kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perjuangan tak pernah kenal erti kekalahan

1 Januari 2015 adalah hari pertama tahun baharu selepas berakhirnya tahun 2014 kelmarin yang meninggalkan begitu banyak sejarah. Hari ini juga menandakan bahawa Malaysia semakin hampir dengan matlamatnya menjadi negara maju genap dalam tempoh lima tahun lagi.

Sejak lima tahun yang lalu, iaitu dari tahun 2010, negara menempuh perjalanan sejarah yang penuh onak dan duri. Bagi menghadapi lima tahun mendatang pula, pimpinan kerajaan juga terpaksa menghadapi keadaan yang getir berikutan perubahan landskap dunia sama ada dari segi pemikiran politik rakyat, cabaran ekonomi, kemajuan sains, kesan komunikasi yang tidak mengenal sempadan, keadaan sosial yang rakus, pengaruh kebebasan antarabangsa dan sebagainya.

Sudah tentu, peristiwa yang berlaku dalam tempoh lima tahun sebelum dan selepas ini akan tercatat dalam sejarah bahawa Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju selepas melalui cabaran dan perubahan yang sangat tragis. Ia bukanlah satu pencapaian yang mudah. Perjuangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dilakukan menerusi perjuangan yang tidak pernah mengenal kalah.

Ditinjau kedudukan negara selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pimpinan kerajaan ketika itu sudah pun mula berdepan cabaran besar mengajak rakyat untuk mengisi kemerdekaan. Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman berusaha mengajak rakyat mengubah pemikiran supaya menjadi rakyat yang mampu mentadbir sebuah kerajaan yang bebas dan tidak terikat kepada pengaruh penjajah.

Kerajaan menggunakan pelbagai kaedah untuk menaikkan semangat rakyat supaya berusaha gigih bagi membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia mampu untuk mengurus dan mentadbir negaranya sendiri. Rakyat digalakkan membina sebuah bangsa yang bersatu padu.

Usaha itu tidaklah semudah yang disangka kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat diberikan kebebasan untuk memilih parti yang mereka yakin boleh mentadbir negara setiap lima tahun sekali. Parti pembangkang tidak pernah berdiam diri untuk mempengaruhi pemikiran rakyat supaya mengundi mereka.

Beberapa peristiwa keganasan yang dilakukan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menakutkan rakyat menyebabkan mereka menolak parti yang berteraskan keganasan dan memecahbelahkan rakyat. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 jelas membuktikan bahawa tanpa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggotai parti mewakili semua kaum, sebelumnya Parti Perikatan akan menyebabkan negara kucar-kacir.

Pengenalan DEB

Pemerintahan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga meneruskan perjuangan bagi membela nasib rakyat. Menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), Tun Razak berusaha menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Bukanlah mudah untuk mengubah pemikiran rakyat yang dikongkong amalan lama ketika itu. Untuk menggalakkan mereka menggunakan jentera kubota di sawah bagi menggantikan kerbau pun terpaksa mengambil masa, inikan pula untuk menggalakkan mereka melakukan sesuatu yang baharu berbeza daripada cara hidup seharian selama ini. Ia adalah perjuangan amat besar yang dilakukan oleh Tun Razak kerana daripada DEB bermulanya proses untuk memaju dan memodenkan negara seterusnya menentukan landasan untuk menjadi sebuah negara maju.

Hutan diterokai dengan pembukaan tanah secara besar-besaran untuk penempatan rakyat mengusahakan pertanian menerusi FELDA, RISDA, FELCRA dan sebagainya. Malaysia tidak akan muncul sebagai sebuah negara maju tanpa tapak yang dimulakan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti Tun Razak dan kemudian oleh Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Peranan yang dimainkan oleh Allahyarham Tun Hussein juga bukan kepalang pentingnya dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Mustahil negara ini boleh bergerak daripada sebuah negara miskin kepada negara membangun dan seterusnya negara maju tanpa kerjasama semua kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Contohi sikap rakyat Jepun

Tugas yang diambil alih oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menjurus kepada usaha memaju dan memodenkan negara, selain meneruskan usaha menyatupadukan rakyat. Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, rakyat turut diajak mengubah paradigma dengan mencontohi sikap rakyat Jepun yang bangkit dalam tempoh yang singkat selepas musnah peristiwa ledakan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima.

Anjakan daripada negara pertanian kepada perindustrian dipergiatkan. Usaha ini juga tidak berjalan dengan lancar kerana pembangkang sentiasa mempertikaikan apa juga usaha yang dilakukan oleh kerajaan. PAS menggunakan pelbagai cara dengan menggunakan Islam bagi memburukkan setiap apa yang dilakukan kerajaan.

Tindakan pembangkang untuk memperkecilkan usaha kerajaan diteruskan ketika pimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Parti pembangkang - DAP, PAS dan PKR bergabung untuk menjatuhkan kerajaan dengan mempertikaikan kewibawaan beberapa institusi seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.

Berikutan beberapa peristiwa politik yang berlaku ketika itu, pembangkang mula mendapat ruang untuk bertapak di beberapa negeri dengan menggunakan platform perkauman untuk mendapatkan undi. Pilihan raya pada tahun 2008 di bawah Abdullah adalah begitu sengit sekali, yang mana kesan berpanjangannya terpaksa ditanggung Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Gagasan 1Malaysia

Najib menghadapi pelbagai cabaran daripada pelbagai penjuru. Menerusi pentadbirannya, Najib mahu memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagai satu realiti, bukan retorik politik. Sebelum matlamat itu dicapai, beliau menganjak pemikiran rakyat dengan melakukan pelbagai transformasi dari segi pentadbiran, ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Tanpa perubahan ketara rakyat terutama dari segi pemikiran dan pemahaman terhadap kemajuan, cara bertindak, gerak kerja dan sebagainya mereka tidak dapat menikmati kemajuan dari segi pembangunan negara.

Dari segi penyepaduan rakyat, Najib menjadikan Gagasan 1Malaysia sebagai asas pengukuhan perpaduan rakyat. Jika semangat Gagasan 1Malaysia ini tidak dihayati, kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara maju, tidak bermakna. Apa gunanya menjadi negara maju sedangkan rakyat pelbagai kaum hidup berceramuk dan saling syak wasangka antara satu dengan lain.

Lima tahun mendatang adalah penentuan kepada kejayaan yang disusun rapi oleh pemimpin terdahulu bermula daripada Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada pimpinan Najib.

Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis 2 Jan 2015

Tags: deb
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments