Kempen kesederhanaan atau moderation dengan menggunakan Melayu untuk memecahbelahkan Melayu semakin galak. Melayu yang merasakan diri mereka terpelajar, toleran, moderate dan kenyang mengecapi hidup sebagai Melayu kelas tinggi dalam perkhidmatan awam bersedia untuk ditunggang tanpa “membaca” tujuan politik pihak tertentu.
Sebenarnya kempen ini bertujuan mengecilkan dan menghakiskan suara dan pengaruh orang Melayu yang mempertahankan Perlembagaan, agama Islam dan kedudukan orang Melayu. Dengan bertopengkan gerakan kesederhanaan, agenda tersirat ialah memberikan gambaran tentang kebimbangan negara ini jatuh ke tangan ekstremis, siapa lagi kalau bukan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan terajunya, Ibrahim Ali.
Kempen yang digerakkan oleh sebuah akhbar bahasa Inggeris ini semakin galak memperalatkan apa sahaja yang boleh memberi maksud sosio-politik masa kini terperangkap dalam genggaman ekstremis Melayu. Rabu lalu dengan tajuk, “Honouring moderate Malaysians”, akhbar berkenaan memanipulasi Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman apabila menganggap Tunku sebagai pemimpin yang moderate.
Tunku dipergunakan kerana beliau seorang Melayu. Ini menunjukkan seolah-olah model pemimpin sederhana ialah Tunku. Kita tidak menafikan Tunku seorang yang sederhana tetapi akhbar ini tidak menyebut bahawa Tunku juga mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. Misalnya dalam isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang cuba diusik oleh pemimpin bukan Melayu, Tunku tetap mempertahankan Perlembagaan.
Apabila akhbar itu boleh menerima Tunku yang bertegas tentang isu bahasa Melayu, maknanya memperjuangkan isu itu bukanlah ekstrem. Tetapi ironinya NGO Melayu yang melakukan seperti ketegasan Tunku dianggap ekstremis. Tunku memang kelihatan seorang pemimpin tertinggi yang terbuka, moderate dan mesra rakyat. Tetapi ini tidak bermakna Tunku toleran tentang perkara-perkara dalam Perlembagaan terutama soal orang Melayu.
Suatu yang penting ditegaskan ialah semua pihak tidak menolak gerakan kesederhanaan. Malah sejak negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu terutamanya mengambil sikap sederhana apabila menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara. Padahal ketika itu negara ini milik orang Melayu – diperjelaskan lagi dengan nama Tanah Melayu. Tetapi kerana mengambil sikap sederhana mereka sanggup berkongsi kekayaan dan kuasa dengan orang yang bukan dalam lingkaran Nusantara menjadi warganegara.
Memberikan gambaran seolah-olah ekstremis seperti Perkasa menguasai negara ini adalah strategi supaya kempen kesederhanaan ini mendapat sokongan terutama dalam kalangan bukan Melayu yang merasa terancam. Sebaliknya ini adalah strategi yang ekstrem dan bertentangan dengan gagasan kesederhanaan yang kononnya mereka perjuangkan.
Kalau orang Melayu tidak mengamalkan kesederhanaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan sahaja tidak mendapat bantuan malah tidak wujud di negara ini. Tetapi gaya pemikiran ekstrem ini tidak berlaku dan dibuktikan dengan kewujudan SJKC yang tidak ada di mana-mana negara termasuk Singapura yang dikuasai oleh orang Cina. Lee Kuan Yew ekstrem tetapi pemimpin politik Melayu negara ini yang mengambil pendekatan dan pemikiran sederhana. Pernah mereka kata Lee Kuan Yew ekstrem?
Adakah Perkasa dan Ibrahim Ali dianggap ekstrem hingga mendorong akhbar milik sebuah parti Cina menganjurkan kempen kesederhanaan? Bagaimana pula parti Cina yang menjadi kerajaan di Pulau Pinang bertindak jauh lebih ekstrem daripada Perkasa? Adakah pertanyaan akhbar Utusan Malaysia, “Apa lagi Cina mahu” suatu yang ekstrem, dan apakah tidak ekstrem gelombang pengundi Cina beralih kepada parti Cina yang ekstrem?
Malangnya setakat ini saya belum terbaca (maaf kalau terlepas pandang) reaksi daripada pemimpin-pemimpin UMNO tentang muslihat kempen kesederhanaan ini. Sedangkan pada masa yang sama parti Cina dan banyak NGO Cina digembar-gemburkan menyokong gerakan kesederhanaan ini.
Kerana saya bukan orang politik maka saya tidak mahir tentang strategi politik. Adakah sikap berdiam diri UMNO ini satu strategi politik untuk menjinakkan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)? Tetapi tidak kiralah strategi apa sekalipun, kempen kesederhanaan ini telah memberikan satu isyarat yang salah kepada rakyat.
Kempen kesederhanaan ini juga meresahkan rakyat apabila mereka diberi gambaran tentang kemunculan kumpulan-kumpulan ekstremis yang berteraskan Melayu dan Islam. Kempen yang tidak sederhana ini mesti disanggah bahawa realiti sosial bukanlah seperti yang diperagakan dalam akhbar bahasa Inggeris berkenaan.
Isyarat kepada 25 Melayu ternama
Saya memuji cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangani tuntutan 25 Melayu ternama apabila menyuruh mereka berunding dengan Majlis Permuafakatan Melayu (MPM) dan bukan dengan beliau sendiri. Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mempelawa 25 Melayu yang kononnya ternama ini berbincang berhubung kritikan mereka terhadap undang-undang syariah negara ini.
Pendekatan Jakim yang sederhana telah dibalas dengan tindakan ekstrem, kumpulan 25 Melayu ini menolak untuk bertemu Jakim. Mereka kononnya mempelopori gerakan kesederhanaan tetapi tanda sedar telah bertindak ekstrem memperkecil dan memperlekehkan Jakim.
Tindakan Najib menyuruh mereka berbincang dengan MPM adalah tepat kerana kumpulan 25 Melayu bukan siapa-siapa dan tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti orang Melayu. Mereka memang tidak layak untuk berbincang dengan Perdana Menteri, sekiranya dibenarkan berbuat begitu, bermakna kita mengiktiraf kelompok minoriti dan mengetepikan majoriti.
Kalau sebelum ini mereka memperkecilkan Jakim, kali ini sepatutnya mereka sedar telah diperkecilkan apabila gagal bertemu Perdana Menteri. Kemunculan 25 bekas pegawai tinggi Melayu ini seolah-olah negara ini menuju kehancuran kerana dikuasai oleh gerakan Melayu yang ekstrem. Pada masa yang sama mereka telah memberikan gambaran yang serong bahawa undang-undang syariah di negara ini mencabul kebebasan hak asasi.