kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PT3: Rungutan, matlamat dan kelemahan

PERSEPSI bahawa setiap jenis peperiksaan, penilaian mahupun pentaksiran di sekolah merupakan tiket untuk menentu masa depan seseorang murid menjadikan ibu bapa akan terus mencari kelemahan-kelemahan bidang pendidikan di negara kita walaupun pelbagai perancangan dibuat sejak sekian lama.

Setiap rungutan itu akan kedengaran selepas keputusan sesuatu peperiksaan itu diumumkan. Ini bermakna, apabila keputusan anak-anak tidak membanggakan, kelemahannya dituding kepada Kementerian Pendidikan, Pihak Perkembangan Kurikulum dan mungkin sampai ke pihak-pihak lain.

Malah, sejak Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan ramai merungut tentang ke arah mana atau ke mana hala tuju pelajar-pelajar sekolah rendah serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 yang hendak menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ramai pula yang melihat betapa soalan-soalan penilaian dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini yang lebih berfokuskan soalan objektif tidak akan membawa pelajar ke mana-mana kerana tidak mengheret mereka untuk berfikir ketika menjawab. Pilihan jawapan A, B, C dan D boleh diteka dan kalau ada nasib, mereka boleh lepas.

Apabila soalan dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) lebih menjurus kepada soalan subjektif bagi kebanyakan subjek, maka dengan sendirinya tabiat meneka jawapan sudah tidak boleh dijadikan amalan oleh pelajar dalam kebanyakan subjek, sebaliknya mereka mesti memikirkan sendiri untuk mendapatkan jawapan. Ia turut disertai soalan-soalan aras tinggi yang menguji kebolehan dan daya fikir serta kreativiti pelajar.

Perbincangan mengenai acuan sebenar penggantian PMR bukanlah perkara baharu. Pelajar-pelajar yang baharu sahaja menduduki PT3 sebenarnya tidak mengetahui format penilaian sebenar beberapa subjek sepanjang mereka belajar di Tingkatan 1 dan di Tingkatan 2. Apabila mereka melangkah masuk ke Tingkatan 3 sampai Mei, formatnya masih bercelaru, sekejap itu, sekejap ini. Guru-guru pun apabila ditanya, tidak tahu bagaimana soalan sebenar bagi sesetengah subjek dalam penilaian yang bakal menggantikan PMR tersebut.

Sama seperti 2002 dahulu. Semasa Komponen Sastera (Komsas) diperkenalkan kepada pelajar bagi subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di peringkat PMR, sampai Mei 2002 pelajar tidak tahu di mana letaknya soalan berkaitan komponen itu, berapa soalan daripada enam teks yang dipelajari sepanjang tiga tahun, berapa jumlah markahnya dan bagaimana bentuk soalannya sedangkan pelajar-pelajar tersebut sudah belajar sejak tahun 2000 iaitu di Tingkatan1 dan Tingkatan 2. Mereka hanya ada tiga atau empat bulan sahaja sebelum menduduki PMR 2002 ketika itu.

Penulis merasakan, untuk masa-masa akan datang, sekiranya format penilaian dan peperiksaan akan ditukar atau dirombak, biarlah format sebenar diketahui dan difahami oleh pelajar dalam jangka masa panjang, bukan dalam masa tidak sampai setahun.

Oleh sebab keputusan sesuatu penilaian itu dianggap penting oleh ibu bapa untuk menentukan ke mana arah anak-anak mereka selepas Tingkatan 3, sama ada di sekolah biasa atau di sekolah berasrama penuh, PT3 tetap dianggap penting walaupun ia bukanlah peperiksaan.

Apa-apapun, masyarakat mestilah memahami matlamat PT3 yang mahu menjadikan pelajar itu bersedia bersaing dalam peringkat yang lebih luas, dan bukannya berorientasikan kecemerlangan dari segi akademik sahaja.

Oleh itu, pihak-pihak berkenaan mestilah lebih giat turun padang menjelaskan kepada masyarakat tentang PT3. Semua itu boleh dilakukan menerusi forum-forum, seminar bukan setakat di sekolah tetapi juga di media-media massa.

Utusan Malaysia Rencana 29 Disember 2014
Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments