ISMA berkaitan dengan agama di negara ini. Perbuatan merosakkan kain rentang 'Selamat Hari Krismas', ancaman membakar Bible dan kenyataan orang Islam tidak boleh mengucapkan 'Happy Hari Christmas', bagi penduduk pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak, sesuatu yang tidak munasabah serta di luar kebiasaan mereka.

Kontroversi berkaitan isu agama tidak mendatangkan untung dari segi keharmonian hubungan etnik dan kesejahteraan hidup di negara ini.

Dalam kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, kalimah Allah telah lama digunakan dalam Bible. Jadi, apabila ada arahan dan keputusan mahkamah kalimah itu tidak boleh digunakan oleh orang Kristian, ia mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan penganutnya.

Bagi menanganinya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan resolusi 10 perkara untuk meredakan kemarahan dan kekecewaan orang Kristian di Sarawak dan Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10.

Penyelesaian 10 perkara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dalam kenyataan mengenai penyelesaian 10 perkara menyatakan bahawa kerajaan mengambil kira kepelbagaian pandangan daripada kumpulan agama yang berbeza, termasuk umat Islam.

Penyelesaian 10 Perkara itu diumumkan pada April 2011 untuk menyelesaikan isu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia Timur.

Dalam perjanjian itu, Bible dalam semua bahasa boleh dicetak atau diimport ke dalam negara. Alkitab dalam semua bahasa boleh diimport ke negara ini termasuk bahasa Melayu/Indonesia dan Alkitab ini boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ini adalah perkembangan baru yang wajar diterima oleh kumpulan Kristian; Alkitab dalam bahasa suku kaum tempatan di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang juga boleh dicetak secara tempatan dan diimport.

Kenyataan itu juga menyatakan untuk Sabah dan Sarawak, memandangkan masyarakat Kristian yang besar di negeri berkenaan, tiada syarat dikenakan atas pengimportan dan percetakan tempatan untuk Alkitab dalam semua bahasa, termasuk bahasa Melayu/Indonesia dan bahasa suku kaum tempatan.

Tidak ada syarat dikenakan untuk meletakkan sebarang cap atau nombor bersiri. Dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Islam yang lebih besar di Semenanjung, Alkitab dalam bahasa Melayu/Indonesia, sama ada diimport atau dicetak, perlu ada perkataan 'Penerbitan Kristian' dan lambang salib dicetak pada kulit muka depannya.

Semangat 1Malaysia

Mengikut kenyataan itu, dalam semangat 1Malaysia dan memandangkan ramai orang yang merantau di antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung, tidak akan dikenakan larangan atau sekatan untuk orang yang membawa Alkitab mereka serta bahan Kristian dalam perjalanan seperti itu.

Kerajaan komited bekerjasama dengan kumpulan Kristian dan semua kumpulan agama yang berbeza untuk menangani isu antara agama serta berusaha ke arah pencapaian semua aspirasi keagamaan bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menegaskan Sarawak tidak berkompromi dengan pihak yang cuba membawa masuk unsur ekstremisme agama dan kaum ke Sarawak.

Semua akui bahawa hubungan etnik di Sabah dan Sarawak begitu harmoni.

Bukan luar biasa, ada daripada kaum keluarga menganut agama Kristian, Islam, dan kepercayaan lama, tetapi mereka hidup saling menghormati, di bawah satu bumbung.

Perkahwinan campur menyumbang kepada kesepaduan sosial yang utuh.

Pandangan dan sikap ekstrem tidak boleh dibiarkan menyusup ke dalam masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Kita perlu saling bertolak ansur dan menghormati agama serta kepercayaan etnik lain, dan mengelak daripada menyinggung perasaan mereka.

Kenyataan yang emotif dan provokatif perlu dielakkan. Konflik agama tercetus kerana kegagalan kita memahami dan menghormati ajaran dan upacara agama lain. Kita perlu mengelak mengeluarkan kenyataan provokatif dan emotif tentang agama lain. Inilah ramuan untuk menjamin kesepaduan sosial dan survival bangsa.

Jeneri Amir ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak Berita Harian Kolumnis 28 Disember 2014

Tags: agama, harmoni, integration
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments