kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Era baharu ASEAN

MALAYSIA secara rasmi menjadi Pengerusi ASEAN 2015 untuk tempoh setahun bermula hari ini setelah lebih sebulan berlangsungnya majlis penyerahan tugas oleh Myanmar di Nay Pyi Taw pada 13 November lalu.

Jawatan itu dipegang secara bergilir-gilir oleh setiap 10 negara anggota. Kali terakhir Malaysia memegang jawatan itu adalah pada 2005 manakala pengerusi seterusnya adalah Laos pada 2016.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, antara kelainan yang akan dirasai rakyat Malaysia adalah kehadiran ramai ketua negara Asia Tenggara dan ketua negara rakan dialog ASEAN ke negara ini.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah dua sidang kemuncak yang akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin terbabit. Sidang kemuncak itu adalah platform untuk pemimpin ASEAN mencapai kata sepakat dan membuat keputusan penting.


PEMIMPIN 10 negara ASEAN bergambar pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC)
di Nay Pyi Taw pada 12 November lalu. Sidang seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 April depan. – BERNAMA

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 selama dua hari akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 April depan yang melibatkan 10 negara anggota sahaja. Manakala Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dari 19 hingga 21 November di Kuala Lumpur turut melibatkan tujuh negara rakan dialog termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Australia, India dan Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, banyak lagi mesyuarat sampingan akan diadakan sepanjang tahun ini termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 27 dan 28 Januari di Kota Kinabalu, Sabah dan mesyuarat peringkat menteri-menteri negara anggota.

Walaupun kita boleh berbangga kerana ASEAN adalah salah satu organisasi serantau selain Kesatuan Eropah (EU) yang dikira benar-benar berjaya, hakikat itu tidak seharusnya melekakan Malaysia daripada mengemukakan pelbagai inisiatif baharu bagi menghadapi situasi serantau dan global yang cukup berbeza berbanding ketika ASEAN ditubuhkan 47 tahun lalu.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Keahliannya bertambah dengan penyertaan Brunei pada 1984, Vietnam (1995), Laos (1997), Myanmar (1997) dan Kemboja (1999).

Antara inisiatif yang boleh difikirkan adalah mewujudkan pusat mencari dan menyelamat (SAR) serantau dengan peralatan terkini yang boleh digerakkan dengan pantas jika berlaku kejadian buruk seperti nahas pesawat AirAsia QZ8501 dan kehilangan pesawat MH370.

Satu lagi isu adalah masalah jerebu yang perlu dipastikan tidak berulang lagi. Fenomena cuaca luar jangkaan yang menyebabkan taufan, banjir dan kemarau serta kemungkinan berulang kejadian gempa bumi dan tsunami, memerlukan negara anggota berkongsi kepakaran dan saling membantu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini menjelaskan terdapat lapan perkara yang akan dilaksanakan negara ini sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN 2015.

Pertama, Malaysia akan memastikan baki pelan tindakan seperti yang terkandung dalam ketiga-tiga teras iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya dilaksanakan bagi membolehkan pengumuman penubuhan Komuniti ASEAN dibuat pada 31 Disember 2015.

Kedua, Malaysia akan menghasilkan Visi Komuniti ASEAN Pasca 2015 melalui rundingan dengan kesemua negara ASEAN. Visi itu bertujuan menyediakan garis panduan supaya ASEAN terus pesat membangun dengan rakyat bersemangat tinggi sebagai satu komuniti.

Ketiga, Malaysia akan membawa ASEAN supaya lebih dekat dan bermakna kepada lebih 600 juta penduduk di rantau ini. Tema khusus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 adalah ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’ yang diasaskan daripada tema umum ‘ASEAN Berpaksikan Rakyat’.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah mewujudkan laluan khas di pintu masuk dan keluar negara ini untuk pemegang pasport dari negara-negara ASEAN bagi memastikan mereka tidak perlu beratur panjang di laluan pelawat asing.

Walaupun mengikut perancangan asal, laluan ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di Sepang itu hanya akan dilaksanakan hari ini, ia telah dipercepatkan dan telah bermula sejak 9 Disember lalu.

Diharapkan langkah itu yang bakal diperluaskan ke seluruh lapangan terbang di Malaysia akan dicontohi oleh negara-negara ASEAN lain.

Inisiatif lain yang akan dilaksanakan adalah pengecualian visa bagi memudahkan urusan perjalanan bagi negara anggota yang belum melaksanakannya, program pertukaran pelajar dan guru serta memperkenalkan subjek ASEAN dalam kurikulum persekolahan kebangsaan.

Keempat, Malaysia akan meningkatkan peranan dan kewibawaan ASEAN sebagai pemain global. ASEAN akan terus menjadi aktif dan konstruktif serta mempromosikan kepentingan bersama mengenai isu-isu global.

Kelima, Malaysia akan memastikan pelbagai syor Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi (HLTF) bagi mengukuhkan Sekretariat ASEAN di Jakarta dan institusi yang ditubuhkan di bawahnya dilaksanakan.

Keenam, negara ini akan me­ngam­bil inisiatif bagi mengukuhkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di rantau Asia Tenggara supaya lebih rancak berkembang dan dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota.

Ketujuh, Malaysia akan mengga­lakkan lagi peningkatan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang masih kecil dan rakyat akan digalakkan mengutamakan produk-produk keluaran negara Asia Tenggara.

Kelapan, Malaysia akan menggalakkan keamanan dan keselamatan serantau dengan menggunakan konsep kesederhanaan sebagai cara menangani konflik dan mencari jalan penyelesaian.

Sebagai salah sebuah daripada lima negara pengasas ASEAN sudah tentu harapan yang diberikan kepada Malaysia adalah cukup tinggi tetapi ia hendaklah bersifat realistik.

Memetik kata Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Shahrul Ikram Yaakob, walaupun Malaysia Pengerusi ASEAN 2015, kita tidak boleh mencipta satu keajaiban. Ini kerana keputusan ASEAN adalah berdasarkan muafakat. Kalau ada satu negara sahaja tidak bersetuju, maknanya apa-apa inisiatif yang dicadangkan tidak akan dapat dilaksanakan.

Semoga 2015 menyaksikan tahap muafakat ASEAN yang jitu!

Tags: politik
Subscribe

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Muflis: Dasar pelik bank?

    WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu. Dalam satu insiden…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments