kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

2014: cabaran dunia penerbangan

Tahun 2014 merupakan tahun cabaran bagi industri penerbangan. Malah 2014 juga membuka dimensi baharu supaya industri penerbangan menyemak semula teknologi terutama daripada aspek ketepatan mengesan kehilangan pesawat.

Tragedi hilangnya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 pada 8 Mac tahun lalu telah tercatat sebagai sejarah penting industri penerbangan dunia. Pesawat itu masih belum ditemukan walaupun pemantauan radar bumi menunjukkan ia berakhir di Lautan Hindi. Usaha mengesan MH370 di Lautan Hindi telah menelan belanja yang besar, aset dan teknologi paling canggih terutama dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Jepun, China dan Australia. Bagaimanapun masih belum berhasil.

Persoalannya adakah teknologi radar bumi dan satelit sudah jauh ketinggalan? Teknologi yang dikatakan canggih masih mempunyai lompong apabila MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan terus hilang hingga hari ini.

Kehilangan MH370 adalah satu kajian kes yang mencabar apabila teknologi untuk mengesan dan memantau pesawat perlu disemak semula. Dengan itu kehilangan pesawat tersebut juga pemangkin untuk mengoptimumkan kemampuan radar bumi dan satelit bagi memantau pesawat. Kalau benarlah MH370 seperti yang diumumkan secara rasmi berakhir di Lautan Hindi, satu persoalan lain, adakah teknologi pengesan di dasar lautan seperti Lautan Hindi sudah tidak boleh dipakai lagi?

Tetapi sebelum itu, pengumuman rasmi MH370 berakhir di Lautan Hindi juga boleh dipertikaikan kerana teknologi mengesan di Lautan Hindi adalah yang paling canggih. Kegagalan barangkali berpunca daripada radar bumi dan satelit yang memberikan petunjuk tidak tepat. Teknologi mengesan di dasar Lautan Hindi mungkin tidak gagal tetapi tidak berhasil kerana pesawat berkenaan berada di tempat lain.

Kehilangan MH370 adalah kegagalan memantau pesawat. Tahun 2014 telah membongkar rahsia besar bahawa banyak sistem radar bumi dan satelit yang ada di wilayah di mana MH370 terputus hubungan termasuk negara ini tidak berfungsi dengan baik. Persoalan lain, benarkah kegagalan teknologi atau ada misteri yang sengaja menggagalkan teknologi?

Tahun 2014 juga membawa hikmah di sebalik tragedi yang meragut 239 nyawa yang terdiri daripada penumpang dan anak kapal. Tanpa tragedi ini pemain dalam industri penerbangan menganggap teknologi yang ada sudah mencukupi untuk memantau pesawat apabila Boeing sendiri memasang alat kawalan jauh kepada model pesawat yang sama dengan MH370.

Sebagai orang biasa, kita bolehlah membuat kesimpulan mudah bahawa sesebuah pesawat itu hilang dari radar boleh diibaratkan sebagai layang-layang yang putus tali, tidak dapat dikesan di mana berakhirnya. Benarkah ini disebabkan kegagalan teknologi pemantauan atau sebab-sebab lain?

Memantau

Ini kerana seluruh dunia tahu pesawat milik Boeing tercanggih telah dipasang alat Advanced Route Evaluation System (ARES) yang dihubungkan kepada pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA). MH370 adalah sama model dengan pesawat Boeing yang dilengkapi peralatan ini. Menurut jurnal penerbangan, Global Flight edisi 1 Disember 2006, dengan menggunakan alat kawalan jauh ini, CIA boleh memantau semua penerbangan pesawat Boeing di seluruh dunia. Ini bertujuan untuk menghalang daripada perampas melencongkan pesawat di luar laluan yang sepatutnya. Tidak cukup canggihkah peralatan ARES inisiatif Boeing ini?

Menurut Global Flight lagi, Boeing telah menggunakan alat itu sejak 2006 sebagai langkah proaktif menangani kejadian rampasan pesawat apabila perampas akan memaksa juruterbang melencongkan pesawat ke lokasi yang dikehendaki. Dengan menggunakan ARES, CIA yang memantau penerbangan pesawat Boeing akan mengambil alih tugas juruterbang secara kawalan jauh dan memandu pesawat itu ke lapangan terbang yang berdekatan dan selamat untuk mendarat.

Menerusi ARES, apabila CIA mengesyaki sesebuah pesawat Boeing itu dalam keadaan “luar biasa” sama ada isyarat diberikan oleh juruterbang atau CIA melihat pesawat telah terkeluar laluan, CIA akan mengambil alih sepenuhnya pemanduan pesawat berkenaan dan semua sistem di dalam kokpit sudah tidak berfungsi lagi. Sekiranya dirampas, pesawat itu tidak boleh dilencongkan seperti yang selalu berlaku dalam rampasan pesawat sebelum ini.

Menurut artikel itu, dalam keadaan masa itu (2006) apabila semua pesawat Boeing dipasang dengan alat ARES, pergerakan pesawat berada dalam tangan CIA dan tidak mungkin pesawat Boeing, apa lagi yang dikelaskan sebagai termoden akan terkeluar daripada operasi kawalan jauh CIA. Maknanya pesawat Boeing menjanjikan keselamatan yang maksimum dengan alat pemantauan berteknologi tinggi.

Penggunaan peralatan kawalan jauh yang dikendalikan oleh CIA ini memberikan keyakinan kepada penumpang yang trauma membaca berita tentang pesawat yang dirampas. Penumpang akan selamat apabila keselamatan mereka dipantau setiap saat oleh CIA. Sekiranya perampas bertindak membunuh penumpang yang dijadikan tebusan, kerja itu adalah sia-sia. Juruterbang sudah tidak boleh berbuat apa-apa kerana pesawat Boeing bertukar menjadi pesawat tanpa pemandu seperti yang digunakan oleh AS untuk mengintip dan mengebom musuh.

Pada 2006, Boeing dalam satu kenyataannya berkata: “Kami secara berterusan mengkaji dan melaksanakan pelan keselamatan kepada penumpang dan menjadi pesawat yang paling cekap di dunia dalam penerbangan.” Selain mematikan sistem yang dikemudikan oleh juruterbang, ARES juga dibekalkan dengan sumber tenaga elektrik sendiri yang tidak boleh diputuskan secara manual.

Menurut jurucakap syarikat Raytheon Corporation telah berjaya mendapat kontrak yang dikeluarkan oleh Federal Avation Administration untuk memasang ARES pada pesawat Boeing, sistem ini bukan sahaja menyediakan pemanduan secara kawalan jauh oleh CIA malah menyediakan analisis pada laluan penerbangan yang selamat kepada CIA ketika pesawat dalam keadaan kecemasan.

Apabila MH370 hilang, persoalan yang mungkin timbul adakah teknologi seperti ARES perlu disemak semula supaya mampu menjejaki pesawat? Baru-baru ini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengesyorkan supaya semua pesawat menghantar laporan langsung setiap 15 minit atau lebih kerap ketika kecemasan. Ini kerana pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik menghantar laporan setiap sepuluh minit. The Wall Street Journal pula melaporkan banyak pesawat telah dilengkapi alat yang dapat menghantar laporan setiap dua minit. Ini menunjukkan teknologi sudah semakin hebat. Tetapi cabarannya tragedi seperti MH370 masih boleh berlaku. Tahun 2014 menjadi titik tolak penting bagi industri penerbangan menaik taraf sistem pengesan dan pemantauan.

- Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 04 Januari 2015 12:44 AM
Subscribe

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Arguments against use of CEFR flawed

    I REFER to the letter “Adopt a Malaysian framework” (NST, May 28), in which the writer attempts to make a case for rejecting the…

  • Kita kurang guru bahasa Inggeris

    “Desak guru ambil MUET, NUTP minta menteri campur tangan” adalah berdasarkan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments