kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hutan FRIM hutan buatan 
terbesar dunia

Hutan buatan 
terbesar dunia

MELIHAT pada keindahan landskap yang dihiasi pokok berusia ratusan tahun, siapa sangka hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Selangor sebenarnya adalah hutan buatan manusia.

Dibangunkan di atas tapak bekas lombong, hutan FRIM merupakan bukti kejayaan penanaman semula pokok hutan yang dijalankan antara tahun 1923 sehingga 1967.


Terdapat jenis pokok - pokok yang berada di FRIM dah juga menjangkau usia lebih 100 tahun semasa di Sesi temuramah bersama
Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong , di sini hari ini.
Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Pejabat FRIM juga telah berusia hampir 80 tahun semasa di Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod
mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong , di sini hari ini.
Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong ,
di sini hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Sesi temuramah bersama Ketua Pengarah FRIM. Dato' Dr Abd Latif Mohmod mengenai keunikan serta ke indahan di sekitar FRIM Kepong ,
di sini hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : HALIM HADI (S2 MEJA KHAS)

Pada masa sekarang, hutan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong itu mempunyai kira-kira 15 juta pokok, menjadikannya hutan buatan terbesar dan tertua di dunia.

Selain itu, kawasan institut penyelidikan perhutanan seluas 544.3 hektar itu juga berperanan sebagai penampan dan ‘bank’ bagi lebih 20 spesies tumbuhan terancam di negara ini.

Ketepikan seketika fakta-fakta berbentuk rekod dan pencapaian yang membuktikan FRIM sebagai pusat penyelidikan hutan terulung kerana sejarah penubuhannya juga mempunyai cerita yang menarik.

Kajian dan penyelidikan FRIM mengenai kayu-kayan di negara ini direkod bermula sejak lebih 100 tahun lalu khususnya dalam pengumpulan maklumat, ketahanan dan kekuatan kayu.

Pada peringkat awal penubuhannya, penyelidikan FRIM yang ketika itu dikenali dengan nama Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) tertumpu pada kajian kayu yang digunakan sebagai bahan utama dalam industri.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod (gambar) berkata, kajian awal IPP tertumpu pada penyelidikan untuk mendapatkan jenis kayu terbaik bagi pembuatan pelapik landasan keretapi.

Bagi memenuhi permintaan pembinaan sistem rel kereta api di seluruh negara, pusat penyelidikan di bawah pentadbiran Inggeris ketika itu ditempatkan berhampiran depoh Keretapi Tanah Melayu di Sentul sebelum dipindah ke Kepong.

Selain itu, beliau berkata, kepakaran IPP dalam bidang perkayuan turut digunakan bagi pemilihan kayu untuk tiang elektrik, infrastruktur kerajaan seperti jambatan dan bangunan sebelum penggunaan konkrit.

Kemajuan yang dicapai dalam penyelidikan kayu pada masa itu jelasnya turut membawa kepada teknologi penghasilan kertas yang digunakan dalam penghasilan wang dan kertas peperiksaan.

“IPP juga terlibat dalam ujian ketahanan meja dan kerusi sekolah yang diperbuat daripada kayu,’’ katanya.

Dari Sentul katanya, operasi IPP yang merupakan unit di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dipindahkan ke Kepong pada 1925 sebagai usaha meluaskan penyelidikan dan memanfaatkan tapak yang bersesuaian dengan bidang perhutanan.

Selain kisah penyelidikan, IPP yang dibangunkan oleh pentadbiran Inggeris juga pernah menjadi saksi penaklukan tentera Jepun antara tahun 1942 sehingga 1945.

Pentadbiran kejam tentera Jepun yang mengambil alih pentadbiran Jabatan Perhutanan di situ dikatakan telah mengorbankan 38 orang kakitangan IPP.

Selain membunuh mereka yang yang disyaki menjadi tali barut Inggeris, penjajahan Jepun turut meninggalkan kesan buruk kepada alam semula jadi di kawasan itu.

Menurut Abdul Latif, bagi memenuhi matlamat ketenteraan, sebahagian daripada hutan FRIM turut ditebang oleh tentera Jepun.

Antara yang menjadi ‘mangsa’ adalah 97 batang pokok daripada 363 batang pokok spesimen yang ditanam di arboretum.

Bagaimanapun katanya, di bawah pentadbiran Jepun, fungsi dan peranan institusi Jabatan Perhutanan itu tetap dikekalkan.

“Mereka tukar nama IPP jadi Ringyo Shinkenjyo yang bermaksud stesen penyelidikan hutan dalam bahasa Jepun.

“Penekanan masa itu diberikan kepada pembuatan kraftangan dan pelapik landasan kereta api,’’ kata Abdul Latif yang memulakan karier di institusi itu sejak 1985.

Tambah pemegang ijazah perubatan yang beralih arah ke bidang perhutanan itu lagi, selepas zaman penaklukan Jepun berakhir, usaha pemulihan dan pembaikan FRIM tidak berjalan seperti diharapkan kerana negara ketika itu menghadapi kekurangan kakitangan yang berkelayakan khususnya untuk mengisi jawatan dari zaman pentadbiran Inggeris.

Pada masa itu juga katanya, peluang pekerjaan seperti pengawas hutan dan pengawai penyelidik yang ditawarkan tidak begitu mendapat sambutan.

Bagaimanapun katanya, FRIM berjaya mengembalikan kredibiliti sebagai pusat penyelidikan hutan melalui kajian dan penyelidikan yang meningkatkan kualiti kayu.

Penyelidikan FRIM ketika itu katanya turut dimantapkan dengan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Menurut Abdul Latif, selepas mendapat tanah sendiri di Kepong, fokus utama penyelidikan IPP ditumpukan ke arah kajian industri seiring dengan keperluan dan pembangunan ekonomi negara.
Pada masa itu, kita sudah memiliki bengkel dan makmal ujian yang teknologinya jauh lebih baik dari negara-negara di rantau ini,’’ ujar saintis negara yang sudah menerima berpuluh-puluh penghormatan tertinggi dalam bidang perhutanan di peringkat dunia.
Beliau memberitahu, sebahagian daripada ‘bahan eksperimen’ yang digunakan dalam penyelidikan ketahanan kayu itu masih kekal di FRIM sehingga hari ini.

“Kita ada rumah kayu Akasia yang dijadikan asrama kakitangan, rumah kayu getah dan masjid yang dibina menggunakan teknologi gam.

“Semua itu merupakan sebahagian daripada bahan ujikaji dan penyelidikan FRIM untuk menguji ketahanan kayu,’’ ujarnya yang telah menghasilkan lebih 300 makalah penyelidikan sains berkaitan perhutanan.

Katanya, antara pencapaian terbesar yang dicapai FRIM adalah penyelidikan yang membawa kepada pengkomersialan kayu getah dengan menyelesaikan masalah kumbang dan kulat.

“Usaha menjadikan kayu getah sebagai sumber komoditi kayu berkualiti menjadi kenyataan pada 1985 selepas kajian dan cadangan mengenainya dilakukan,’’ katanya.



Hutan FRIM semakin rimas

KEUNIKAN
hutan dan ekosistem yang dimiliki oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah membawa masuk kira-kira 850,000 pelawat setiap tahun.

Sekiranya dibahagikan secara bulanan, jumlah itu sudah melebihi 70,000 orang. Dan jika dipuratakan mengikut hari, dianggarkan tidak kurang 500 pelawat memasuki kawasan itu setiap hari.

Itu belum mengambil kira kepadatan yang berlaku secara mendadak pada hujung minggu dan hari-hari cuti. Pada sebelah pagi khususnya, FRIM mungkin menjadi kawasan hutan paling sesak di negara ini.

Kesesakan di FRIM bukan hanya disebabkan oleh bilangan kenderaan pelawat yang datang bersenam, bahkan turut menjadi lokasi ‘popular’ sebagai destinasi perkelahan.

Bersandarkan kiraan itu, jumlah kemasukan pelawat di FRIM dijangka mencecah sejuta orang pada bila-bila masa sekiranya langkah sepatutnya tidak diambil.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod berkata, pihaknya akan mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan dan pelawat ke kawasan itu dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadinya.

“Walaupun keputusan ini sesuatu yang ‘tidak popular’ untuk dilaksanakan, kita terpaksa buat kerana hutan di sini semakin rimas.

“Demi memelihara ekosistem, kami terpaksa mengehadkan jumlah kenderaan yang menyebabkan kesesakan dan kadar pengeluaran karbon yang tinggi,’’katanya.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan oleh penyelidik FRIM juga mendapati berlaku kerosakan struktur tanah pada denai-denai yang kerap dimasuki pejalan kaki dan mereka yang berbasikal.

“Antara cadangan yang bakal dilaksanakan nanti termasuk penutupan denai dan laluan selama beberapa tahun untuk memulihkan tanah kepada keadaan asal.

“Kalau boleh, kita mahu mengembalikan suhu asal kawasan ini seperti tahun 1980-an. Suhu di sini dahulu sejuk, bayangkan jika minyak masak pun boleh membeku,’’ tambahnya.

Abdul Latif berkata, langkah yang sama juga dilakukan dalam usaha untuk mendapat gelaran Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Untuk mendapat gelaran itu, kita harus mematuhi syarat dan piawaian alam sekitar yang ditetapkan,’’ katanya.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments