kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berita palsu, fitnah memudaratkan

Hormati perasaan mangsa banjir, anggota keselamatan dan agensi kerajaan serta kaum kerabat yang bimbang dengan keselamatan ahli keluarga lain yang terbabit dalam bencana banjir paling buruk dalam tempoh 40 tahun di negara ini.

Semuanya gara-gara berita palsu dan fitnah yang berleluasa dalam aplikasi berhubungan media sosial baru seperti Twitter, Facebook, WhatsApp, Weechat, Instagram dan blog tertentu yang memaparkan berita kematian direka-reka bagi menagih simpati, gambar yang ditokok-tambah dan sebaran maklumat tidak sahih hanya memburukkan keadaan dan mengganggu kerja menyelamat mangsa.

Sedih melihat segelintir rakyat Malaysia yang suka sensasi perkara musibah ini dan penulis lagi sedih melihat ramai pula rakyat kita yang memandai-mandai menyebarkan maklumat kurang tepat dan membuat lawak antara satu sama lain.


Pemandangan begini boleh mengundang cemas ahli keluarga yang terbabit banjir. - Gambar hiasan

Ini realiti yang berlaku sekarang dalam kehidupan sosial berteknologi. Walaupun bidang komunikasi menjadi semakin penting kerana kebanyakan perkara yang dilakukan memerlukan kita berkomunikasi. Penulis akur kita tidak boleh hidup tanpa komunikasi.

Komunikasi penting dalam kehidupan, sama ada kita sebagai individu, ahli keluarga, anggota masyarakat, pekerja sebuah organisasi dan rakyat sebuah negara. Justeru untuk memperkasakan diri sebagai lapisan entiti sosial ini, masing-masing perlu memahami proses komunikasi. Ini penting kerana ia dapat menjadi komunikator yang baik demi kesejahteraan bersama.

Komunikasi penting

Lebih-lebih lagi ketika berlaku bencana alam seperti banjir besar melanda di Pantai Timur sekarang, komunikasi amat penting untuk mengetahui keadaan situasi semasa, keselamatan mangsa-mangsa banjir, koordinat lokasi untuk salur bantuan dan menanya khabar kepada ahli keluarga tersayang.

Sebagai contoh, penulis juga terkena tempias bencana banjir besar kali ini di mana kaum kerabat yang tinggal di bandar Kuala Krai menjadi mangsa banjir paling teruk dan kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan.

Sesudah terputus hubungan selama empat hari (sehingga artikel ini ditulis pada pagi Sabtu lalu), penulis berjaya berkomunikasi dengan abang ipar melalui telefon bimbit untuk menanyakan khabar terkini.

"Memang tidak pernah berlaku banjir sebesar ini. Rumah sekarang pun nampak bumbung sahaja walaupun kediaman itu berada di kawasan berbukit. Cukup luar biasa limpahan air kali ini.

"Setakat ini bantuan helikopter berjaya disalurkan kerana ada tempat mendarat. Cuma yang menjadi masalah besar ialah kederasan air yang menyukarkan anggota keselamatan membawa bekalan asas ke pusat-pusat pemindahan," katanya kepada penulis yang agak lega mendapat perkhabaran sebegini. Sempat abang ipar mengingatkan tahap bateri telefon bimbit semakin berkurangan, bekalan elektrik sudah terputus dan isyarat komunikasi tidak stabil yang boleh menyukarkan hubungan berkomunikasi selepas ini.

Memang dalam situasi kecemasan dan krisis bencana, komunikasi adalah kunci utama. Aplikasi komunikasi tanpa wayar biasanya perkara pertama yang terfikir oleh kita pada era teknologi sekarang dalam mana-mana situasi misi bantuan, menyelamat atau kecemasan.

Tetapi setakat mana peralatan tanpa wayar ini bergantung kepada menara komunikasi yang berada di daratan? Apatah lagi di kawasan bencana, sudah pasti ketidakstabilan komunikasi terjejas waima penulis ketika berada di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari pun mengalami masalah penggunaan telefon pintar ini akibat penggunaan serentak kira-kira 100,000 orang sehingga menyebabkan kesesakan jalur lebar yang melampau.

Utama aspek satelit

Sudah tiba masanya kerajaan menitikberatkan aspek satelit komunikasi sebagai satu-satunya infrastruktur komunikasi tanpa wayar yang tidak mudah terdedah kepada kerosakan akibat bencana alam, kerana sistem satelit itu mempunyai pengulang (repeater) utama menghantar dan menerima isyarat dari kapal angkasa satelit yang terletak di luar atmosfera bumi.

Pengguna hari ini mempunyai dua jenis rangkaian komunikasi satelit yang boleh didapati untuk menyokong aktiviti kecemasan iaitu Sistem Satelit Geopegun (GEO) dan Satelit Orbit Bumi Rendah (LEO).

Buat masa ini, GEO terletak 36,000 kilometer di atas bumi di kedudukan yang tetap dan memberi perkhidmatan kepada negara atau rantau yang meliputi sehingga satu pertiga Bumi.

Satelit ini mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan komunikasi, termasuk suara, video dan data jalur lebar.

Satelit ini beroperasi dengan peralatan di stesen bumi yang terdiri daripada antena tetap yang sangat besar sehingga ke peranti mudah alih bersaiz telefon bimbit.

Penulis difahamkan terdapat hampir 300 satelit GEO komersial di orbit bumi yang dikendalikan oleh syarikat satelit global, serantau dan nasional.

Rangkaian ini juga digunakan sebelum bencana di kebanyakan negara untuk menyediakan data seismik dan pengesanan banjir kepada agensi kerajaan bagi membolehkan amaran awal diberikan.

Ia juga digunakan untuk tujuan penyiaran notis bencana atau amaran dan memudahkan komunikasi umum dan aliran maklumat antara agensi kerajaan, pertubuhan bantuan dan orang ramai.

Dalam saat-saat genting seperti bencana banjir ini, penggunaan sistem satelit komunikasi dilihat sebagai satu cara yang paling berkesan bagi memastikan kesinambungan operasi ketika berlakunya kecemasan dan bencana.

Perlu diingatkan, sama ada kita mampu menjangkakan sesuatu bencana akan berlaku atau pun telah berlaku, komunikasi adalah satu perkara yang kritikal dan penting. Oleh itu, perancangan awal yang menyeluruh dan berkesan perlu dilaksanakan seperti mengemas kini peralatan komunikasi yang mengiringi misi bantuan dan pemulihan bencana.

Oleh itu, kerajaan perlu menyedari semua teknologi komunikasi meluaskan deria manusia seperti menyentuh, menghidu, merasa, mendengar dan melihat. Keupayaan ini sekali gus membolehkan kita berkomunikasi pada satu jarak yang jauh dengan cepat.

Boleh dikatakan teknologi komunikasi adalah satu perkakasan yang dapat mempertingkatkan interaksi masyarakat sekali gus membantu menjana evolusi dan revolusi dalam kehidupan manusia pada era ini dan masa depan.

Tags: berita, komunikasi
Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments