kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sorotan 2014: Nahas pesawat komersial cabaran getir


Saban tahun pasti ada peristiwa suka duka yang menjadi lakaran sejarah negara. Bagaimanapun, diimbas sepanjang 2014, Malaysia dan rakyatnya lebih banyak berdepan dengan cabaran, kedukaan dan kesedihan. Satu demi satu tragedi menimpa yang meragut nyawa dan kehilangan harta benda.

Bahkan bagi industri penerbangan, ia umpama mimpi ngeri buat syarikat penerbangan negara. Dalam tempoh empat bulan, dua tragedi yang meragut ratusan nyawa membabitkan industri penerbangan negara.

Tragedi MH370 dan MH17 yang berselang beberapa bulan, bukan kehendak mana-mana negara sekalipun. Tragedi pahit yang masih diingat kini berdepan pula dengan kehilangan pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia pagi Ahad lalu.


Pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia

Kehilangan tiga pesawat komersial

Sukar untuk dipercayai, negara kehilangan tiga pesawat komersial dalam tempoh setahun, dua daripadanya dalam tempoh tiga bulan dalam kejadian umpama sekelip mata. Kehilangan dan nahas pesawat berkenaan juga bagaikan tsunami untuk Penerbangan Malaysia (MAS) yang agak merudum prestasinya sejak beberapa tahun lalu sebelum AirAsia turut digegarkan dengan kehilangan QZ8501.

MH370 membuka tirai tragedi. Tanpa sebaran amaran atau petanda awal, senyum ceria semua penumpang dan anak kapal MH370 ghaib pada pagi 8 Mac lalu. Tiada sebarang isyarat kecemasan dan tiada sebarang petunjuk mencurigakan, penerbangan ke Beijing, China itu gagal tiba di destinasinya.

Misi pencarian digerakkan serta merta, termasuk di perairan negara jiran Vietnam kerana bacaan data pada awalnya menunjukkan MH370 hilang dari radar ketika berada di sekitar perairan Vietnam.  Berikutan tragedi itu, nama Malaysia menjadi buah mulut serata dunia.

Ramai tidak menyedari betapa Malaysia pada hakikatnya ialah sebuah negara yang disayangi oleh banyak pihak termasuk kuasa besar dunia.  Mungkin kedengaran sedikit klise, namun apa yang berlaku jelas memberitahu semua rakyat bahawa Malaysia sebenarnya bertuah kerana tidak berseorangan menghadapi tragedi ini.

Dalam saat-saat yang sungguh sukar itu, 26 negara tampil menyatakan kesediaan membantu pihak berkuasa Malaysia melancarkan misi mencari dan menyelamat. Pelbagai aset canggih termasuk yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini diperlihatkan kepada umum.

Ratusan, malah mungkin ribuan pakar dalam pelbagai bidang duduk bersama-sama menganalisis setiap petunjuk dan data demi mencari jawapan di sebalik kehilangan MH370.


Keranda mangsa tragedi MH17 diberi penghormatan negara sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Misi pencarian di Lautan Hindi

Hasilnya, pada 24 Mac iaitu selepas hampir seminggu hilang tanpa khabar berita, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa bacaan data Immarsat menunjukkan perjalanan pesawat itu berakhir di bahagian selatan Lautan Hindi.  Sejak itu misi pencarian diperhebatkan di kawasan sekitar walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Kini, misi mencari itu masih berterusan dan seluruh negara khususnya waris penumpang serta anak kapal masih tidak jemu menanti khabar berita insan yang mereka cintai.

Belum kering air mata menangisi nasib MH370, MAS sekali lagi dirundung malapetaka apabila pada 17 Julai, pesawat MH17 yang sedang dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Amsterdam terhempas di timur Ukraine, dipercayai ditembak peluru berpandu.

Tragedi yang sungguh tidak dijangka itu mengorbankan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal.  Ia disifatkan nahas kedua terburuk membabitkan pesawat komersial negara, selepas tragedi Tanjung Kupang pada Disember 1977.

Berbeza dengan MH370 yang masih tidak diketahui untung nasib sehingga hari ini, ahli keluarga dan waris penumpang serta anak kapal MH17 menerima takdir yang menimpa insan kesayangan mereka. Berat mata semua yang memandang, berat lagi bahu mereka yang terpaksa memikul sebuah kehilangan ini.

Tanpa sebarang alasan yang jelas, Malaysia terheret sama dalam apa yang disifatkan pembunuhan geopolitik ini.  Ia melampaui batas kemanusiaan, justeru Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berhenti daripada mendesak pelaku jenayah itu dibawa ke muka pengadilan.

Dalam hal ini nasib Malaysia dilihat agak baik kerana berjaya membawa pulang mayat semua warga negaranya yang terbabit dalam tragedi itu secara berperingkat, dengan penuh penghormatan, bermula 23 Julai lalu.


Sebahagian waris anak kapal MH370 dan MH17 yang menghadir pada majlis tahlil anjuran kakitangan MAS dan Surau Al Hijrah, Kota Warisan, Sepang.

Tragedi satukan rakyat

Seisi negara berkabung dalam tangisan. Semua bersatu atas nama kemanusiaan dan kasih sayang sesama rakyat.  Tidak dapat disangkal lagi, tragedi antara detik yang dapat menyatukan semua rakyat tanpa mengira agama dan latar belakang politik.

Awal pagi Ahad lalu, industri penerbangan dikejutkan dengan kehilangan pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia selepas terbang selama 42 minit dari Surabaya ke Singapura membawa 162 penumpang dan anak kapal. Sehingga rencana ini ditulis, pesawat berkenaan yang dikatakan meninggikan paras penerbangan untuk mengelak gumpalan awan tebal masih gagal dikesan.

Walaupun AirAsia Indonesia ini adalah syarikat penerbangan milik Indonesia hasil usaha sama antara AirAsia Berhad menerusi AirAsia Investment Limited dengan pegangan saham 41 peratus dan PT Indonesia AirAsia dengan saham sebanyak 51 peratus, jenama AirAsia dekat di hati rakyat negara ini kerana penerbangan tambang murah ini lahir di Malaysia.

Kontroversi politik, bencana alam warnai senario 2014

Pemecatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar atas kiri) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Ogos lalu atas isu disiplin yang menyebabkan beliau hilang jawatan, adalah antara isu menarik mewarnai politik negara sepanjang tahun ini.

Usaha menyingkir Abdul Khalid bermula dengan Langkah Kajang yang asalnya bermatlamat menjadikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, bagaimanapun selepas beberapa episod yang berlarutan beberapa bulan akhirnya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali meneraju kerajaan Selangor.

Politik Terengganu turut mengambil tempat di dada akhbar apabila pertukaran kepemimpinannya menyaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar atas kanan) bertindak keluar UMNO dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas, Mei lalu, dan kemudian kembali bertaut pada UMNO.

Sarawak menyaksikan pertukaran tampuk pimpinan kepimpinan apabila Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada akhir Februari lalu, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang jawatan itu sejak 33 tahun lalu. Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat perkhidmatan.

Lima pilihan raya kecil

Tahun ini saja menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk dua Parlimen apabila penyandangnya meninggal dunia.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang diadakan pada 25 Mei 2014 selepas kematian penyandangnya, Karpal Singh apabila beliau maut dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Gua Tempurung pada 17 April lalu.

Diikuti PRK Parlimen Teluk Intan, Perak pada 31 Mei 2014 dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor pada 23 Mac, DUN Balingian, Sarawak (29 Mac) dan DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September).

Dunia pendidikan negara turut tercalar apabila kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diambil calon pada September bocor yang turut mencalar kredibiliti Lembaga Peperiksaan dan guru. Calon UPSR terpaksa mengambil semula peperiksaan yang membabitkan kertas Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Tamil semula pada Oktober lalu.

Media sosial digunakan untuk penyebaran soalan bocor sehingga menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti penyebar maklumat termasuk golongan ibu bapa sendiri. Negara memang tidak dapat lari dari isu alam sekitar. Malangnya, apabila berlaku bencana besar seperti banjir lumpur dan tanah runtuh barulah semua pihak menuding jari menyalahkan sesama sendiri berikutan gagal bersahabat dengan alam sekitar.


Banjir lumpur sekitar Lembah Bertam, Cameron Highlands di lihat dari udara. - Foto BERNAMA

Tragedi banjir lumpur

Awal November, tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam dekat Ringlet, Cameron Highlands meragut lima nyawa dan puluhan keluarga terpaksa berpindah ke tempat selamat. Bencana ini berlaku akibat penerokaan tanah secara haram yang memusnahkan kawasan hutan di kawasan pusat peranginan itu bagi tujuan menanam sayuran.

Isu pendatang tanpa izin yang diupah untuk bekerja di kebun sayur, penerokaan tanah secara haram dan kelonggaran penguatkuasaan turut dikatakan antara penyebab utama banjir lumpur dan tanah runtuh ini.

Disember menutup tirai dengan malapetaka banjir besar yang melanda beberapa negara seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga kelmarin, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan mencecah lebih 200,000 orang dengan Kelantan mencatatkan negeri paling tinggi mangsa banjir.

Sekali lagi alam sekitar menjadi taruhan apabila dikaitkan antara punca banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur akibat pembalakan dan kerakusan memusnahkan hutan yang menjadi tempat serapan hujan, selain kombinasi tiga fenomena iaitu kejadian Bulan Baharu (New Moon), Solstis Musim Sejuk dan tiupan angin kencang dikatakan antara punca banjir besar dalam gelombang kedua kali ini.


Kenderaan yang musnah akibat banjir di Manek Urai, Kelantan.

Banjir besar seumpama tsunami ini menenggelam bangunan setinggi tiga tingkat dan melumpuhkan beberapa bandar utama di Kelantan seperti Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu dan di Terengganu, Kemaman.

Bantuan tiba mencurah-curah, namun, disebabkan kebanyakan jalan darat tutup dan arus banjir yang deras menyebabkan ia tidak dapat diagihkan dengan sempurna. Ketika ini, bukan hanya media konvensional, pengguna media sosial turut memainkan peranan menyalurkan maklumat serta memberikan kata semangat serta doa untuk mangsa banjir.

Sebar berita palsu menerusi media sosial

Namun, di sebalik keghairahan berkongsi berita terkini, sekali lagi media sosial digunakan untuk menyebarkan berita palsu yang mengguris hati sesetengah pihak serta menambahkan kebimbangan sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar maklumat palsu.

Apa-apa pun, setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Tanpa mengira agama dan keturunan sekali lagi rakyat Malaysia bersatu dan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir itu. Mudah-mudahan tahun mendatang terus memberi sinaran kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran kepada negara tercinta ini.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Malaysia dan rakyat terus bebas daripada sebarang malapetaka dan tahun baharu 2015 memberikan harapan dan kebahagiaan kepada semua.




Kemalangan di kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung ragut nyawa Karpal Singh.

Tags: bencana
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Elak bermain politik (politicking)

    Terdapat penyelidikan/kajian baru tentang mengenal pasti ciri keperibadian utama ahli politik yang berjaya Untuk berjaya dalam politik, individu…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments