kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

CINA PALING SUSAH?

AKHBAR China Press bertarikh 25 Disember 2014 menyiarkan artikel yang mendakwa orang Cina ialah kaum yang paling susah di Malaysia.

Artikel bertajuk ‘Orang Cinalah peminta sedekah sebenar, malah lebih teruk daripada orang cacat’ ditulis oleh Lim Fang dan disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C21.

Ia memetik kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan orang Melayu telah menjadi peminta sedekah politik apabila mengharapkan undi bukan Melayu bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Dr. Mahathir memilih taktik menggelar Melayu sebagai peminta sedekah bagi membuatkan kaum itu merasa terancam dan seterusnya sedar mengenai perlunya kembali menyokong UMNO.

Kenyataan itu juga mungkin berpunca kerana bekas Perdana Menteri merasa marah dan berdendam kerana kaum Cina tidak mengundi Barisan Nasional (BN) walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada mereka.

Orang Cina boleh diibaratkan seperti pengemis yang bersikap sinis.

Realiti politik di Malaysia, menurut penulis, orang Cina­lah yang sebenarnya menjadi pengemis. Kaum itu juga boleh diibaratkan seperti orang cacat apabila banyak masalah kaum itu tidak diselesaikan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO.

Antaranya, permohonan tanah tapak sekolah dan pembinaan bangunan sekolah Cina, kekurangan guru, mendapat wang subsidi yang sedikit, kuota pendidikan di universiti yang terhad dan pengiktirafan sijil sekolah mene­ngah Cina yang tiada keputusan. Seperti pengemis kelaparan, orang Cina terus menerus meminta walaupun tidak dilayan.

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang `berat sebelah’ dilaksanakan, peluang perniagaan orang Cina semakin dikikis. Seperti individu yang kakinya telah dipatahkan, mereka menjadi cacat sehingga tidak mampu bergerak. Bagaimanapun, tongkat diberikan kepada kaum lain.

Walaupun setelah lebih 40 tahun diberikan tongkat, ada pihak mendakwa kuota 30 peratus bumiputera dalam ekonomi negara belum mencapai sasaran dan perlu diteruskan.

Ini menyebabkan orang Cina yang asalnya seorang pengemis dan kini bertukar menjadi orang cacat, memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan orang dalam UMNO sedar akan nasib mereka.

Jika tidak dapat diberikan nasi, bagilah air bekas kuah bubur pun tidak apa kepada orang Cina.

Sekiranya nasib mereka masih lagi tidak dibela, orang Cina terpaksa berkeras hati untuk menyerahkan undi kepada pembangkang bagi melepaskan geram dan memberi pengajaran kepada BN serta UMNO.

POLEMIK PELAKSANAAN HUDUD

AKHBAR Cina utama sepanjang minggu lalu menyiarkan artikel yang mengulas langkah kerajaan Pas Kelantan untuk mengadakan sidang khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 27 Disember 2014 menyiarkan artikel yang menempelak DAP kerana tidak mengambil tindakan secara konkrit menghalang hasrat Pas tersebut.

Apa yang dilakukan DAP setakat ini hanyalah mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak pernah mendapat sebarang persetujuan pakatan pembangkang dan Pas tidak sepatutnya bertindak secara solo.

Chang Long Yan dalam artikel bertajuk ‘Roket tidak hormati demokrasi’ yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman C8 mempersoalkan jika DAP tidak setuju dengan Pas kenapa parti itu tidak tinggalkan Pas dan keluar dari pakatan pembangkang?

Menurut penulis, sebab paling mudah dan jelas kenapa DAP tidak berbuat demikian kerana tidak mahu pakatan pembangkang berpecah yang akan memalapkan hasratnya untuk melangkah ke Putrajaya.

Dalam pada itu, akhbar Sin Chew Daily bertarikh 31 Disember 2014 turut menyiarkan artikel menyentuh isu sama dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 27.

Artikel bertajuk ‘Apa ertinya banjir, yang penting hukum hudud’ yang ditulis oleh Teh Ting Hian mengkritik kenyataan beberapa pemimpin Pas Kelantan yang tetap memberi keutamaan untuk melaksanakan hukum hudud walaupun negeri itu dilanda banjir besar.

Penulis menegaskan, sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan Pas membantu mangsa banjir yang kelaparan, menghentikan penebangan hutan secara berleluasa di Lojing, memperbaiki aliran sungai dan menjalankan langkah-langkah lain bagi mengatasi banjir untuk mengelak bencana itu menjadi lebih buruk.

Akhbar China Press bertarikh 29 Disember 2014 pula menempelak pemimpin Pas Kelantan yang menyifatkan banjir yang melanda negeri itu ialah kemurkaan daripada Allah dan juga mengkritik pendirian pe­mimpin terbabit yang tetap mahu melaksanakan hukum hudud.

Artikel bertajuk ‘Politik itu politik, agama itu agama’ yang ditulis oleh Tan Guan Feng disiarkan dalam ruang­an Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

Menurut penulis, kesungguhan untuk melaksanakan hukum hudud membuktikan pemimpin Pas hanya mempergunakan isu agama bagi meraih sokongan politik.

Tegas beliau, apabila isu agama dibawa masuk ke dalam agenda politik, pasti akan mengundang bencana besar yang tiada penghujungnya.

Utusan Malaysia Rencana 1 Januari 2015
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments