kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tahun 2015 dijangka lebih mencabar

Melihat kepada suasana hal ehwal antarabangsa dan tempatan di Malaysia pada tahun 2014, kita seharusnya terus tabah menghadapi cabaran tahun 2015 yang dijangkakan lebih mencabar. Tahun ini menampilkan banyak peristiwa yang menguji pemikiran dan emosi kita. Pada peringkat politik antarabangsa, tahun 2014 diwarnai dengan konflik tiada kesudahan selagi manusia bersifat imperialis menguasai dunia dan agama digunakan untuk menggugat keimanan dan kekuatan jiwa penganutnya.

Konflik Israel-Palestin terus menghantui dunia apabila pada Julai lalu Israel menyerang Semenanjung Gaza. Namun, dengan kekuatan Hamas yang semakin bijak dari segi strategi mempertahankan Gaza, maka Israel akhirnya berundur meninggalkan sisa kemusnahan kemanusiaan dan infrastruktur. Yang jelas, Israel gagal memusnahkan kekuatan Hamas secara keseluruhannya, malah menyatukan Hamas dan Fatah ke arah kewujudan kerajaan gabungan.

Usaha gugat Presiden Russia

Tahun 2014 juga menyaksikan kemunculan kumpulan mendakwa pejuang Islam yang lebih ekstrem pendekatan politik, keagamaan dan matlamat ketenteraannya. Kemunculan pejuang IS atau Negara Islam di Asia Barat mengejutkan dunia apabila berjaya menguasai banyak kawasan di Iraq dan Syria dalam usaha menubuhkan negara berasaskan sistem khalifah. Ini menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Eropah dan Asia Barat terpaksa campur tangan dalam operasi yang masih berterusan sehingga ke tahun depan.

Satu lagi konflik serantau yang menjadi masalah global ialah konflik Russia dan Ukraine. Tindakan Kerajaan Ukraine bersekongkol dengan Barat tidak disukai Russia sehingga menyebabkan berlakunya gerakan pemisah di Timur Ukraine. Barat kini berusaha mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Russia bagi menggugat Presiden Vladimir Putin untuk menamatkan konflik berkenaan, namun Kremlin dilihat masih berkeras.

Harga minyak turun daripada AS$110 (RM385) setong pada pertengahan tahun kepada hanya AS$59 (RM206) baru-baru ini. Usaha ini menjejaskan ekonomi banyak negara pengeluar minyak termasuk Malaysia. Malah, ada juga penganalisis berasakan tindakan menurunkan minyak adalah bagi memulihkan ekonomi domestik di Barat khususnya AS dan Eropah Barat.

Ekonomi dunia belum stabil

Apabila harga minyak rendah, rakyat mempunyai lebih wang untuk berbelanja dan menjana pertumbuhan ekonomi. Yang pasti, ekonomi dunia masih belum lagi stabil sepenuhnya. Berikutan rizab negara semakin mengecil di banyak negara Eropah Barat, kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia berlaku tahun hadapan jika tiada tindakan segera negara Eropah mencari inisiatif memulihkan ekonomi mereka.

Di Asia Tenggara pula, menyaksikan krisis politik di Thailand cuba diselesaikan dengan rampasan kuasa tentera pada Mei 2014 lalu. Rampasan kuasa ini meredakan perbalahan antara kumpulan baju merah penyokong kerajaan Parti Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dengan baju kuning yang pro-Parti Demokrat. Namun, ia juga menyebabkan Yingluck dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Jika demokrasi tidak dipulihkan tahun depan, kemungkinan krisis politik ini timbul semula. Kerajaan tentera pimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Can-ocha juga dilihat serius menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand yang mana Malaysia akan berperanan besar sebagai orang tengah menyelesaikan konflik berkenaan.

Di Indonesia pula menyaksikan kuasa rakyat melantik seorang rakyat biasa menjadi Presiden Indonesia yang baharu iaitu Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, berusaha menyelesaikan masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Malah, beliau berusaha membawa pembangunan ekonomi dengan menarik pelaburan asing dan menjadikan Indonesia sebagai negara maritim terunggul di dunia.

Akhir sekali, Malaysia menyaksikan dua peristiwa menyayat hati dengan kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Dua peristiwa ini menjadikan Malaysia dalam perhatian global yang mana banyak negara menghulurkan kepakaran dan bantuan menyelesaikan dua insiden itu. Yang jelas insiden berkenaan belum mencapai penyelesaiannya dan bakal terus diperdebatkan.

Tahun 2014 dan 2015 menjadikan Malaysia semakin penting bagi masyarakat antarabangsa. Tahun 2014 menyaksikan Malaysia telah dipilih sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tahun 2015 nanti menyaksikan Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mengetuai agenda penubuhan Komuniti ASEAN yang juga bermula tahun depan.

Ini jelas menunjukkan Malaysia semakin berperanan besar dalam hal ehwal antarabangsa khususnya sebagai ejen penyelesaian konflik kemanusiaan antarabangsa.   Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia. Berita Harian Kolumnis 1 Januari 2015

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments