kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan hanya pandai mengkritik

Badai banjir yang menghem­pas beberapa negeri di Pantai Timur sejak dua minggu lalu ternyata menghumban mangsa-mangsa terlibat ke lembah penderi­taan dan kesengsaraan.

Hampir suku juta orang merintih siang dan malam di pusat-pusat pemindahan. Arus deras yang meng­alir bukan sahaja meragut nyawa malah menghancurkan apa sahaja di hadapannya.

Sebutlah apa pun daripada pondok, rumah, masjid, surau, hospital, sekolah, balai raya, tiang elektrik, tiang telefon - semuanya pasti ‘disinggahi’ arus banjir.





Misi Mencari Ajam. 31 December 2014 12:10pm

Pasar Besar Kuala Krai 24 December 2014


MANGSA banjir, Mohd. Izuan Mohd. Zin, 22, (kanan) dan Nurul Badriah Mohd. Shukri, 15, hanya mampu merenung sayu rumah mereka yang musnah akibat bencana alam itu di Kampung Cuchil 3, Kuala Krai pada 29 Disember lalu. – BERNAMA

Bukan sekadar lumpur atau sam­pah-sarap yang ditinggalkan malah di sesetengah kawasan kemusnahan amat dahsyat sekali. Sebahagian besar mangsa banjir kehilangan segala-galanya sekelip mata dan hanya mampu menahan pilu memikirkan bagaimana kehidupan harus diteruskan selepas bencana.

Sesungguhnya pada saat-saat getir ini mereka memerlukan bantuan dan sokongan seluruh rak­yat Malaysia. Tidak kira di manapun mangsa itu berada, di hulu mahupun hilir, bandar mahupun desa, di pinggir bukit mahupun di tepian sungai, mereka perlukan pertolongan kita.

Oleh itu ayuhlah, mari kita bersama-sama turun membantu mang­sa-mangsa tersebut mulai saat ini hinggalah keadaan kembali pulih. Gunakanlah kudrat dan ge­rakkan jari-jemari yang dimiliki untuk tujuan murni itu.

Jangan biar tenaga disia-siakan untuk mengkritik atau menyebarkan berita palsu. Usah ‘disemakkan’ lagi fikiran mangsa-mangsa dengan telatah sesetengah kita yang merasakan seolah-olah dia mempunyai idea lebih baik daripada pemimpin negara dalam menguruskan bencana atau orangnya boleh melakukan lebih hebat lagi berbanding pasukan penyelamat.

Fikirkanlah ketika mereka begitu seronok mengkritik segala usaha dilakukan oleh kerajaan melalui pasukan penyelamat, ribuan anggota pasukan itu sedang bertungkus-lumus siang dan malam untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa-mangsa.

Tidak dinafikan ada mangsa yang tercicir tetapi bukan sengaja di­pinggirkan sebaliknya kesukaran untuk sampai ke lokasi-lokasi mereka berada. Oleh itu jangan membuat fitnah dan tohmahan yang memualkan kerana ia tidak akan mendatang­kan faedah sebaliknya hanya menambah dosa.

Fahamilah, rakyat sudah muak dengan mainan politik melampau sehinggakan dalam situasi malapetaka seperti ini pun masih ada pihak yang mahu berpolitik. Segala usaha pemimpin kerajaan diperkecilkan. Ada yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam memegang tele­fon bimbit semata-mata mahu mereka-reka cerita banjir yang dikaitkan dengan sentimen politik memualkan.

Mereka berbangga dan bergembira apabila cerita menjadi viral sehingga ada yang mempercayainya. Tetapi mereka mungkin tidak faham atau buat-buat tidak faham bahawa apa yang sedang mereka lakukan adalah satu dosa. Perbuatan itu boleh menjebakkan diri mereka dalam fitnah terhadap individu atau pihak-pihak tertentu.

Jangan biarkan pemikiran jumud dan sempit kita menambahkan lagi kesengsaraan mangsa-mangsa. Usah dibenarkan mereka hidup dalam kegelisahan kerana cerita-cerita yang tidak benar.

Namun perlu difahami berilah nasihat apapun puak-puak seumpa­ma itu tidak akan insaf kerana mempunyai masalah hati tidak tenang dan jiwa tidak bersih, sebab itulah mereka hanya pandai mengkritik atau mereka-reka cerita tetapi mereka sendiri tidak berbuat apa-apa.

Bagaimanapun kita percaya majoriti rakyat Malaysia mempunyai nilai kemuliaan yang tinggi. Mereka pasti bersedia membantu. Oleh itu ayuhlah! Kita bersatu hati dan tenaga, wang dan harta untuk sama-sama meringankan beban saudara, sahabat dan rakan taulan yang menjadi mangsa hempasan banjir sejak dua minggu lalu.

Dengarlah rintihan si kecil kehausan, bersimpatilah dengan tangisan kanak-kanak kelaparan, fahamilah keluhan si ibu dan si bapa yang kehilangan tempat tinggal. Marilah kita bantu mereka, ketepikan perbezaan, singkirkan perselisihan, usah dihitungkan warna apa disanjung atau pemim­pin mana yang dijulang.

Ini soal bencana, ini soal musibah. Ini bukan masa mencari salah, bukan waktu menuding jari. Ini adalah saat dan ketikanya kita gabungkan segala kekuatan dalam satu pasukan untuk membantu mangsa di semua kawasan sehabis daya.

Usah difikirkan sama ada orang tahu atau tidak apa yang kita lakukan. Dalam situasi sekarang bukan nama yang harus dicari atau populariti yang perlu diraih. Sekarang adalah masa untuk kita memaparkan nilai kemanusiaan tinggi bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.

Percayakah apabila mangsa-mangsa bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan sama ada mengetahui atau tidak siapa pemberinya, Allah pasti membalas kebaikan itu. Oleh itu berilah khidmat bakti kepada mereka dengan penuh keikhlasan. Janganlah mengharapkan apa-apa balasan atau terlalu khuatir dengan pelbagai tohmahan kerana akhir­nya kebenaran pasti menumbangkan kebatilan.

Semoga bakti ikhlas yang dita­burkan membawa kebahagiaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat apatah lagi kita berada di ambang tahun baru 2015.

Pedulikan hasutan dan kata-kata nista puak yang sering memandang sinis apa juga kebaikan yang kita lakukan. Kesudahannya rakyat yang celik mata hati pasti menilai siapa yang berbakti, siapa pula yang hanya tahu mendengki.

Tags: bencana
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Psikiatri

    Tidak ada dua orang yang sama. Oleh itu, usaha untuk mengklasifikasikan masalah kesihatan mental setiap individu yang unik ke dalam kategori yang…

  • Suntik kemarahan dalam kempen mampu dorong pengundi untuk menyokong

    Politik dimana-mana tidak pernah menjadi tempat yang sangat "bersih" ketika berhadapan retorik kemarahan dan maki-hamun. Walau…

  • Outbreak

    It is too early for the new Health Minister, Khairy Jamaluddin, to talk about Covid-19 becoming endemic in Malaysia in late October when Covid-19…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments