kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenapa tidak perlu pengisytiharan darurat banjir

TAHUN 2014 merupakan tahun yang begitu mencabar buat Malaysia sebagai sebuah negara kerana terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai peristiwa malang ber­­ganda. Misteri kehilangan pesawat MH370 dianggap dugaan getir kerana peristiwa tersebut disusuli pula de­ngan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu di ruang udara Ukraine. Negara sekali lagi diuji beberapa hari lepas dengan kejadian malang pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa.

Banjir luar biasa yang sedang melanda beberapa negeri sekali lagi menguji tahap kesabaran rakyat dan kepimpinan negara kerana kemusnahan yang disebabkan adalah begitu dahsyat sekali terutama di Kelantan dan Terengganu. Walaupun ini bukan pertama kali negara dilanda banjir sebesar itu tetapi tidak dapat dinafikan kemusnahan dan kepayahan yang dibawa adalah di luar jangkaan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab secara langsung menangani bencana banjir ini.

Memang tidak dinafikan proses menghulur bantuan di beberapa tempat agak lambat tiba kerana terputus saluran perhubungan dan penggunaan pengangkutan udara seperti helikopter agak terkekang kerana faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang mencabar. Tetapi apa yang nyata adalah segala aset bantuan terutama sekali daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digunakan oleh MKN.

Najib Tun Razak bersama-sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mendengar penerangan Panglima Tentera Darat, Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di dalam helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika meninjau keadaan banjir di Kelantan, baru-baru ini. – BERNAMA

Sebab itu jugalah ramai yang agak gusar dengan proses bantuan kepada mangsa banjir yang terpe­rangkap yang dinilai agak perlahan. Senario sebegini juga membuatkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesyorkan supaya MKN mengisytiharkan darurat terutama sekali kawasan terlibat banjir di hulu Kelantan. Niat beliau supaya bantuan dapat disalurkan dengan apa cara sekali pun dan seterusnya pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin selepas banjir berlalu.

Begitu juga dengan Ketua Parlimen DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat dengan niat yang serupa iaitu supaya kerjasama di antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Pusat dapat diselaraskan.

Kit Siang menggunakan beberapa contoh seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan darurat di Semenanjung Gaza pada awal November apabila banjir melanda beberapa penempatan seperti di Sheikh Radwan. Beliau juga menyatakan bagaimana Datuk Bandar Bandung telah mengisytiharkan darurat selepas ratusan ribu hektar sawah padi dilanda banjir di daerah tersebut. Kit Siang turut menggunakan contoh Amerika Syarikat (AS) sering mengisytiharkan darurat apabila malapetaka se­perti ribut taufan atau banjir melanda beberapa negeri.

Tidak adil apabila Ahli Parlimen Gelang Patah cuba mengaitkan pengisytiharan darurat di Gaza, Indonesia dan AS dengan keadaan banjir di Malaysia kerana sistem tadbir urus bencana yang berlainan di antara negara yang terlibat.

PBB mengisytihar darurat banjir di Gaza adalah untuk memudahkan beberapa agensi bantuan PBB yang beroperasi di Gaza seperti UNRWA menghulurkan bantuan sesegera mungkin kepada mangsa yang terlibat. Hal ini kerana Kerajaan Perpaduan Palestin tidak mampu menghulur bantuan oleh sebab kekangan sumber.

Sementara di Indonesia dan AS pula tanggungjawab awal untuk menghadapi bencana jatuh kepada pihak berkuasa tempatan atau negeri dan bukannya kerajaan Pusat seperti yang diamalkan oleh Malaysia.

Bandung diisytiharkan darurat untuk membolehkan Jakarta meng­hulurkan bantuan melalui Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

Apabila ribut taufan Katrina membadai New Orleans pada tahun 2005, kemusnahan yang dibawa tidak mampu dihadapi oleh kerajaan negeri Lousiana. Sebab itu darurat diisytiharkan oleh Datuk Bandar New Orleans bagi membolehkan kerajaan Pusat melalui Agensi Pengurusan Darurat Persekutuan (FEMA) mengambil alih peranan menyalurkan bantuan daripada kerajaan negeri.

BNPB Indonesia dan FEMA AS adalah agensi mengurus bencana sama seperti MKN Malaysia. Cuma yang berbeza adalah BNPB dan FEMA hanya akan mengambil alih peranan apabila darurat disytiharkan oleh pihak berkuasa negeri tetapi MKN pula memikul tanggungjawab dari mula bencana menimpa. Sebab itu di Malaysia pengisytiharan darurat tidak begitu kritikal kerana Kerajaan Persekutuan mampu ber­urusan secara langsung dengan agensi berkaitan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) telah pun terlibat dari awal dalam pengurusan bencana.

Apa yang penting adalah pengurusan bencana memerlukan koordinasi bermula dari peringkat daerah, negeri hinggalah Persekutuan. Mengikut Arahan MKN 20 mengenai kaedah menangani bencana, ke­semua mekanisme pengurusan bencana ketiga-tiga peringkat tersebut dinyatakan dengan terperinci dan dilaksanakan dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.

Kelantan ditafsirkan menerima kesan paling teruk berbanding dengan negeri lain dan sebab itu juga koordinasi di antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah penting dalam menentukan pembangunan semula kawasan terjejas berjalan lancar. Sepatutnya perbezaan ideo­logi politik tidak membantutkan persefahaman untuk kepentingan rakyat negeri Kelantan.

Tetapi jika dihalusi kerjasama yang terjalin di antara kerajaan Kelantan dan Kuala Lumpur ketika melaksanakan proses bantuan banjir kepada penduduk yang terlibat, tidak sepatutnya wujud jurang ketika proses pemulihan bermula. Komitmen yang telah dipamerkan oleh kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan adalah manifestasi perbezaan ideologi politik tiada tempat dalam pengurusan bencana di Malaysia.

Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Tags: bencana
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments