kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Semangat negara Persekutuan kita bantu-membantu

Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sentiasa menjadi hangat. Dalam hal pengendalian bencana yang sedang melanda negara, kita dapati perkara ini menjadi debat hangat.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, pada tahun 2008, isu hubungan Persekutuan dan negeri banyak dibincang. Perkara ini timbul kerana kebimbangan sesetengah pihak tentang layanan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri yang diwakili oleh parti politik berbeza daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam kes bencana banjir di Kelantan, ada segelintir bersangka buruk kepada Kerajaan Persekutuan kerana Kelantan seperti tidak diambil peduli kerana diterajui pembangkang di peringkat Persekutuan.

Isu federalisme begitu ketara, bukan sahaja dalam soal politik, tetapi juga hal perundangan. Sebelum ini, juga saya telah mengulas mengenai isu perundangan Islam yang adalah satu kuasa autonomi negeri, tetapi ada peruntukan Perlembagaan yang meletakkan syarat berkenaan pengendalian kuasa autonomi itu.

Ketika kita bergelut dengan bencana banjir di Kelantan dan beberapa negeri lain, keluar pula kenyataan dari utara tentang kuasa autonomi Pulau Pinang. Isu yang dibawa daripada Pulau Pinang itu ialah kuasa fiskal negeri itu. Isu ini selalu dibawa oleh pembangkang, sama ada dari Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang ini. Pokoknya ialah untuk memberikan hak atau kuasa fiskal, (hal berkaitan kewangan) kepada negeri.

Bimbang wujud persaingan

Ketika proses mencapai kemerdekaan perbincangan pada peringkat cadangan oleh Parti Perikatan dan Suruhanjaya Perlembagaan menampakkan kecenderungan untuk memberi kuasa autonomi kepada negeri-negeri untuk menjana pendapatan bagi negeri mereka sendiri dan menggunakan pendapatan berkenaan.

Pun begitu, setelah berbincang lebih panjang, Tunku Abdul Rahman pernah menyatakan kebimbangan beliau mengenai isu fiskal ini, terutama kebimbangan wujudnya persaingan dalam Persekutuan atau apa yang dirujuk sebagai competitive federalism. Sistem seperti itu akan menjadikan sesebuah negeri yang mendapat pendapatan tinggi berpecah atau keluar dari Persekutuan.

Walaupun disedari negeri-negeri perlu diberi kuasa autonomi berkaitan kewangan, negeri tidak diberikan kuasa untuk mengutip cukai-cukai penting. Mengikut Tunku Abdul Rahman, ia akan menjadikan negeri yang kaya bertambah kaya dan negeri yang miskin bertambah miskin.

Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman ialah dengan memberi bantuan (geran) kepada negeri-negeri mengikut keperluan setiap negeri dan cadangan ini telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah semangat negara Persekutuan kita; membantu satu sama lain.

Perlulah disebut bahawa, bentuk negara Persekutuan adalah berbeza-beza antara negara-negara di dunia. Tidak ada persamaan antara semua negara Persekutuan. Dasar pentadbiran dan perundangan dalam sebuah Persekutuan bergantung kepada persefahaman dan juga persetujuan politik ketika membentuk negara Persekutuan terbabit.

Tidak adil banding negara lain

Justeru, tidak adil untuk membandingkan sistem persekutuan negara kita dengan sistem negara Persekutuan yang lain di dunia. Sistem mereka bergantung kepada persetujuan mereka dan sistem kita berdasarkan kepada persetujuan kita. Jika kita perlu mengikut sistem mereka, perjanjian kita hendaklah dinyatakan dalam Perlembagaan kita.

Sebagai contoh, layanan Perlembagaan kepada Sabah dan Sarawak adalah berbeza daripada layanan Perlembagaan kepada negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Kita menerima perkara ini kerana ia persetujuan kita.

Justeru, jelaslah adalah tidak adil jika mahukan semakan semula sistem Persekutuan kita hanya kerana sistem kita tidak serupa dengan sistem di Kanada atau di Amerika. Sejarah kita berbeza; persetujuan kita berbeza dan tujuan pembentukan negara Persekutuan kita juga sudah tentu berbeza dengan mereka.

Benarlah Kerajaan Pusat memperoleh pendapatan daripada negeri-negeri dan menyalurkan semula kepada negeri bersandarkan kepada keputusan pada peringkat Persekutuan. Tetapi perlulah diakui bahawa, kuasa yang banyak, pendapatan yang banyak pada peringkat Persekutuan menjadikan tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang sangat besar.

Kita lihat contoh semasa. Agaknya berapa banyakkah Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja untuk negeri-negeri yang dilanda bencana banjir ini. Bukan sebuah negeri, tetapi beberapa buah negeri dan semuanya bergantung kepada Kerajaan Pusat melalui agensi Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja untuk keselamatan negara dan kesihatan awam. Dengan itu, kerajaan negeri dapat mengurangkan perbelanjaan dan pada masa sama, negeri-negeri, tidak perlu bimbang mengenai defisit fiskal.

Shamrahayu A Aziz ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)  Berita Harian Kolumnis 31 Disember 2014

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments