kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penangan Bah kuning

PADA malam 24 Disember lalu, seorang editor di ibu pejabat bertanya, apakah penulis takut dengan air yang ketika itu mula memenuhi jalan di hadapan pejabat Biro Utusan Kota Bharu. Jawapan penulis, “tidak.” Namun dua hari kemudian, rasa gerun mula muncul dalam diri ini apabila air masuk dari segenap penjuru, fenomena yang tidak pernah dilihat sepanjang hidup ini.

Hampir 90 peratus Kota Bharu tenggelam. Laluan utama dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke ibu negeri ini juga tenggelam, keadaan kelam-kabut. Pada masa yang sama mesej meminta pertolongan tersebar. Di merata tempat orang memohon bantuan kerana terperangkap.

Ketika itu Gua Musang dan Kuala Krai bagai dilanda tsunami. Semuanya hancur dan musnah. Amukan Sungai Kelantan tidak dapat ditahan. Ada yang mengelarnya sebagai ‘bah kuning’ dan kesannya lebih buruk daripada ‘bah merah’ pada tahun 1926. Kedua-dua daerah tersebut tidak boleh dimasuki melalui laluan darat mahupun udara.

Manek Urai yang paling mendapat perhatian kerana mesej daripada Roslinawati Mohd. Nawi, seorang guru yang terperangkap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai Lama menjadi ‘viral’ dalam laman sosial dan aplikasi Whatsapp.

Penulis bertemu dengan mangsa-mangsa banjir termasuk Roslinawati yang terperangkap di SMK Manek Urai Lama pada hari pertama laluan darat untuk masuk ke sekolah itu dibuka. Keadaan mereka amat menyedihkan namun mereka masih tenang, rasa syukur dipanjatkan, tidak ada sedikit pun rasa marah dihamburkan kepada kerajaan terutama pasukan penyelamat biarpun tiga hari tanpa bantuan kerana kesemua mereka memahami kesukaran untuk masuk ke kawasan tersebut disebabkan arus yang deras dan cuaca buruk untuk helikopter terbang menghulurkan bantuan.

Kata mereka, ketika kemuncak ‘bah kuning’, tidak ada siapa di pusat pemindahan sementara di SM Manek Urai Lama dapat tidur lena kerana air naik sehingga ke tingkat tiga dan arusnya mengegarkan bangunan setinggi empat tingkat itu. Surau asrama di hadapan bangunan itu juga ranap, juga kelihatan dengan jelas rumah-rumah yang dihanyutkan arus di Sungai Lebir.

Terlupa

Pada masa itu, tumpuan hanya diberikan kepada Kuala Krai dan Gua Musang, semua terlupa lebih 20,000 sedang menderita di daerah Tanah Merah. Daerah itu juga menerima kesan yang dahsyat cuma kemusnahan tidak seteruk yang dialami oleh penduduk di Kuala Krai dan Gua Musang. Tanah Merah juga terputus hubungan sehingga timbul cerita ada penduduk terpaksa memecahkan pasar raya untuk mengambil makanan.

Mudah cerita, semua kawasan yang terletak di tebing Sungai Kelantan menerima kesan amukannya. Tidak ada yang dapat menahannya. Pasukan penyelamat seperti bomba, polis, tentera dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah melaksanakan tugas mereka dengan cukup berkesan biarpun tidak menang tangan dan terpaksa melupakan bahawa mereka juga mangsa banjir.

Penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan yang diketuai oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memainkan peranan penting melicinkan usaha untuk menyelamat dan membantu yang pada mulanya agak kelam-kabut kerana keadaan di luar jangka. Jawatankuasa tersebut disertai oleh agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Benar, sudah ada cakap-cakap Negeri Serambi Mekah ini akan dilanda banjir besar tetapi tidak sesiapa yang menjangkakan kesannya sedahsyat ini. Kuala Krai menjadi destinasi utama ‘bah kuning’ kerana di sini percantuman dua sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Galas untuk membentuk Sungai Kelantan. Bumi seolah-olah tidak menyerap langsung hujan lebat sejak beberapa hari sebelum itu. Untuk rekod, malapetaka ini digelar bah kuning oleh penduduk disebabkan airnya berwarna kuning serta membawa lumpur yang amat tebal.

Puncanya adalah kita lupa untuk ‘bersahabat dengan alam’ sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Gunung-ganang, bukit-bakau, semuanya ditarah untuk pembangunan tanah demi roh perut. Alam menunjukkan amarahnya.

Pada awal Januari 2014, Utusan Malaysia mendedahkan mengenai penerokaan tanah di Taman Negara Kuala Koh yang memberi kesan kepada ekosistem alam. Dalam Taman Negara Kuala Koh terkandung Sungai Lebir. Sebelum itu juga, media tanpa henti mendedahkan mengenai pembalakan dan penerokaan tanah di kawasan Hulu Kelantan khususnya Lojing.

Namun semua itu dinafikan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Kepemimpinan negeri itu mengeluarkan pelbagai fakta dan hujah yang kononnya pembalakan di negeri ini mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Syarat boleh dimanipulasi dengan akal yang bijak tetapi hukum alam tidak boleh ditipu.

Apakah kita lupa firman Allah SWT dalam Surah As-Syura ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yg menimpa kamu dari sesuatu kesusahan bala bencana, maka ia adalah disebabkan perbuatan-perbuatan daripada tangan-tangan kamu sendiri.”

Bagaimanapun usaha dan tumpuan kini adalah untuk membangunkan semula negeri ini. Bantuan tiba mencurah-curah. Ini menunjukkan solidariti rakyat Malaysia yang merentasi agama, bangsa dan kepentingan politik. Namun biarlah bantuan ini disampaikan secara tersusun agar semua mendapatnya secara saksama.

Kini, Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat diselaputi debu tebal. Debu daripada lumpur yang ditinggalkan oleh bah.

Membersihkan lumpur mungkin mudah tetapi untuk membina semula semangat yang runtuh memerlukan iltizam yang tinggi. Semua pihak perlu berganding bahu untuk membina semula Negeri Serambi Mekah ini. Mungkin tiba masanya Pas dan UMNO bersatu untuk membangunkan negeri yang lebih 90 peratus Melayu dan Islam.

Azran Fitri Rahim Utusan Malaysia Rencana 04 Januari 2015 12:29 AM
Tags: bah, banjir
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments