kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

25 Tokoh lawan 33 Pemikir

SEHARI dua lagi tahun 2014 akan berlalu – satu tahun penuh suka-duka dan pelbagai peristiwa yang pasti terpahat dalam memori kita untuk selama-lamanya.

Dalam tempoh 12 bulan yang lalu ini banyak isu yang sempat saya sentuh dan ulas – bukan hanya dari sudut perundangan, tetapi lebih penting lagi dari sudut kemanusiaan.

Sepanjang beberapa minggu lalu, disebabkan perhatian terpaksa diberi kepada isu bencana alam (dari peristiwa tanah runtuh di Cameron Highlands pada November lalu membawa kepada banjir luar biasa yang masih berlarutan hingga hari ini), saya tidak kesempatan membuat ulasan mengenai surat terbuka oleh 25 tokoh ‘elit’ Melayu dan memorandum jawapan oleh 33 pemikir Islam.

Hendaknya ulasan ringkas saya kali ini mengenai isu penting masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini menjadi penutup tirai untuk minggu terakhir tahun ini.

Surat terbuka 25 tokoh elit Me­layu bertarikh 8 Disember 2014 itu mengandungi lebih sedikit daripada 1000 perkataan, disusun dalam hampir 20 perenggan. Perenggan 15 (perenggan terpanjang surat terbuka ini) menyebutkan lima ‘isu penting’ yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan diselesaikan segera.

Memorandum jawapan yang dibuat oleh 33 pemikir Islam bertarikh 15 Disember pendek sahaja, mengandungi kurang daripada 700 perkataan, disusun dalam hanya 12 perenggan. Memorandum ini menjawab beberapa isu yang dibangkitkan dalam surat terbuka 25 tokoh tersebut.

25 tokoh yang menandatangani surat terbuka 8 Disember itu terdiri daripada antaranya bekas ketua setiausaha pelbagai kementerian, bekas duta negara ini, seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, bekas Pesuruhjaya Suhakam dan bekas Presiden Majlis Peguam. Ada beberapa individu yang saya pernah kenal (tapi tidak begitu rapat) pada satu waktu dulu.

33 pemikir Islam yang menandatangani memorandum 15 Disember itu terdiri daripada antaranya Mufti Perak, Mufti Pulau Pinang, Ketua Pengarah DBP, mantan Ketua Pengarah JAKIM, mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, beberapa tokoh akademik pelbagai bidang dari universiti tempatan dan Pengerusi Penasihat Syariah Bank Islam. Ada beberapa individu dalam kumpulan pemikir ini yang saya kenal secara peribadi hingga sekarang.

Kandungan 
surat terbuka

Surat ini menyatakan kumpulan ini “berasa bimbang dan amat kecewa dengan perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di negara ini”.

Katanya lagi, perbalahan ini tidak memberi “gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai kedudukan undang-undang Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen”, bahkan mencerminkan “keruntuhan pembahagian kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.”

Surat terbuka ini juga mendakwa “institusi-institusi agama kelihatan bertindak di luar bidang kuasa mereka” iaitu dengan mengeluarkan “pelbagai fatwa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan”.

Surat ini juga mendakwa ‘sema­kin banyak’ NGO berhaluan kanan, “sewenang-wenangnya menuduh pihak-pihak yang berani bersuara sebagai anti-Islam, anti-institusi Beraja dan anti-Melayu.”

Surat ini juga melahirkan kebimbangan kumpulan 25 tokoh ini tentang ‘penggunaan Akta Hasutan sebagai alat untuk menggertak dan mendiamkan’ mana-mana pihak yang ‘mempunyai pandangan yang berbeza’.

Dalam perenggan sembilan surat terbuka ini, kumpulan ini menyatakan bahawa ‘sebagai Muslim yang moderat’ mereka merasa ‘amat bimbang’ dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung keputusan Mahkamah Rayuan (kes lelaki berpakaian wa­nita, yang kini menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan) baru-baru ini.

Seterusnya, surat terbuka ini menggesa agar tindakan segera dibuat untuk ‘menilai kembali undang-undang jenayah syariah di Malaysia’. Mengikut kumpulan ini; “undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai ‘dosa peribadi’ sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan”.

Lantaran itu, kumpulan ini men­dakwa bahawa undang-undang jenayah syariah kita ini; “bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat.”

Kumpulan ini juga menegaskan bahawa, “perbahasan secara rasional dan ilmiah tentang undang-undang Islam di Malaysia bukanlah satu penghinaan terhadap Islam dan pihak berkuasa agama di negara ini”.

Memorandum kumpulan 
pemikir Islam

Dalam memorandum jawapannya, kumpulan pemikir Islam menyatakan mereka setuju dengan pandangan yang disuarakan oleh 25 tokoh Melayu terkemuka tanah air bahawa jalan penyelesaian perlu dicari bagi menangani ‘pelbagai pertikaian yang berterusan mengenai kedudukan dan pelaksanaan perundangan Islam di negara ini’.

Mengikut kumpulan ini, perti­kaian itu berpunca daripada ‘ke­­tegangan yang lahir daripada mar­­ginalisasi undang-undang dan pen­tadbiran Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara Negeri yang mempunyai bidang kuasa yang sangat terbatas’.

Mengikut kumpulan ini lagi, situasi begini ‘bercanggah dengan hasrat orang Islam, yang merupakan majoriti penduduk, untuk hidup di bawah undang-undang syariah’.

Kumpulan ini selanjutnya menyatakan; “Tidak ada negara yang boleh mengabaikan hasrat sebahagian besar rakyatnya tanpa kesan buruk terhadap kestabilan dan keamanan.” Lantaran itu, kumpulan ini mencadangkan agar kerajaan segera tubuhkan satu jawatankuasa tertinggi untuk menyemak semula Perlembagaan Persekutuan. “Perlembagaan bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah. Ia merupakan dokumen kehidupan dan perlu berkembang selaras dengan perubahan yang diinginkan oleh rak­yat,” katanya lagi.

Kumpulan ini juga menyatakan bahawa dalam kritikan mereka terhadap undang-undang dan pentadbiran Islam, 25 tokoh elit Melayu; “..tidak banyak membantu dalam menganjurkan perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu terbabit kerana ia terlalu umum untuk diulas.”

Misalnya 25 tokoh ini mendakwa undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia; “..adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip perundangan Islam dan mencabuli hak-hak kebebasan yang penting”, tetapi mereka “tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut”, kata kumpulan pemikir Islam ini.

Menunggu reaksi dari kerajaan

Barangkali disebabkan Putrajaya terpaksa berdepan de­ngan pelbagai isu negara yang dianggapnya lebih penting dan kritikal (antaranya kejadian bencana alam di Cameron Highlands pada November lalu dan kini banjir luar biasa yang melanda negara), hingga hari ini kita belum lihat reaksi kerajaan mengenai apa yang disuarakan oleh tokoh 25 Me­layu ini dan jawapan oleh 33 pemikir Islam.

Seperti diduga, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah mengambil ke­sempatan daripada ‘kesunyian’ Putrajaya ini. Dia menuduh Perdana Menteri sengaja ‘memekakkan te­linganya’ dan tidak mengindahkan ‘seruan 25 tokoh Melayu ini’, sebaliknya ‘membiarkan dirinya terus dikawal kelompok ekstremis, suara-suara tidak moderat dan tidak bertoleransi’.

Saya kira sebaik sahaja keadaan negara kembali tenteram dan kedua-dua dokumen bertarikh 8 dan 15 Disember ini selesai dikaji dengan teliti, Putrajaya akan menyatakan sesuatu sebagai jawapannya.

Salleh Buang ialah pakar perundangan. Utusan Malaysia Rencana 30 Disember 2014.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments