kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

2015: Tahun Konsolidasi Ekonomi

MUTAKHIR ini terlalu banyak analisis yang negatif diberikan kepada suasana ekonomi dunia. Pelbagai kaedah digunapakai untuk memberikan kesimpulan bahawa eko­nomi dunia sedang menuju si­tuasi yang semakin tidak menentu.

Dengan hakikat keadaan harga minyak yang semakin menurun, penurunan indeks pasaran saham, mahupun berita-berita kenaikan harga barang yang kian menakutkan.

Seakan-akan melengkapi kitaran ganas realiti ekonomi, bencana banjir yang sedang dihadapi beberapa negeri juga pastinya memberi kesan kepada usaha konsolidasi yang berkesan.

* Kerjasama Persekutuan dan Negeri dituntut. Ini bukan masanya mencari gimik politik murahan dengan mencadangkan penyusunan semula Perlembagaan. Yang lebih penting dan utama, mele­takkan kepentingan rakyat di para keputusan yang lebih tinggi.

Untuk mengatakan keadaan ekonomi yang sukar hanya mendatangkan kesan kepada satu-satu kumpulan masyarakat juga adalah tidak benar. Prestasi ekonomi yang merudum pastinya melibatkan banyak pihak. Kesannya pasti terasa hingga ke akar umbi.

Secara keseluruhannya, 2014 bukanlah satu tahun yang ‘buruk’ buat ekonomi dan iklim pelaburan di Malaysia.

* Malaysia berada di tempat kelima, IMD World Talent Report 2014;

* Malaysia berada di tempat ke-18, World Bank Doing Business 2014: Beyond Efficiency;

* Malaysia berada di tangga ketujuh, 2014 Global Infrastructure Investment Index (GIII);

* Malaysia berada di tangga ketiga, AT Kearney Global Location Services Index (sebagai antara destinasi outsourcing paling menarik);

* Malaysia antara 20 negara paling mesra perniagaan berdasarkan laporan Business Environment Ranking & Index 2014;

* Malaysia negara terbaik dalam kalangan ASEAN dari segi pembangunan ekonomi;

Kepada penulis, kesemua pencapaian baik yang diraih Malaysia sebagai sebuah negara sepanjang 2014 cukup untuk dijadikan manifestasi bahawa ‘negara yang kecil saiznya’ ini memang mempunyai jiwa dan aspirasi yang besar.

Dengan sendirinya, ia turut membayangkan bahawa kita semua mempunyai potensi yang bukan kecil; malah bukan sekadar jaguh kampung mahupun jagoan serantau.

Di atas kertas, Malaysia punya nama yang harum dan wajar dikekalkan untuk masa hadapan yang lebih gemilang. Namun begitu, seiring dengan niat globalisasi dan dunia tanpa sempadan, tidak ada kawat duri yang mampu menyelamatkan Malaysia daripada gugatan ekonomi yang lebih besar dan sistemik sifatnya.

Rasanya kita masih tidak lupa, bagaimana sewaktu krisis kewang­an dunia sekitar 1997/98, kita berhadapan dengan dugaan dan kesukaran yang bukannya kecil.

Dalam tempoh kurang enam bulan, pasaran saham Malaysia merosot hampir 44.8 peratus berbanding angka bulan Jun 1997. Trend sama bukan sahaja berlaku di Malaysia – malahan merebak hampir keseluruh­an Asia. Indeks pasaran saham di Korea, merosot hampir 49.5 % peratus pada tempoh sama.

Nyata, krisis kewangan Asia yang pada awalnya dianggap oleh Presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton sebagai - a few small glitches in the road; pada hakikatnya adalah luka yang mampu menjual sebuah negara!

Jika pembaca mahu menyorot kembali dengan lebih menyeluruh, mungkin boleh membuka tulisan Morris Goldstein, The Asian Financial Crisis: Causes, Cures and Systemic Implications; mahupun buku Nota Kepada Perdana Menteri, yang ditulis oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Bukan niat penulis menyamakan situasi yang ada pada detik-detik 1997/98 itu dengan apa yang kita alami pada ketika ini. Pokok pangkalnya, suasana sukar itu hanya mampu ditempuhi dengan kebijaksanaan polisi dan solidariti kita secara seluruhnya dalam menempuh suasana sukar.

* MTEN

Penulis ingin mencadangkan agar Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) diaktifkan semula dengan seberapa segera; khusus bagi memastikan berita dan laporan ekonomi Malaysia lebih tersusun dan strategik sifatnya.

Jumlah Majlis/Jawatankuasa di peringkat Kabinet dikonsolidasi semula secara khusus untuk melihat semula realiti ekonomi yang ada di hadapan mata rakyat pada ketika ini.

Elemen komunikasi strategik mestilah diberikan tumpuan yang khusus. Kita tidak boleh lagi membenarkan pihak lain menentukan cerita ekonomi yang negatif; mahupun berbaur fitnah dan pemusingan fakta dan angka yang berniat jahat.

Rakyat tidak boleh mendapat informasi dan maklumat salah daripada pihak yang tidak ketahuan sumber dan niatnya. Mereka yang menjaga perihal ekonomi negara, mesti bercakap di atas satu ‘suara’ dan bukannya menjaga medan kuasa masing-masing.

* RMK-11 (2016-2020)

Pada ketika ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri) pastinya sedang merangka perincian mengenai program dan kerangka pembangunan yang mahu disusun untuk RMK-11.

Penulis yakin, suasana ekonomi dunia mutakhir ini pastinya menjadi antara angkubah pen­ting dalam menyusun strategi lima atau enam tahun yang mendatang ini. Kita tidak boleh menoleh terlalu jauh ke belakang, atau ketinggalan daripada arus perdana pembangunan ekonomi dunia.

Tidak dapat tidak, kemerosotan pendapatan negara (sekiranya harga minyak mentah terus turun) mestilah ditangani dengan sebaik dan setangkas mungkin. Ini bukan masanya untuk kita bersikap sambil lewa dan sinikal.

Bukan kecil ujian jika Malaysia terpaksa menutup buku RMK-10 tahun hadapan dengan segala macam gugatan ekonomi yang hadir dalam apa sahaja bentuk.

Jika semangat Bajet 2015 mahu dijadikan azimat ‘ekonomi keper­luan rakyat’ mestilah didahulukan. Ini bukan satu tekad kosong. Ia mesti diisi dengan harapan dan kebijaksanaan yang tepat.

Jangan mengalah dengan ujian. Kita pernah ditekan dan dihimpit dengan ujian sebelum daripada ini. Dengan izin Allah SWT, tawakal dan ikhtiar akan kita selarikan.

Tahun 2015 pastinya memberi kejayaan besar kepada Malaysia – sekiranya kita bersedia melakukannya dengan menggandingkan konsolidasi ekonomi dan solidariti politik.

Langkah perlu yakin. Beristiqamah dengan usaha.

Selamat Tahun Baru 2015!

Reeza Merican Naina Merican Utusan Malaysia Rencana 1 Januari 2014
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Passion more crucial than innovativeness

    I READ with interest the letter “ We need innovative teachers”, ( The Star, May 27). Teachers are born and not made. This is a…

  • We need innovative teachers

    Education is not as simple as everyone thinks, as everyone wants the best from teachers or educators. Students’ under-going teachers’…

  • Kreatif dan inovatif bantu masyarakat

    PEMIKIR dan Profesor Ekonomi terkemuka dunia, C.K Prahalad (1941-2010) sering mengungkapkan terhadap pentingnya menyusun strategi yang kreatif dan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments