TIADA yang lama, tiada yang baru... Begitulah boleh diumpamakan dengan kehadiran dan kehilangan pejuang-pejuang dalam industri seni tempatan.
Di sebalik kehadiran dan kehilangan mereka ini, jasa dan pengorbanan mereka terus dikenang sehingga ke hari ini. Tahun 2014 juga menyaksikan segelintir bintang-bintang seni yang pergi meninggalkan kita buat selamanya. Al-Fatihah buat mereka...
Datuk Sharifah Aini (1953-2014)
Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia pada Sabtu (5 Julai 2014) di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Allahyarhamah yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.
Allahyarhamah pernah merakamkan 93 buah album termasuk tujuh album Inggeris.
Antara lagu popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.
Malah namanya turut terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman serta memiliki 135 album.
Adam Ahmad (1964 - 2014)
Penyanyi Adam Ahmad, 50, yang popular era 1980-an dengan lagu Kau Pergi Jua telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Mei lalu di Hospital Ampang akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak mencipta lagu-lagu hit seperti Di Hari Persandingan Mu dan Di Pantai Cinta Berahi nyanyian Yunizar Hosein.
Ketika bergelar anak seni, beliau sempat melahirkan lima buah album seperti Untukmu Sayang (1983), Kau Pergi Jua (1984), Kembali Bersama (1985), Agar Dia Kembali (1985) dan Rindu Menghempas Hati (1987).
Datuk Aziz Sattar (1925-2014)
Aziz Sattar |
Kehilangan seniman ini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada peminatnya. Allahyarham meninggal dunia 6 Mei lalu akibat penyakit jantung di Hospital Kajang.
Sedikit mengenai Allahyarham, beliau dilahirkan di Surabaya, Indonesia dan terkenal menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali
Baba Bujang Lapok, dan Pendekar Bujang Lapok.
Selain bergelar pelakon beliau juga pernah mengarahkan filem yang mana filem pertamanya berjudul Keluarga Si Comat pada tahun 1975.
Allahyarham meninggalkan tujuh anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu, Hashimah Delan.
Datuk Mustapha Maarof (1935-2014)
Mustapha Maarof |
Allahyarham berusia 79 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya akibat komplikasi paru-paru.
Dilahirkan pada 1 Januari 1935, hero legenda ini cukup terkenal dengan lakonannya sebagai tunggak utama di dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Detik 12 Malam, Keris Sempena Riau dan Sumpah Pontianak.
Allahyarham pernah menerima Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10
Oleh Marina Sahabudin Sinar Harian Hiburan 28 Disember 2014
Pergi meninggalkan nama dan jasa
HANYA jasad yang pergi tetapi jiwa dan semangat mereka tetap kekal bersemadi di dalam hati para peminat. Al-Fatihah...
Kassim Masdor (21 Januari 2014)
Komposer terkenal dari Singapura, Kassim Masdor 76, meninggal dunia malam tadi setelah berada dalam keadaan kritikal akibat penyakit asma |
KEHEBATAN Kassim Masdor sebagai komposer memang tidak dapat dinafikan sejak mula berkecimpung dalam arena muzik semasa era Shaw Brothers. Bersama-sama Tan Sri P Ramlee yang boleh dianggap sebagai gurunya, Kassim mula mencipta nama pada tahun 1950-an.
Walaupun sudah tidak aktif dalam lapangan seni, ingatan peminat terhadap Kassim tidak pernah luput apabila banyak karyanya menjadi malar segar selain menjadi lagu tema filem hitam putih.
Antara lagu gubahannya termasuk Bahtera Merdek yang pernah didendangkan oleh Ahmad Jais, Sapu Tangan Tanda Mata (Saloma), Si Baju Hijau (Saniah Huri) dan Pelangi Petang (Sudirman).
Kassim meninggal dunia di Hospital Singapura akibat asma.
Datuk Ali Mamak (27 Mac 2014)
Jenazah Ali Mamak selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Qariyah Dusun Tua |
DATUK Ali Mamak atau nama sebenarnya Jantan Osman tidak sahaja terkenal sebagai pelakon komedi dan mencipta nama menerusi sitkom popular tahun 80-an, Santan Berlada.
Beliau yang telah menghambakan diri dalam bidang seni selama 25 tahun juga merupakan seorang penyanyi lagu berunsur komedi yang banyak menyelitkan kritikan sosial dalam lagu dendangannya.
Ali Mamak meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat komplikasi peparu dan kanser.
Sidek Hussain (27 April 2014)
MUNGKIN ramai yang masih mengingati sosok tubuh pelakon yang mempunyai ketumbuhan luar biasa di bahagian pipi ini. Malah pada satu wawancara beberapa tahun lalu, dia menegaskan, mahu menghadap Ilahi dalam keadaan yang begitu.
Telah mengalami ketumbuhan di wajah sejak berusia 20-an, pelakon tersebut meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat ketumbuhan itu yang dikenal pasti sebagai kanser tahap keempat.
Terkenal dengan watak jahat dalam filem dan drama lakonannya, Sidek mula dikenali selepas membawa watak utama dalam filem Toyol.
Pelakon Sidek Hussain yang mengalami ketumbuhan di bahagian muka |
Idris Sardi (28 April 2014)
PEMUZIK legenda tanah seberang ini sudah mengenali biola sejak usianya enam tahun. Pada usianya 10 tahun, dia sudah memukau khalayak ketika membuat persembahan sulungnya di Yogjakarta.
Idris Sardi, satu nama besar yang menjadi pujaan bukan sahaja di Indonesia malah penggemar muzik di negara ini. Beliau merupakan ayah kepada pelakon, Lukman Sardi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun kerana menderita penyakit paru-paru.
Kartina Dahari (1 Mei 2014)
Terkenal sebagai penyanyi irama keroncong, Kartina Dahari juga merupakan penyanyi Melayu pertama yang merakamkan album Inggeris di Singapura.
Walaupun sudah lama ‘berehat’ dari industri seni suara, Kartina terus diingati dengan lagu-lagu malar segarnya seperti Sayang Disayang serta duetnya bersama-sama Ahmad Jais, Budi Setahun Segung Intan.
Kartina meninggal dunia di Hospital Mount Elizabeth, Singapura akibat penyakit barah payu dara yang dideritainya sejak empat tahun lalu.
Datuk Aziz Sattar (6 Mei 2014)
LEGASI Bujang Lapok yang terakhir ini meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ, Kajang, Selangor pada usia 89 tahun.
Gandingan Aziz yang terkenal dengan panggilan Pak Ajis ini bersama-sama P. Ramlee dan S. Shamsuddin dalam filem Bujang Lapok akan terus terpahat sebagai antara watak ikonik dalam dunia perfileman Melayu.
Selain berlakon, beliau juga pernah mengarah dan menulis skrip.
Jamal Muhamad (7 Mei 2014)
Terkenal dengan panggilan Pakcik Jamal, Jamal Muhamad juga merupakan Speaker bagi Mini Parlimen, sebuah rancangan kanak-kanak yang begitu popular tahun 80-an.
Merupakan penerbit kepada program yang dicetuskan ideanya oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hamah Mohd Ali, Jamal juga merupakan penerbit bagi beberapa rancangan kanak-kanak lain antaranya Taman Kanak-Kanak, Pesta Pop dan Pesta Aneka.
Beliau meninggal dunia di Hospital Putrajaya akibat penyakit ankylosing spondylitis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu. Penyakit itu menyebabkan tulang belakang Jamal membengkok hingga mengganggu paru-paru.
Adam Ahmad (15 Mei 2014)
LAGU dendangan dan lirik nukilannya, Kau Pergi Jua yang puitis melekat di hati peminat sehingga hari ini.
Selain menyanyi, Adam Ahmad juga hebat mencipta lagu dan antara yang popular dan terus menjadi siulan adalah lagu-lagu seperti Janji Manismu nyanyian Aishah, Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff) dan Di Hari Persandinganmu (Yunizar Hussein).
Beliau meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Nabil Abdul (18 Jun 2014)
RAMAI yang masih belum mengenali pelakon muda ini tetapi saat berita pemergiaanya tersebar pada Jun lalu, drama Manisnya Cinta lakonannya bersama-sama Siti Saleha sedang ditayangkan di kaca televisyen.
Nabil Abdul yang juga merupakan adik kepada aktres, Lydia Ibtisam meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur kerana kanser yang dihidapinya sejak sekian lama.
Datuk Sharifah Aini (5 Julai 2014)
TIADA lagi senyum, tawa dan canda wanita ini namun Biduanita Negara ini meninggalkan seribu satu kenangan manis buat seluruh pemujanya.
Mencipta rekod tersendiri sebagai artis paling lama bernaung di bawah syarikat rakaman EMI sejak 1969 dengan album pertamanya, Seri Dewi Malam, Sharifah Aini menjadi artis selepas menjuarai Bintang RTS pada 1968.
Pernah merakamkan lebih 100 buah album termasuk album Inggeris, Sharifah Aini juga terkenal dengan lagu-lagu duetnya bersama-sama Broery Marantika dan Latiff Ibrahim.
Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada usia 61 tahun akibat fibrosis paru-paru atau paru-paru berparut yang dihidapinya.
Maidin Ibrahim (13 Ogos 2014)
KELETAH Maidin Ibrahim atau panggilan popularnya, Mamu akan terus diingati bukan sahaja kerana jenakanya tetapi juga dialek utara yang pekat.
Terkenal dengan gandingannya bersama-sama Pie, Maidin popular menerusi beberapa siri filem Anak Mami selain rancangan Salam Pantai Timur.
Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Gurun, Kedah.
Datuk Jamil Sulong (25 September 2014)
Datuk Jamil Sulong merupakan anak Melayu ketiga diberi kepercayaan mengarahkan filem di Malay Film Productions di Singapura selepas P. Ramlee dan Haji Mahadi.
Filem pertama arahannya adalah Batu Belah Batu Bertangkup namun Ranjau Sepanjang Jalan lakonan Sarimah Ahmad dan Ahmad Mahmud menjadi antara filem yang memberi impak dalam perjalananan seninya.
Selain dikenali sebagai pengarah, Jamil juga popular sebagai penulis lirik dan banyak bekerjasama dengan P. Ramlee menghasilkan karya indah antaranya lagu Berkorban Apa Saja dan Tiru Macam Saya.
Beliau yang juga pernah menghasilkan buku, Jamil Sulong: Warisan dan Wawasan dan Kaca Permata : Memoir Seorang Pengarang meninggal dunia selepas koma akibat serangan angin ahmar di kediaman anaknya di Bukita Damansara, Kuala Lumpur.
Datuk Mustapha Maarof (15 Dis 2014)
PEMBABITAN dalam fIilem Hang Tuah nyata memberi tuah kepada Datuk Mustapha Maarof dalam dunia perfileman Melayu. Dengan wajah kacak berkarisma, Mustapha telah membintangi lebih 50 buah filem. Dia juga memilki syarikat produksi Warna Motion Pictures.
Pernah memimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Mustapha juga telah dianugerahkan Tokoh Perfileman Finas pada 2010.
Beliau meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Tuanku Mizan, Wangsa Maju akibat radang paru-paru.