kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bekas Presiden, isteri diseksa

MELANJUTKAN cerita tentang penyeksaan yang dilakukan terhadap Liu Shao-chi dan keluarganya, Mao Tse-tung dan Lin Biao meninggalkan Beijing pada Julai 1967 menuju ke Hangzhou setelah Mao menentukan perkara-perkara yang harus dibuat oleh Kumpulan Kecil Revolusi Kebudayaan yang dianggotai Chou En-lai, Jiang Qing, Kang Sheng dan Chen Bo-da. Dia semacam ‘mengundur’ diri, tidak mahu ikut serta dalam kancah pergolakan di Beijing yang dia sendiri telah menciptanya. Sebaik-baik sahaja Mao meninggalkan Beijing, beratus ribu Red Guards mula mendirikan khemah-khemah di Dataran Tiananmen dan di hadapan kompleks Zhongnanhai yang bersebelahan dengan dataran itu. Zhongnanhai menempatkan kediaman rasmi pemimpin-pemimpin kanan China.

Kawasan dalam Zhongnanhai pula mula dimasuki beribu-ribu Red Guards. Mereka berhimpun di hadapan rumah-rumah pemimpin China yang telah dikenal pasti Mao Tse-tung sebagai penentang-penentangnya. Selain Liu Shao-chi, mereka termasuk Deng Xiao-peng, Zhu De, Tao Zhu, Marsyal Chen Yi (Menteri Luar China ketika itu), Li Xian-nian (bakal dilantik Presiden China selepas kematian Mao), Marsyal He Long dan beberapa orang pemimpin lagi yang semuanya adalah rakan seperjuangan Mao Tse-tung, suatu ketika dulu. Mao mengecap mereka sebagai capitalist-roaders (pemimpin sukakan sistem kapitalis). Tiga pemimpin yang paling dibenci oleh Mao ialah Liu Shao-chi, Deng Xiao-ping dan Tao Zhu, masing-masing digelar Mao sebagai Capitalist Roaders No: 1, 2 dan 3.

Selain perbuatan menjerit-jerit dan memaki hamun di hadapan kediaman pemimpin-pemimpin China itu, sebuah ‘mahkamah rakyat’ (kangaroo court) telah ditubuhkan dalam kawasan Zhongnanhai untuk ‘membicarakan’ pemimpin-pemimpin yang tidak disenangi Mao Tse-tung. Liu Shao-chi dan isterinya ‘dibicarakan’ pada 5 Ogos 1967. Kedua-dua mereka bukan saja menafikan tuduhan-tuduhan, malah berhujah balik dengan memberi penjelasan kenapa mereka tidak setuju dengan dasar-dasar Mao. Ini menyebabkan Red Guards menjadi bertambah marah terhadap mereka berdua. Selain dikenakan tindakan jet-plane dengan rambut mereka disentap ke belakang dengan kuatnya, mereka juga ditendang dan dipijak oleh Red Guards (bagi Wang Guang-mei, Red Guards perempuan yang melakukannya). Setiap kali Liu dan Wang membalas tuduhan dengan memberi penjelasan, muka dan kepala mereka diketuk bertubi-tubi dengan buku kecil Red Books sampai mendatangkan kecederaan. Setiap kali mereka terjatuh, Guang-mei memapah suaminya bangun kembali berdiri bagi menghadapi tuduhan dan slogan-slogan yang dihamburkan terhadap mereka.

Penyeksaan

Empat orang anak Liu – hasil perkahwinan dengan Guang-mei, Pingping, 18, Yuanyuan, 17, Tingting, 14, dan Xiaocxiao, 7, – telah dipaksa oleh Red Guards hadir untuk menyaksikan penyeksaan terhadap ibu bapa mereka, di samping ratusan orang ramai yang dibawa masuk oleh Red Guards. Kehadiran orang awam ini sengaja diatur oleh Red Guards untuk memberi kesan kesan sadisme yang lebih terhadap perbuatan mereka. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan kesan bahawa perbuatan mereka adalah dengan sokongan orang ramai. Apabila selama dua jam lamanya Liu dan Guang-mei diseksa, orang ramai berteriak bertalu-talu, menyuruh Red Guards jangan memberhentikan perbuatan ganas mereka. Sampai kepada satu tahap Xiaoxiao, tiba-tiba menjerit semacam ketakutan kerana tidak tertahankan lagi melihat ibu bapanya diseksa. Apabila abangnya, Yuanyuan, meluru mendapatkan Xiaoxiao, beberapa orang tentera yang hadir cuba menghalang Yuanyuan. Dia tidak peduli, dipeluk adiknya untuk menenangkannya. Tetapi, orang ramai yang melihat sikap tentera yang tidak mahu menyekat perbuatan Yuanyuan, bertindak balas dengan berteriak supaya Red Guards bertindak lebih keras lagi terhadap Liu dan Guang-mei.

Sebagaimana saya katakan dalam coretan minggu lalu, inilah taktik kotor dan tipu-helah Mao Tse-tung. Walaupun perbuatan zalimnya terhadap Liu dan Guang-mei berpunca daripada perbalahan peribadi antara dia dengan Liu – kerana Liu tidak mahu tunduk kepada dasar-dasar ‘gilanya’– Mao mahu menunjukkan seolah-olah penyingkiran Liu daripada jawatan Presiden negara China dan kini penyeksaan terhadap Liu dan Guang-mei adalah atas kehendak dan dorongan rakyat – bukan Mao Tse-tung. Putar belit ini kerap kali digunakan juga untuk menundukkan penentang-penentangnya yang lain.

‘Perbicaraan’ di kangaroo court memakan masa dua jam sebelum Liu, isteri dan anak-anaknya dibenarkan pulang ke rumah mereka yang tidak jauh dari kawasan tersebut. Liu berumur 70 tahun ketika itu, kaki kanannya telah cedera parah akibat perbuatan ganas Red Guards. Dia terpaksa dipapah oleh isteri dan anak-anaknya untuk sampai ke rumah. Kediaman rasmi Liu, yang dibina Maharaja Qian Long di zaman dinasti Qing, sangat mewah, sesuai untuk keluarga besar. Tetapi, kali ini, Mao Tse-tung telah mengarahkan supaya Liu Shao-qi dikurung dalam satu bilik, Guang-mei di bilik yang lain, sementara anak-anak mereka di bilik-bilik lain. Red Guards ditempatkan dalam rumah itu untuk menentukan tiada perhubungan langsung antara Liu dengan isterinya. Ini kehendak Mao Tse-tung yang ‘gila’ itu.

Seterusnya, bagi empat orang anak mereka, tidak berapa hari kemudian, pada 13 September, 1967, sebuah trak tentera datang ke kediaman Liu. Semuanya dimasukkan ke dalam trak itu yang membawa mereka ke sekolah masing-masing. Pingping dan Tingting diberi penginapan dormitori. Anak kedua, Yuanyuan, ditempatkan di sebuah bilik stor di sekolahnya. Beberapa hari kemudian, Yuanyuan telah dihantar ke sebuah desa terpencil di provinsi Shanxi, semacam ‘dibuang negeri’ mengikut bahasa kita. Pingping dikeluarkan sekolah, dihantar ke wilayah Shandong, bekerja sebagai petani di sawah padi. Anak bongsu, Xiaoxiao, tujuh tahun, ditempatkan di dormitori sebuah sekolah rendah. Pada hari pertama persekolahannya, Xiaoxiao telah dipukul oleh murid lain dengan kata-kata cercaan kononnya Xiaoxiao ialah ‘musuh rakyat’ (ini sebagai balasan kerana Xiaoxiao telah menjerit semasa melihat ibu bapanya diseksa).

Sementara itu, sebulan selepas berlakunya ‘perbicaraan’ kangaroo court itu, pada pertengahan September 1967, Wang Guang-mei telah dihadapkan ke mahkamah dengan beberapa pertuduhan jenayah yang berat: dia dituduh menjadi pengintip bagi Amerika Syarikat, Jepun, Parti Kuomintang dan Chiang Kai-shek. Memanglah tuduhan-tuduhan itu palsu. Sekejap sahaja berjalan perbicaraannya, Wang Guang-mei telah dijatuhkan hukuman penjara. Untuk selama dua belas tahun berikutnya, sehingga kematian Mao Tse-tung, Guang-mei meringkuk di penjara Qincheng yang tahap keselamatannya cukup tinggi. Sepanjang penahanannya, dia jarang sekali dibenarkan berjalan, sehingga apabila dia dibebaskan sesudah Mao mati (1976), Guang-mei mengambil masa lama untuk memulihkan keupayaan untuk berdiri tegak dengan betul dan untuk berjalan seperti biasa. Seperkara lagi, Liu Shao-chi dan semua anaknya tidak tahu langsung bahawa Guang-mei telah menerima hukuman penjara.

Apa kesudahan nasib Liu Shao-chi? Ikutilah coretan saya pada minggu hadapan.

- Abdul Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 04 Januari 2015 12:29 AM
Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments