kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rakyat harus buka minda tepis fahaman radikal

Dunia pernah menyaksikan pengganas menculik untuk tebusan wang ringgit, menyerang pusat tarikan pelancong dan hiburan yang biasa dilanggani oleh orang fahaman sekular, merampas kapal terbang, mengebom markas tentera selepas askar memburu mereka. Terkini, dunia dikejutkan dengan kejadian pengganas membunuh 142 orang, termasuk 132 pelajar sebuah sekolah khas yang disediakan untuk anak pasukan keselamatan di Peshawar, Pakistan pada 16 Disember lalu.

Penduduk seluruh dunia, bersama rakyat Pakistan, menitiskan air mata kerana terlalu sedih memikirkan anak-anak yang tidak berdosa dan tidak berupaya mempertahankan diri dibunuh begitu sahaja secara kejam. Air mata setiap insan yang bertamadun dan beriman pasti bergegar. Pembunuhan itu dilakukan oleh enam anggota bunuh diri, 'Tehreek-e-Taliban' (TTP), satu kumpulan yang diharamkan oleh Kerajaan Pakistan.




Seluruh pelajar di Pakistan mengutuk tindakan kejam serangan ke atas kanak-kanak di Peshawar, baru-baru ini. - Foto REUTERS

Menurut akhbar Dawn, segerombolan penyerang menceroboh sekolah itu dan hanya berniat membunuh dan bukan untuk menculik kanak-kanak untuk dijadikan tebusan dalam membuat sebarang tuntutan. Mereka dilaporkan menembak mati mangsa satu demi satu.

Menurut jurucakap tentera Pakistan, niat penyerang ialah menembak mati seramai pelajar yang boleh dalam masa tertentu. Menurut Dawn lagi, seorang guru yang berada dalam kelas bersama kanak-kanak dibakar hidup-hidup. Sukar memahami faktor utama yang mendorong mereka membunuh orang lain yang tidak berdosa khususnya kanak-kanak dan wanita. Apa pun, ia adalah satu jenayah kejam melampaui batas kemanusiaan malah perbuatan terkutuk.

Pada April 2013, William Robert Johnston membuat laporan bertajuk Terrorism, as a general rule, targets non-combatants, including men, women and children. However, terrorist attacks specifically targeting children over other non-combatants are uncommon. Ini bermakna, kanak-kanak bukanlah sasaran utama pengganas. Jadi, kenapa Taliban memilih kanak-kanak sebagai sasaran mereka?

Akhbar The Express Tribune pula melaporkan, pengganas membunuh lebih 49,000 orang sejak peristiwa 9/11. Lebih 24,000 nyawa terkorban akibat serangan pengganas antara tahun 2001 hingga 2008. Manakala satu laporan media baru-baru ini melaporkan kumpulan Taliban bertanggungjawab memusnah sejumlah 1,030 sekolah dan kolej di kawasan yang mereka kuasai sejak tahun 2009 hingga 2013.

Bertindak melampaui batas

Apakah kita di Malaysia dapat belajar daripada kejadian kejam itu? Pengganas yang menggunakan alasan agama bertindak hingga melampaui batasan, termasuk pancung kepala tebusan untuk menakutkan-nakutkan pihak berkuasa dan orang awam yang tidak sealiran dengan ideologi mereka.

Pengganas cuba melakukan apa sahaja untuk menunjukkan mereka wujud dan berkuasa untuk lakukan apa sahaja tanpa dikesani oleh pihak berkuasa untuk mencapai agenda mereka, sama ada agenda bermotif politik atau keagamaan.

Dalam hubungan ini, serangan pengganas terhadap tentera kerajaan dan orang awam sudah sudah jadi perkara biasa bagi rakyat Pakistan. Persoalannya, apakah trend ini akan menjangkiti dan merebak ke negara lain pada masa akan datang?

Baru-baru ini juga, kita dikejutkan dengan berita seorang anak muda warga Malaysia yang berusia 26 tahun terbabit dalam pergerakan 'Islamic State' atau IS. Anak muda ini dilaporkan terkorban dalam satu serangan ke atas askar Iraq. Dalam serangan itu, 25 askar Iraq terbunuh.

Selain itu, kita juga dimaklumkan empat lagi anak muda rakyat Malaysia menyertai IS turut maut dalam kegiatan menyerang askar Iraq. Kerajaan Malaysia dilaporkan mengesan hampir 39 orang rakyat Malaysia berada di Syria menyertai IS. Kerajaan juga menahan 40 orang yang bersedia untuk berlepas ke Syria dengan tujuan menyertai IS.

Pengesanan dan tangkapan warga Malaysia yang terbabit dalam IS jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya generasi muda terdedah dan terpengaruh dengan fahaman ekstrem dan kaedah pengganasan untuk mencapai sesuatu matlamat, sama ada matlamat politik atau keagamaan. Pembabitan generasi muda dalam kumpulan militan boleh dianggap sebagai satu ancaman besar kepada keselamatan dan keamanan negara terutama kepada negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia kerana generasi muda adalah tiang, tunjang dan warisan negara.

Kertas Putih

Menyedari hakikat bahawa IS berjaya mempengaruhi pemikiran segelintir remaja di Malaysia untuk menyertai IS, maka kerajaan baru-baru ini mengeluarkan 'Kertas Putih' tangani ancaman IS bagi menyedarkan rakyat terhadap bahaya dan ancaman IS kepada Malaysia. Kertas Putih ini juga menjelaskan bentuk ancaman yang bakal dihadapi sekiranya IS dibiarkan menyerap dalam pemikiran rakyat Malaysia. Kertas Putih ini dijangka membantu rakyat memahami ancaman pergerakan ekstremis dan ganas.

Sehubungan ini, kerajaan perlulah bertindak tegas dalam menangani ancaman penularan fahaman pengganasan di kalangan rakyat terutama generasi muda daripada pengaruh IS. Ada yang berpendapat bahawa modus operandi IS dari Iraq dan Syria ke Malaysia. Malah, ada kemungkinan kumpulan yang pernah menyertai IS di Iraq dan Syria akan cuba menguji kehandalan dan kemahiran mereka di sini.

Kertas Putih juga mendedahkan bahawa kerajaan sudah mengesan lima warga Malaysia yang menjadi ahli IS bersembunyi di Selatan Filipina dan bergerak bersama kumpulan Abu Sayyaf. Kita sedia maklum bahawa Abu Sayyaf bergerak di kawasan berhampiran dengan Pantai Timur Sabah dan sentiasa melakukan penculikan dan menimbulkan ancaman keselamatan kepada rakyat Sabah. Sekiranya kumpulan ini berjaya mewujudkan rangkaian mereka ke Sarawak, maka rakyat Sabah dan Sarawak mungkin terdedah dengan risiko keselamatan daripada tingkah laku kumpulan ini.

Sehubungan ini, kerajaan perlu pastikan bahawa fahaman pengganasan tidak menular dan berakar di Malaysia kerana ia akan membinasakan seluruh struktur masyarakat, nilai dan cara hidup kepelbagaian, keharmonian dan kemajuan sejak kita bebas daripada belenggu penjajahan. Malah rakyat dijangka akan dihantui dengan pemikiran dan ketakutan serangan pengganas.

Dalam hal ini, rakyat berharap kerajaan tidak teragak-agak menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dalam menangani ancaman pengganasan dalam menjamin keselamatan negara dan rakyat. Kerajaan juga perlu segera menggubal undang-undang khas, Akta Anti Keganasan untuk membantu mencegah dan membanteras kegiatan pengganasan.

Persediaan minda rakyat

Perlu ditegaskan di sini bahawa undang-undang diperlukan untuk pihak berkuasa bertindak tetapi yang apa lebih penting adalah persediaan minda rakyat untuk menolak fahaman ganas. Rakyat harus bersedia menerap nilai murni dan bertamadun yang dianjurkan oleh agama masing-masing agar ianya menjadi benteng dan memelihara prinsip kemanusiaan.

Pemimpin politik termasuk pembangkang menyokong usul Kertas Putih yang dibentang di Parlimen mengenai IS dan ini menandakan rakyat Malaysia sanggup bersama dengan kerajaan, tanpa mengira perbezaan politik, dalam menjayakan usaha menangani sebarang bentuk ancaman, sama ada ancaman pengganasan, fahaman radikal, pergerakan militan atau ekstrem yang boleh menggugat stabiliti dan keselamatan negara. Marilah kita mengetepikan perbezaan ideologi politik, agama dan cara hidup, bersatu padu untuk memelihara Malaysia, negara tercinta ini, daripada ancaman pengganas yang berpotensi menghancur kesejahteraan rakyat menikmati selama ini. Penulis ialah ahli panel pemikir JASA

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments