kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sumpahan 
patin dan kerapu

Benarkah manusia boleh dimakan sumpah? Misalnya, keturunan Laksamana Bentan akan muntah darah kalau menjejakkan kaki ke kawasan perkuburan Sultan Mahmud, di Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor. Atau, Langkawi jadi padang jarak padang tekukur akibat sumpah Mahsuri?

Di Perak, keturunan Pak Kadok ditegah daripada memakan ikan tapah. Ini kerana, kira-kira 500 tahun lalu Pak Kadok telah dibantu oleh seekor ikan tapah untuk menebus semula kampungnya yang tergadai akibat kalah menyabung ayam.

Konon kisahnya, selepas kampungnya tergadai, Pak Kadok telah menemui seekor ikan tapah besar di Sungai Perak. Di dalam perut ikan itu pula terdapat banyak barang kemas yang diperbuat daripada emas. Dengan adanya barang-barang kemas itu, dapatlah Pak Kadok menebus kembali kampungnya yang tergadai tadi.

Oleh itu, Pak Kadok bersumpah, keturunannya tidak dibenarkan menjamah ikan tapah. Hatta kuahnya pun tidak dibenarkan. Kalau dilanggar, kulit mereka akan melecur, melepuh seperti disiram air panas, bahkan boleh melarat hingga membawa maut.

Keluarga Pak Kadok menetap di Kampung Tua, Lambor Kanan, Perak. Sejak beratus-ratus tahun lalu, sudah banyak kejadian melanggar pantang berlaku. Bagi mengubatinya, orang yang melanggar pantang itu akan dibawa ke Kampung Tua dan diberi minum air rendaman Emas Kancing Tapah, iaitu saki baki emas yang didakwa ditemui oleh Pak Kadok dalam perut ikan tapah. Kancing emas itu disimpan oleh salah seorang keturunan Pak Kadok.

Mitositu mungkin ramai yang sudah tahu. Namun tidak ramai yang tahu, sebenarnya ada keturunan-keturunan lain yang ditimpa sumpah seumpama itu. Antaranya ialah keturunan Melayu Brunei yang dilarang memakan ikan patin, dan suku Cagayan yang diharamkan memakan ikan kerapu.

Ikan Tapah (Wallago attu)

Ikan Patin (Pangasius hypophthalmus)

Ikan Kerapu (Grouper)

MENANGIS SAMPAI MATI

Diceritakan bahawa suatu ketika dahulu, sekumpulan pelayar dari Brunei telah terperangkap di atas beting pasir di tengah laut. Lama kelamaan, beting itu semakin besar dan kering kontang, menyebabkan mereka terdampar kelaparan serta kehausan.

Pelayar-pelayar itu bagaimanapun selamat selepas menjumpai punca mata air di tengah beting pasir. Mata air itu kian membesar dan dari air itu keluar seekor ikan patin. Walaupun lapar, pelayar-pelayar tersebut tidak sanggup memakannya kerana beranggapan ikan itulah yang telah menyelamatkan mereka.

Cerita itu disampaikan kepada anak cucu, dan bagi mengenang jasa ikan patin, keturunan mereka dilarang memakan ikan patin sampai bila-bila. Bukan setakat makan, menyentuhnya pun tidak boleh. Kalau dilanggar, mereka akan ditimpa musibah.

Suatu hari, seorang isteri yang sedang mengandung, secara tidak sengaja telah terkuit seekor ikan patin yang diletakkan di lantai bilik air, menggunakan hujung jari kakinya.

Sampai waktunya, si isteri tadi sukar untuk bersalin. Bayinya tersekat selama beberapa jam. Ibu mertua wanita berkenaan segera membakar tulang ikan patin bersama kemenyan, kemudian diperasapkan di atas perutnya. Abunya pula dicampur dengan minyak dan dilumur ke seluruh badan wanita berkenan.

Hanya beberapa minit selepas itu, wanita berkenaan terus selamat melahirkan bayinya. Tapi musibah belum berakhir. Apabila bersalin, bayinya lahir bersama lendir yang cukup banyak, seperti lendir ikan patin.

Si bayi kemudian sering menangis tidak henti-henti, manakala si ibu hilang selera makan hingga badan menjadi kurus dan lemah. Mereka hanya sembuh selepas dirawat dengan tulang ikan patin.

Saya mengetahui kisah ini dari si ibu tadi, Dayang Ramsah Pangeran Osman, serta suaminya, Bohari Chee, yang menetap di Sri Aman, Sarawak. Pasangan itu percaya, sumpahan ikan patin masih berterusan sampai sekarang.

Sebabnya, seorang saudara mereka bernama Awang Bakar pernah jatuh sakit dan seterusnya menjadi gila selepas memakan ikan tersebut. Awang Bakar yang menetap di Sebuyau, akhirnya meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan.

Seorang lagi kenalan yang saya temui di Sri Aman juga percaya sumpahan itu belum berakhir. Sumandi Marwak menceritakan kepada saya, dua orang jirannya berketurunan Melayu Brunei turut menjadi gila selepas memakan ikan patin.

TIGA BERADIK MATI

Suku Cagayan yang berasal dari Filipina pula disumpah tidak boleh memakan ikan kerapu. Sumpahan ini kononnya berpunca daripada nenek moyang mereka tiga beradik yang mati dimakan ikan kerapu gergasi, beberapa ratus tahun lalu. Sumpahan itu dikatakan masih berterusan walaupun sebahagian daripada mereka sudah meninggalkan tanah air dan berpindah ke Sabah.

Suatu petang, seorang remaja lelaki bernama Jamaloh Osim mendapat seekor ikan kerapu semasa memancing di Sungai Pampang, Sandakan. Jamaloh ingat pesan nenek moyangnya supaya jangan makan ikan kerapu, tapi dia tertanya-tanya akan kesahihan sumpahan itu. Betulkah, atau cakap kosong saja?

Pulang ke rumah, Jamaloh menyuruh adiknya yang bernama Hauhia supaya menyiang ikan kerapu sebesar tapak tangan itu dan kemudian dimasak rebus. Tetapi sewaktu makan malam, Jamaloh tidak menjamah langsung ikan tersebut.

Dia hanya melihat saja tiga orang adiknya, Hauhia, Fatimah dan Ainon memakannya sehingga habis. Lewat malam barulah ibu dan ayahnya pulang ke rumah, selepas keluar sejak siang hari. Ketika itu Jamaloh dan ketiga-tiga orang adiknya sudah pun tidur.

Esoknya kampung mereka gempar. Hauhia, Ainon dan Fatimah meninggal dunia serentak. Mereka meninggal dunia di dalam tidur selepas makan ikan kerapu.

Akibat kejadian itu, Jamaloh teruk dimarahi ibu bapanya. Dia melarikan diri dari rumah dan tidur di dalam hutan akibat berasa terlalu bersalah kerana melanggar sumpahan nenek moyangnya.

Saya temui Jamaloh ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Sibugal Besar, Sandakan. Walaupun ketika itu peristiwa tersebut sudah berlalu lebih 50 tahun, namun dia masih rasa bersalah atas kematian ketiga-tiga orang adiknya.

Menariknya, kalau Jamaloh tidak berani lagi menyentuh ikan kerapu, beberapa orang penduduk suku Cagayan di kampungnya tidak mengendahkan langsung sumpahan tersebut. Ikan kerapu ke, jenahak ke, siakap ke, semuanyamereka makan. Tiada apa yang berlaku kepada mereka, kecuali kenyang!

Adakah mereka tidak tahu akan kisah sumpahan ikan kerapu? Tahu. Tetapi mereka menganggapnya sebagai dongeng dan mitos semata-mata.

Persoalannya, mengapa adik-adik Jamaloh mati serentak, sedangkan orang lain tidak mendapat apa-apa kesan selepas memakan kerapu? Begitu juga di kalangan masyarakat Melayu Brunei. Mengapa mereka benar-benar ditimpa musibah selepas menyentuh atau menjamah ikan patin?

Utusan Malaysia Rencana Misteri 28 Disember 2014 6:00 PM
Tags: ikan, sumpahan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments