kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Empangan Kenyir bukan punca banjir

BENARKAH pembangunan projek Hidroelektrik Hulu Terengganu menjadi punca banjir di Kelantan? Perkara ini nampaknya menjadi hujah utama dalam ‘berita’ yang disebar luas menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu.

Anehnya, sebilangan pembaca tidak pula membuat pengesahan apakah kesahihan ‘berita’ yang disebar menerusi platform WhatsApp dan telegram itu, yang menggelar projek hidroeletrik itu sebagai Projek Kenyir Dua.

Terdapat empat tuduhan yang disenarai dalam ‘berita palsu’ tersebut iaitu:

1 Limpahan air dari projek ini menyebabkan kejadian banjir di Kelantan.

2 Empangan di projek ini pecah dan menyebabkan banjir di Kelantan.

3 Kerja-kerja pembalakan di kawasan projek telah menyebabkan kawasan tersebut gondol dan ini menjadi punca aliran air yang besar ke kawasan Malik Urai, Kuala Krai dan seterusnya ke Kota Bharu.

4 Projek ini dilaksanakan secara rahsia.

Projek berskala besar ini dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Saya menghubungi mereka kelmarin dan mengemukakan empat soalan di atas untuk mendapat reaksi syarikat utiliti negara ini. Saya minta TNB beri jawapan secara teknikal dan terperinci, bukan sekadar menafikan tuduhan tersebut.

Berikut ialah penjelasan TNB: Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu terletak di daerah Hulu Terengganu, di kawasan Hutan Simpan Tembat, di bahagian hilir Tasik Kenyir. Ia melibatkan pembinaan dua empangan merintasi Sg. Terengganu (Empangan Puah) dan Sg. Tembat (Empangan Tembat) yang mengalir ke Tasik Kenyir.

Kawasan tadahan untuk projek ini terletak di Terengganu dan dipisahkan dari Kelantan oleh banjaran gunung. Oleh yang demikian segala aliran air permukaan (surface run-off) mengalir ke arah kedua-dua sungai tersebut yang akhirnya akan menjadi Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila projek ini siap kelak.

Air dari Tasik Tembat akan disalurkan melalui terowong lencongan air ke Tasik Puah. Air ini akan digunakan untuk penjanaan di Stesen Permukaan Tembat (15MW) sebelum memasuki Tasik Puah. Air dari Tasik Puah pula akan disalurkan ke Stesen Bawah Tanah Puah (250MW). Selepas penjanaan air ini akan disalurkan melalui terowong aliran keluar ke Tasik Kenyir seperti di lakaran rentas di atas.

Pembinaan Empangan Puah telah selesai dan penakungan tasik telah dimulakan pada 1 Oktober 2014 manakala Empangan Tembat dalam proses pembinaan dan penakungan Tasik Tembat akan dimulakan pada Jun 2015. Projek ini akan tamat sepenuhnya pada April 2016 dengan keupayaan untuk menjana tenaga elektrik 265MW.

Lokasi pembinaan empangan-empangan tersebut dipilih untuk mengelakkan pembinaan empangan pelana (saddle dam) dan oleh itu segala pelepasan air adalah melalui Empangan Puah dan Empangan Tembat di mana air pelepasan akan mengalir di aliran asal Sg. Terengganu dan Sg. Tembat dan seterusnya mengalir masuk ke Tasik Kenyir.

Dakwaan untuk air pelepasan dari kedua-dua empangan ini merentasi banjaran gunung dan memasuki Kelantan adalah mustahil. Tiada pelepasan air dari Tasik Puah dan perkara ini mustahil untuk dilaksanakan memandang paras air di Tasik Puah setakat 1 Januari 2015 masih di bawah paras pelepasan melalui pintu limpahan empangan.

Projek ini dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga dan Kerajaan Negeri Terengganu. Ia tidak dilaksanakan secara rahsia. Malah upacara perasmian penakungan Tasik Puah telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 1 Oktober lalu dan upacara perasmian ini telah disiarkan dalam media massa.

Pihak TNB kerap mengadakan aktiviti di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk kebaikan penduduk tempatan.

Projek-projek hidroelektrik yang dilaksanakan oleh pihak TNB bukan hanya untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik tetapi juga penebatan banjir. Proses penakungan Tasik Puah telah membantu mengurangkan kesan kemasukan air ke Tasik Kenyir apabila setakat 31 Disember lalu, sebanyak 740,000 juta kubik meter air ditahan oleh Empangan Puah.

Rumusannya, fakta-fakta di atas dengan jelas menunjukkan projek ini tiada kaitan dengan bencana banjir di Kelantan, malah ia telah berkesan dalam usaha penebatan banjir dengan mengurangkan kemasukan air ke Tasik Kenyir.

Dalam konteks ini, selain empangan Puah dan Tembat, empangan-empangan utama yang sedang beroperasi di Semenanjung di bawah kawal seliaan TNB ialah termasuk Empangan Temengor, Empangan Bersia, Empangan Kenering, Empangan Chendroh di Perak, Empangan Pergau di Jeli Kelantan, Empangan Kenyir di Terengganu, dan Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Cameron Highlands, Pahang.

Tasik-tasik besar yang terbina di belakang empangan-empangan besar ini mampu menahan air (hingga paras tertentu) umpama tangki-tangki takungan air yang sangat besar membantu menakung air daripada terus mengalir secara langsung melalui liku-liku laluan sungai hingga ke laut. Dengan demikian pelepasan air secara lebih terancang, lebih terkawal dan lebih selamat dapat dilakukan daripada stesen-stesen ini.

Dengan perkataan lain, empangan-empangan besar ini telah membantu sebagai empangan tembatan banjir yang sangat diperlukan terutamanya pada musim hujan lebat seperti yang telah berlaku kebelakangan ini. Tanpa empangan-empangan ini keadaan banjir mungkin lebih buruk daripada apa yang telah dialami.

Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 04 Januari 2015 12:14 AM
Tags: banjir
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments