kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penyebar khabar angin palsu, tiada lagi maaf bagimu!

Hari ini, 31 Disember merupakan hari terakhir dalam tahun 2014, suatu tahun yang cukup tragis dan menyedihkan dalam sejarah negara. Kebiasaannya, pada hari terakhir sesebuah tahun, ramai yang akan mengambil kesempatan untuk meraikan kedatangan tahun baharu.

Bagaimanapun, tidak pada kali ini. Semua sedia maklum, negara telah ditimpa musibah demi musibah baik yang besar mahupun yang kecil sepanjang tahun ini. Musibah demi musibah yang menimpa ini seolah-olah memberi isyarat kepada manusia bahawa Tuhan memberi isyarat kepada umat manusia untuk bertaubat daripada segala dosa dan kemungkaran yang telah dilakukannya.

Bagi kalangan pemimpin negara pula, kepimpinan mereka diuji. Mereka diuji bagaimana untuk menguruskan sesuatu krisis itu dengan baik dan terancang. Mereka diuji untuk lebih peka dan prihatin terhadap kebajikan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap.

Dalam kalangan rakyat pula, inilah ketikanya sikap kental mereka diuji bertubi-tubi. Bagi mereka yang kuat beriman sekalipun, ada kalanya bencana besar yang melanda ini boleh memberikan kesan psikologi serius kepada mereka.

Sesungguhnya,  tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan betapa pilunya mereka yang kehilangan kaum keluarga tersayang akibat tiga tragedi nahas pesawat membabitkan syarikat penerbangan negara, Malaysian Airlines dan terkini, AirAsia.

Perasaan pilu itu juga turut dikongsi bersama oleh ratusan ribu mangsa-mangsa banjir di beberapa buah negeri di Pantai Timur yang terpaksa mengharungi kehidupan seharian sehelai sepinggang. Hingga ke saat ini, seramai 21 nyawa telah melayang akibat bencana banjir ini yang disifatkan paling buruk dalam sejarah negara.

Realitinya, perasaan pilu ini bertambah pilu apabila ada segelintir individu tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan maklumat-maklumat palsu mengenai sesuatu berita seperti tragedi pesawat AirAsia dan bencana banjir. Sejak beberapa hari lalu, beberapa berita yang tidak berasas seperti keruntuhan pusat pemindahan banjir di Manek Urai dan bantuan banjir kepada mangsa banjir tidak sampai telah viral di media sosial.

Lebih malang lagi, ada kalangan rakyat yang mempercayai bulat-bulat berita yang disebarkan itu. Terdapat juga segelintir pemimpin politik yang turut mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh dengan melemparkan tohmahan kononnya kerajaan pusat tidak melaksanakan tanggungjawab kepada mangsa-mangsa banjir.

Agak menyedihkan apabila berita-berita yang tidak ditentukan kesahihannya menjadi viral di media sosial. Kini, seolah-olah timbul satu trend yang mana masyarakat lebih mempercayai sumber-sumber di media sosial daripada media arus perdana. Pendek kata, khabar angin lebih dipercayai daripada maklumat yang sahih.

Ataupun mungkin mentaliti masyarakat kita yang lebih gemarkan berita-berita yang berunsur gosip, berniat jahat dan mempunyai elemen-elemen sensasi? Apakah masyarakat kita ini juga sebenarnya tidak matang, emosional dan sememangnya berniat untuk memporak-perandakan negara?

Yang pasti, khabar angin akan tetap tinggal khabar angin. Melainkan khabar angin itu benar-benar telah ditentusahkan kesahihannya dan mempunyai sumber-sumber yang boleh dipercayai. Khabar angin memiliki elemen sensasi yang akan sentiasa menjadi tumpuan umum. Lagi popular seseorang personaliti dan lagi besar isu yang dimainkan, maka ia akan menjadi laris.

Jujur kata, perbuatan menyebarkan khabar angin atau maklumat-maklumat palsu sebegini merupakan perbuatan orang yang tidak siuman. Hanya mereka yang tidak siuman sahaja yang akan menyebarkan khabar angin yang tidak berasas. Jika sekadar ingin mencari publisiti murahan sekalipun, lakukannya secara profesional.

Penulis menyokong tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani isu penyebaran maklumat palsu mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini. — Gambar oleh BernamaPenulis menyokong tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam
menangani isu penyebaran maklumat palsu mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini. — Gambar oleh Bernama
Memandangkan perbuatan sedemikian mendatangkan lebih banyak kemudaratan, ia harus dihentikan segera. Cukuplah! Ini bukanlah masa untuk mana-mana pihak untuk menangguk di air keruh dan mencetuskan huru-hara.

Ketika negara sedang bersedih atas tragedi-tragedi yang menimpa, ada baiknya jika semua rakyat dan parti-parti politik bersatu tenaga dalam mengharungi detik yang sukar ini. Hakikatnya, tidak sukar untuk pihak-pihak berkepentingan ini untuk mengetepikan kepentingan peribadi masing-masing demi kepentingan nasional. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Marilah kita sama-sama menggembleng tenaga bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih memerlukan perhatian dan sokongan kita. Apa yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, bank, syarikat korporat dalam mengutip derma dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir adalah sesuatu yang dituntut di sisi agama.

Justeru, inilah masa terbaik untuk kita menunjukkan keprihatinan, sokongan, simpati malah juga solidariti dengan mangsa-mangsa banjir tanpa mengira batasan kaum dan agama. Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap pemurah ketika sesebuah negara atau pihak dilanda musibah dan sikap pemurah itu seharusnya diteruskan,

Penulis juga menyokong tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani isu penyebaran maklumat palsu mengenai bencana banjir ini. Pada hemat penulis, pihak berkuasa perlu menghantar satu isyarat penting kepada kumpulan manusia sebegini untuk tidak mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

Pihak berkuasa tidak perlu lagi teragak-agak untuk mengenakan hukuman ke atas kumpulan manusia ini jika mereka benar-benar didapati bersalah. Pendek kata, tiada lagi maaf bagimu.

Kepada si penyebar maklumat-maklumat palsu ini, gunakanlah kebijaksanaan anda untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat. Kikiskan tabiat suka menyebar maklumat-maklumat palsu di media sosial sehingga boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Akan tetapi, jika anda masih berkeras ingin memuatnaik maklumat-maklumat sedemikian, tentukan kesahihannya dahulu. Jangan disebabkan orang lain menyebarkannya, anda juga terikut-ikut dengan sikap itu. Anda seharusnya bertanggungjawab terhadap apa yang dimuatnaik dalam media sosial. Kuasa terletak di tangan anda. Jika berani buat, beranilah untuk menanggungnya.

Sempena kedatangan Tahun Baru 2015, mungkin ada baiknya pengguna media sosial di negara ini bermuhasabah diri dan bertanyakan kepada diri sendiri — apakah peranan anda setakat ini dalam membantu mewujudkan suatu persekitaran yang kondusif lagi sihat dalam konteks penggunaan media sosial?

Jika anda masih belum berbuat demikian, mungkin ada baiknya ini dijadikan sebagai salah satu daripada azam Tahun Baru 2015 nanti. Pastinya juga anda tidak mahu melihat keharmonian dan kesejahteraan negara diganggu-gugat oleh penyebaran maklumat-maklumat palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Moga-moga tahun 2015 akan menjanjikan tahun yang lebih baik bukan sahaja untuk negara bahkan juga untuk diri kita sendiri.

Selamat Tahun Baru 2015!
Tags: berita, news
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments