kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PT3 bukan satu peperiksaan

AGAK ralat apabila masih ada pihak dalam masyarakat meng­anggap Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu satu peperiksaan. PT3 ialah penilaian berdasarkan pencapaian. Ia dinilai oleh pi­hak sekolah berdasarkan instrumen yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.


Pelajar-pelajar cemerlang 8A Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bergambar bersama selepas mengambil keputusan di Sekolah Menengah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang, Isnin lalu. – Utusan/Mahathir Ali

Markah yang diperoleh berda­sarkan pencapaian sebenar. Tidak seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) di mana pencapaian pelajar diberikan gred berdasarkan keseluruhan. Pelajar yang memperoleh markah rendah pun boleh mendapat gred A jika pencapaian keseluruhan pelajar rendah dalam PMR.

PT3 adalah satu daripada komponen penilaian berasaskan Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS). Penilaian PBS adalah satu an­jakan dalam pendidikan di negara kita yang sebelum ini berorientasi­kan peperiksaan. Orientasi peperiksaan pelajar belajar untuk menghadapi peperiksaan secara total di sekolah, bermula daripada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengabaikan hal-hal lain.

Ibu bapa dan masyarakat juga sanggup berhabis-habisan untuk me­mastikan anak mereka cemerlang dalam peperiksaan. Kesannya, kebanyakan pelajar walaupun cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak mampu bergaul dalam masyarakat dan bersaing di peringkat global.

Agak ralat juga apabila keputusan PT3 di kebanyakan sekolah baru-baru ini kurang cemerlang dan mereka menganggap hal ini ber­punca kerana pelaksanaan PT3 dilakukan secara tergesa-gesa dan format soalan tidak diberi lebih awal. Hakikatnya, pelaksanaan Pe­lan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) gelombang pertama yang melibatkan PBS yang merangkumi PT3 berlangsung 2013-2015. Taklimat berkaitan telah diberikan kepada semua peringkat termasuk ibu bapa. Sewajarnya, semua pihak bersedia untuk menghadapi perubahan tersebut. Terimalah hakikat keputusan PT3 secara terbuka untuk membaiki kelemahan dan kekurangan.

Masalah format soalan tidak timbul sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan mengikut sukatan pelajaran. Pendidikan melibatkan perubahan sikap, tingkah laku serta minda. Pi­hak Perkembangan Kurikulum juga mengeluarkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid sebagai tambahan kepada sukatan pelajaran. Jika guru dan masyarakat meng­gunakan panduan tersebut untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran pelajar, sudah pasti pelajar yang mencapai tahap atau band tertinggi mampu menghadapi soalan penilaian aras tinggi.

Sesetengah sekolah dan pusat tuisyen masih terikat pembelajaran menggunakan pendekatan pe­periksaan dan tidak mengambil kira perkembangan pelajar dan disiplin ilmu yang sewajarnya. Mereka teraba-raba apabila tidak ada format peperiksaan untuk pengajaran. Walhal jika guru mengikut panduan perkembangan pembelajaran, mengadakan aktiviti pembelajaran mengikut deskriptor dan mengikut kecerdasan pelajar dengan pelbagai kaedah serta berusaha meningkatkan kecerdasan pelajar pada tahap kemampuan tertinggi, tiada masalah bagi pelajar untuk menjawab apa-apa sahaja format soalan dan tugasan dalam pentaksiran. Malah pelajar akan berkeyakinan untuk mengolah kecerdasan dan menjawab persoalan yang dikemukakan secara kreatif dan inovatif tanpa terikat dengan format yang ditetapkan.

PT3 tidak seharusnya dilihat satu entiti tersendiri. PT3 adalah pentaksiran pusat yang saling melengkapi pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) dan psikomertik. Hal ini kurang atau tidak mendapat perhatian masyarakat, walhal ujian ini juga menjadi aspek penting dalam pendidikan untuk menyalurkan pelajar belajar ke pe­ringkat lebih tinggi sama ada aliran sains, sastera atau vokasional. Murid yang menunjukkan minat dalam bidang kemahiran atau vokasional akan lebih berjaya jika disalurkan dalam aliran berkaitan. Andai golongan ini disalurkan ke aliran akademik, kita bimbang mereka tidak beroleh kemahiran yang diminati dan tidak beroleh sijil SPM yang diharapkan.

Setakat ini, berapa ramai ma­syarakat yang mengambil berat hal komponen dalam PBS. Sebagai contoh, berapa ramai masyarakat yang tahu indeks jisim badan (BMI) anak-anak mereka dalam ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang terdapat dalam aktiviti jasmani. Begitu juga kesungguhan media massa yang memperkatakan hal ini yang memberi impak masa depan generasi akan datang. Seolah-olah hal ini diabaikan.

Begitu juga hal-hal lain dalam komponen PBS. Kita lebih bimbang anak-anak tidak cemerlang PT3 dan tidak ambil kisah band yang dikuasai oleh anak-anak dalam pen­­taksiran di peringkat sekolah. Seharusnya guru dan ibu bapa bertungkus lumus untuk meninggikan pencapaian band anak-anak di sekolah yang secara tidak langsung akan memberi natijah kecemerlangan ujian PT3.

Sebagai contoh hal berkaitan BMI, ibu bapa tidak bimbang apabila anak mereka melebihi atau kurang tahap BMI mereka. Mereka menganggap masalah berat badan perkara biasa dan tidak mengganggu pembelajaran serta masa depan mereka. Begitu juga murid tidak aktif dalam kokurikulum serta kemasyarakatan tidak diberi perhatian oleh masyarakat walhal ini juga memberi impak dari segi sahsiah, sosial, fizikal, intelek­tual, dan mental apabila berada dalam masyarakat.

Jika masih ada masyarakat yang menganggap PT3 itu satu bentuk peperiksaan, dan guru berbalik se­­mula mengajar berasakan format soalan PT3 sahaja, nescaya matlamat PPPM dan PBS akan terbantut.

Guru seharusnya melaksanakan PdP berpandukan panduan perkembangan murid dan membuat pentaksiran berdasarkan skala band yang selaras dengan kecerdasan pelajar serta menyampaikan pelajaran berdasarkan disiplin ilmu barulah kita dapat melahirkan pelajar yang kritis dan inovatif serta mampu berfikir untuk menyelesaikan apa juga bentuk soalan yang dikemukakan dalam PT3.

PBS itu ibarat ujian tara yang menilai pencapaian pelajar mengikut skala yang ditetapkan. Pelajar ber­saing dengan diri sendiri untuk mencapai tahap yang ditentukan. PBS bukan persaingan dengan rakan sebelah, sesiapa yang di depan dialah cemerlang.

Percayalah, walaupun keputusan PT3 tidak memberangsangkan, tetapi dengan bentuk soalan yang dikemukakan dalam pentaksiran lalu, PT3 adalah lebih berkualiti berbanding PMR. Sistem PBS jika dilaksanakan dengan lancar dan penuh integriti akan melahirkan pelajar berkualiti berbanding dengan sistem yang berorientasikan peperiksaan.

Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments