kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu wajar bermuhasabah bina kekuatan ekonomi

Kekuatan ekonomi adalah satu tuntutan agama, justeru wajib hukumnya bagi setiap umat Islam berusaha memajukan diri dalam semua bidang demi mengukuhkan ekonomi seterusnya memperkasakan kedudukan mereka.

Tambahan pula dengan perkembangan semasa yang mana dunia dijangkakan akan berdepan keadaan pahit getir pada tahun 2015 ini, kita perlu menangani masalah ekonomi secara bersama untuk menghadapi permainan kuasa dunia dalam memanipulasikan keadaan ekonomi.

Mengikut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, pengukuhan ekonomi, terutama dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan pada semua peringkat bermula dengan individu, organisasi, korporat dan kerajaan.

Katanya, ia dapat dilakukan melalui proses rombakan sistem dan pendidikan kerana kemakmuran ekonomi bukan dinilai daripada perbandingan dalam penambahan peratusan setiap tahun tetapi mengambil kira kualiti manusia sebagai fungsi penting.

"Kita perlu lahirkan orang yang ada rasa tanggungjawab, masyarakat yang mempunyai perasaan kekitaan. Daripada itu barulah kita dapat membina kekuatan. Kekuatan itu bukan untuk kepentingan sendiri tetapi demi manfaat bersama," katanya pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Mengikut beliau, apa yang melanda orang Melayu (yang juga Islam kerana Melayu dan Islam adalah sinonim) ialah mereka sering berasa tercabar atau tergugat dengan kemajuan ekonomi bangsa lain, tetapi tidak melakukan apa yang sepatutnya, iaitu mengukuhkan ekonomi mereka sendiri.

Sebab itu, katanya, orang Melayu sentiasa berasa curiga terhadap bangsa lain dan bersikap suka menyalahkan sedangkan mereka sepatutnya bermuhasabah diri kerana jika orang Melayu kuat, mereka akan dihormati serta disegani.

Melayu kena berani

Mengikut Nik Mustapha lagi, bersandarkan kepada asas membina kekuatan ekonomi sebagai memenuhi tuntutan agama, orang Melayu tidak sepatutnya takut untuk melakukan perubahan, menguatkan kedudukan seterusnya menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk melakukan perubahan tetapi tegasnya, orang Melayu tidak mempunyai pilihan. Mereka perlu diberikan pendedahan serta dididik mengenai kepentingan meningkatkan tahap ekonomi bermula dengan diri sendiri.

Begitu juga pada peringkat kerajaan dan jabatan kerajaan, perubahan hendaklah dimulakan serta dilaksana secara perlahan-lahan supaya dapat diterima secara positif. Kata kunci kepada usaha itu ialah semua orang perlu jujur dan ikhlas.

"Kita perlukan satu sama lain dan orang Islam mempunyai pilihan, jadi kenapa takut untuk berubah. Anbia datang untuk merombak sistem dan Nabi Muhammad SAW sendiri mencabar sistem di Makkah yang menindas masyarakat ketika itu.

"Baginda berhijrah kerana nampak peluang di Madinah dan di sana Baginda membina peradaban. Kemudian Nabi Muhammad SAW menakluk Makkah. Sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW, jika perlu ubah, kita ubah," katanya.

Nik Mustapha menegaskan, umat Islam perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai Rasulullah SAW dengan mengkaji formula yang digunakan Baginda dan bukan menyalahkan orang lain kerana kejayaan mereka membina serta mengukuhkan ekonomi.

Bina kekuatan anak bangsa

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang sudah memberikan peluang seluas-luasnya kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah strategi membina kekuatan bangsa Melayu menerusi ilmu pengetahuan.

Justeru, pemimpin perlu berusaha untuk melihat perubahan yang berlaku bagi membina kekuatan anak bangsa, termasuk dalam bidang ekonomi kerana setiap kita mempunyai fungsi masing-masing dalam membina negara bangsa.

"Tidak ada jalan pintas mengumpul harta, justeru berhenti merungut dan bina diri sendiri. Semua kena mulakan usaha itu dengan optimis dan melihat perubahan yang ingin dilakukan secara positif. Insya Allah kita mampu melakukannya dan dapat mengurangkan ketidaksempurnaan," katanya.

Nik Mustapha baru-baru ini menerima Anugerah Buku Negara 2014 bagi kategori ekonomi untuk buku tulisan beliau bertajuk An Islamic Paradigm in Economics: Vision and Mission. Buku 156 halaman itu membincangkan kegiatan ekonomi bermula daripada individu, masyarakat, organisasi dan sesebuah negara.

Pastinya Islam mempunyai elemen penting yang boleh memacu pembangunan secara menyeluruh sesebuah negara bersandarkan kepada paradigma terkandung dalam al-Quran dan sunah bagi menjawab kepada kesusahan dihadapi dunia disebabkan oleh ideologi sekular.

Hasliza Hassan Berita Harian Kolumnis 2 Jan 2015
Tags: ekonomi, melayu
Subscribe

  • Skor markah bukan tujuan peperiksaan

    ISTILAH penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Gred Inflasi Stagflasi

    Apa yang kita lihat bukan inflasi gred: ini adalah tahap stagflasi Ini adalah peraturan umum bahawa apabila kuantiti item meningkat, nilai…

  • Melengkung Gred: Apa yang tidak kena?

    Istilah penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments