kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Banjir laman 
sosial terburuk

Ketika negeri ini dilanda banjir yang disifatkan sebagai yang terburuk sejak lebih tiga dekad lalu, kerajaan negeri bersama seluruh jenteranya dan Pusat berusaha melakukan yang terbaik agar aspek kesejahteraan rakyat terus terjaga.

Namun di sebalik segala persiapan dan persediaan de­ngan menghadap rutin ketibaan fenomena alam ini, cabaran yang dihadapi sukar diduga, apatah lagi ketibaan bencana itu luar biasa sifatnya.

Ternyata semua ini cukup mencabar kemampuan ketika anggota-anggota yang dikerah bagi memastikan keselamatan mangsa di samping menjaga kebajikan terjaga mereka manakala yang tidak ditimpa musibah, emosi mereka mungkin turut terapung dengan rasa resah.

Seakan terlepas daripada perhatian, terdapat di kala­ngan anggota petugas yang keluarga mereka juga turut diancam bencana dan berada dalam kebimbangan namun terus bertugas menunaikan tanggungjawab mereka bersama sepanjang 24 jam.

Segala kepayahan yang dilalui suatu dugaan untuk semua, menghadapinya dengan penuh sabar bukan sahaja bagi mangsa apabila seluruh keselesaan, kesenangan diragut dan harta benda musnah, dengan hari-hari depan dirasakan makin sukar.

Bencana tentunya datang dengan segala kepayahan, lalu kita akan tetap terdengar tangisan, jeritan, kegelisahan di samping cercaan, tohmahan dan fitnah ketika tanggungjawab kemanusiaan ini harus dipikul bersama oleh sesiapa yang mampu.

Dalam keadaan sebegini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengajak semua untuk saling membantu.

“Mungkin kecil (bentuk bantuan) bagi sesetengah daripada kita tetapi besar makna­nya bagi mereka yang berdepan dengan bencana ini.

“Ini bukan masanya bagi sesetengah pihak untuk menyebarkan segala tohmah untuk meningkatkan keri­sauan rakyat, seronok me­nuding jari untuk me­nyalahkan sesiapa dan mengambil kesempatan bagi meraih kepenting­an politik,” ujarnya yang turut menjadi mangsa serangan.

Seorang teman yang mendokong parti pembangkang turut menyatakan kekecewaannya tentang ‘banjir’ di laman sosial yang dianggapnya lebih buruk daripada bencana yang melanda, sarat dengan kutukan, mencari salah dan menimbulkan rasa cemas, membakar emosi mangsa dan umum dengan paparan foto dan kisah yang tidak benar.

“Perasaan kecewa melanda apabila melihat ramai sahabat yang suka menulis dengan tujuan mengutuk dan bukan membantu.

“Persoalan-persoalan seperti: “Kenapa begitu tidak begini?”. “Orang ini tak pandai, orang itu jahil.” “Parti ini gitu parti itu gitu” atau “Aku belum terima arahan” dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau mempersoalkan, dalam keadaan sebegini kenapa tidak menyatakan apa yang mereka boleh buat atau bersama mengajak orang lain mengerah tenaga dan dana, berdoa dan bersolat hajat dan sekurang-kurangnya berterima kasih kepada pasukan penyelamat.

“Duduk di hadapan komputer mencari salah dan silap orang dan berlagak pandai memang senang. Jadilah manusia yang berjiwa besar dan bersama sama berusaha membantu mereka yang sedang menghadapi ujian Allah ini,” ujarnya.

Wan Zulkifli Wan Yaacon Utusan Malaysia Rencana 30 Disember 2014
Tags: media
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments