kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cari pokok jumpa tapak ‘bigfoot’

HUTAN bukan tempat yang asing bahkan sudah menjadi ‘pejabat kedua’ bagi bekas kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Abdul Razak Ali (gambar), 71.


Gambar : Zakaria Idris / Pemberita : Halim Hadi-S2

Ketika kebanyakan hutan di negara ini masih berstatus dara, beliau sudah lama menjelajah ke serata ceruk belantara untuk mengumpul maklumat dan bahan yang diperlukan untuk kajian.

Pengalaman seperti terserempak dengan binatang buas, meredah sungai dan bermalam di tengah hutan sudah menjadi sebahagian daripada tugasnya.

Namun pengalaman menemui kesan tapak kaki yang dipercayai milik ‘bigfoot’ di hutan Endau-Rompin, Johor tidak mungkin dilupakan oleh Abdul Razak.

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa beliau dan beberapa orang rakan setugas mengikuti ekspedisi kajian di Gunung Petawai pada 1971.

“Bentuknya sama seperti tapak kaki manusia cuma saiznya luar biasa. Kira-kira sekali ganda saiz tapak kaki manusia.

“Agak mustahil untuk kata ia tapak kaki manusia kerana kawasan itu jarang dimasuki orang,’’ katanya yang berkhidmat dengan FRIM antara tahun 1964 hingga 1998.

Tambahnya, selain penemuan kesan tapak kaki, beliau turut melihat julai-julai (sulur) pokok yang dipatah-patahkan serta tiga batu yang tersusun untuk dijadikan tungku memasak berhampiran lokasi tapak kaki itu ditemui.

“Saya tengok banyak julai pokok pada ketinggian kira-kira dua meter patah terkulai seperti diretus-retus.

“Berdasarkan kesan itu, saya yakin kawasan itu adalah bekas tinggalan bigfoot,’’ katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Kepong, baru-baru ini.

Malangnya kata Abdul Razak, gambar-gambar yang dirakam ketika itu tidak dapat diproses.

“Ia bukan sesuatu yang pelik sebab Orang Asli pun percaya ada orang mawas.

“Apatah lagi kawasan hutan Johor yang bersempadan dengan Pahang itu memang jarang diterokai,’’ tambahnya.

Mengimbau kenangan bertugas di institusi penyelidikan perhutanan terawal negara itu, Abdul Razak turut terlibat dalam program penanaman semula pokok-pokok hutan di kawasan FRIM.

Di sebalik penat lelah yang ditanggung ketika itu, beliau merasa berbaloi selepas melihat perubahan dan ‘kehijauan’ FRIM yang kini dipenuhi hutan.

“Saya masih ingat masa itu, kami disuruh menanam lebih kurang 60 batang pokok setiap hari di sekitar FRIM.

“Anak-anak pokok diangkut menggunakan ambung iaitu sejenis bakul galas yang diperbuat daripada rotan,’’ jelas Abdul Razak lagi.

Selain penanaman semula FRIM, beliau juga terlibat dalam projek penanaman ujian spesies pokok meranti, kapur dan mahagoni di sekitar Sungai Buluh, Kanching, Simpang Pulai, Mantin, Batu Arang dan Bukit Tinggi.

Tambahnya, penanaman spesies dari luar negara seperti pain juga dilakukan untuk memenuhi permintaan kayu yang dijangka meningkat selepas kerajaan merancang pembinaan kilang kertas di Pekan, Pahang ketika itu.

Sementara itu, Abdul Razak mengakui pemilihan tapak FRIM yang dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong itu satu keputusan yang tepat.

“Kalau ikutkan dahulu, pejabat FRIM ini dikira tempat ‘jin bertendang’. Nak sampai ke sini, saya terpaksa berjalan kira-kira lima kilometer setiap hari kerana perhentian bas terakhir terletak di pekan Kepong,’’ ujarnya.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments