kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jika Najib ingin bertahan, separuh menteri perlu dibuang

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkah semua menteri K yang sedang bercuti agar segera pulang bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir adalah suatu episod malang bagi negara kita.

Sebagaimana kita ditimpa malang kerana musibah banjir, kehilangan pesawat MH370 dan MH17, memiliki menteri yang terpaksa diarahkan pulang bak "itik lupa pulang ke sarang" adalah juga musibah malang.

Ia malang kerana realitinya kita mempunyai ramai pemimpin yang tidak sensitif terhadap rakyat dan lebih malang lagi mereka ini sebenarnya tidaklah sangat mengutamakan rakyat sebagaimana yang sering dilaung-laungkan di depan mikrofon, di depan kamera televisyen atau ketika bersama penyokong.

Ia secara langsung juga menggambarkan menteri yang sedang bercuti ini tidak memahami kedudukan mereka sebagai anggota pentadbiran adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Seharusnya apabila mengetahui Najib sendiri sudah mengambil keputusan memendekkan percutiannya di Hawaii, semua menteri yang sedang bercuti ini lebih dulu kembali ke tanah air dan memendekkan cuti masing-masing.

Malangnya, sama ada setelah mengetahui Najib sudah membuat keputusan memendekkan cutinya dan sesudah sekian lama perdana menteri berada di dalam negara melawat mangsa banjir, masih tidak terlihat kelibat barisan menteri ini yang dilaporkan sedang bercuti di London, Australia, New Zealand, Dubai dan China, turut mahu pulang.

Agaknya ketika rakyat sedang sengsara dan Najib sedang bersiap-siap untuk pulang atau ketika melawat mangsa banjir, menteri-menteri ini masih riang ketawa bersama keluarga dan rakan sama ada sambil membeli-belah atau menikmati hidangan yang mewah-mewah.

Setelah dua hari berada di dalam negara, mungkin setelah menyedari hanya segelintir daripada mereka ada dalam negara, Najib akhirnya terpaksa mengeluarkan arahan agar mereka segera kembali dan memendekkan cuti masing-masing.

Tindakan mengarahkan mereka ini pulang pastinya memberi imej buruk kepada nilai kepimpinan yang ada dalam diri menteri-menteri terbabit. Seolah-olah mereka tidak boleh berfikir dan menilai sendiri keutamaan sebagai pemimpin.

Di kalangan yang sedang bercuti ini, di mana sebahagian gambarnya sudah bersepah di media sosial, sama ada menteri terbabit, anak-anak atau rakan mereka memuat naiknya dalam FB, Twitter atau Instagram, adalah merupakan menteri-menteri kanan serta yang "perasan" mereka adalah bakal perdana menteri di masa depan.

Di kalangan tiga menteri kanan yang berjawatan naib presiden Umno iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini sedang berebut untuk saling mendahului menghuni Seri Perdana atau Seri Satria, semuanya hilang, senyap dan sunyi tanpa sebarang berita.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dianggap sesetengah pihak sebagai pelapis kedua calon bakal perdana menteri, turut hilang tanpa khabar berita sehingga poster kehilangannya turut bertaburan di media sosial.

Sebahagian menteri lain juga begitu, yang tinggal dalam negara ketika ini hanya beberapa kerat saja. Asyik-asyik muka menteri yang sama saja sedang bertungkus-lumus dengan mangsa banjir di pelbagai negeri ketika ini.

Pada masa yang sama, Najib sendiri sedang merudum prestasinya dan dipertikai di mana-mana. Dengan pelbagai masalah dalam negara yang tidak berkesudahan, Najib kini berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) berbekalkan hanya 47% undi popular.

Dengan musibah banjir melanda yang sekali gus memperlihatkan ramai menteri sedia ada seperti "tak reti bahasa" dalam sama-sama membantu menaikkan imej kerajaan dan BN, Najib kini tiada pilihan lain selain mengeluarkan sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada daripada Kabinetnya jika ingin terus berkuasa.

Dalam keadaan sekarang, sudahlah Najib sendiri dalam kedudukan "parah"dan hampir "kehilangan nyawa", sebahagian menteri ini pula tidak membantu di saat kehadiran mereka benar-benar diperlukan.

Mereka tidak sanggup atau masih keberatan untuk berkorban, walaupun sebagai pemimpin dan sepatutnya lebih "berakal" berbanding rakyat kebanyakan, membuat sesuatu keputusan bukanlah sukar bagi mereka.

Bersama dengan ramai menteri yang sudah menjadi kecaman ramai sebelum ini dan dianggap tidak layak mengemudi negara, musibah banjir besar ini menyerlahkan lagi sebahagian daripada mereka.

Hanya dengan membuang sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada dan menggantikannya dengan muka baru yang lebih diyakini, barulah mungkin terserlah sedikit sinar untuk Najib, Umno dan BN terus mengekalkan kuasanya.

Jika tidak dan masih enggan membuang mereka, bersedialah untuk "gulung tikar" bersama menteri-menteri yang tak berguna itu. – shahbudindotcom.blogspot.com , – Shahbudin Husin The Malaysian Insider Rencana 30 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Tags: ministers, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments