kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

GST tidak menyusahkan

MUKADIMAH ‘Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan merubah dan menyusahkan kehidupan rakyat’. Itulah kesimpulan daripada wawancara khas Mingguan Malaysia dengan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad di pejabat beliau di Putrajaya, Isnin lalu. Beliau menegaskan bahawa GST bukan faktor penyumbang utama kepada peningkatan harga barang tetapi lebih kepada sikap peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih besar. Sehubungan itu, beliau menggesa diwujudkan satu gerakan persatuan kepenggunaan yang kukuh bagi melawan golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab. Dalam pertemuan selama sejam itu, Khazali turut menjawab pelbagai soalan tentang jangkaan kutipan hasil, cabaran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam melaksanakan GST, perancangan masa hadapan serta usaha meningkatkan integriti jabatan itu. Bercakap kepada Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, wartawan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan jurufoto, SHEFRY MONIZ, Ketua Pengarah Kastam itu menegaskan: “Yang berubahnya dari segi cara pengurusan kita dari segi percukaian, itu sahaja.”

MINGGUAN: Hasil kutipan cukai JKDM pada tahun ini (2014) difahamkan sangat baik dan meningkat berbanding tahun lalu?


“Yang berubahnya dari segi cara pengurusan kita dari segi percukaian, itu sahaja.”


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad - Foto Shefry Moniz

KHAZALI: Saya berasa teruja untuk memaklumkan setakat hari ini (Isnin lalu) kita sudah berjaya memungut sebanyak RM34.806 bilion. Ini merupakan peningkatan sebanyak 5.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM32.9 bilion. Dalam keadaan persekitaran ekonomi sekarang, ini merupakan satu pencapaian yang agak baik dari segi pungutan hasil cukai tidak langsung.

Ini sebenarnya sebanyak 97 peratus daripada sasaran kutipan kita iaitu sebanyak RM36 bilion. Kita ada berbaki tiga hari lagi, insya-Allah kita hendak rapatkan ke arah mendekati angka RM36 bilion. Bagaimanapun, saya berpuas hati dari segi pencapaian kita ini iaitu peningkatan hampir RM2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mulai 1 April depan, Malaysia akan melaksanakan GST. Jadi, berapakah jangkaan kutipan hasil cukai yang akan dikutip oleh kastam pada 2015?

KHAZALI: Di bawah GST nanti, untuk sembilan bulan selepas pelaksanaan itu, kita akan cuba tingkatkan hasil dari segi cukai kepenggunaan ini kepada RM23 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM7 bilion berbanding RM16 bilion yang kita jangka dapat kutip kalau masih laksanakan cukai kepenggunaan semasa iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Kita akan nampak peningkatan RM7 bilion dari segi kutipan hasil untuk sembilan bulan selepas pelaksanaan, sebab kita masih melaksanakan SST dari 1 Januari hingga 1 Mac ini. Peningkatan hasil kita akan dapat lihat lebih tinggi berbanding dalam sistem pelaksanaan cukai kepenggunaan sekarang sebab GST ini lebih meluas yang meliputi banyak sektor. Cukai kepenggunaan sekarang bergantung kepada jenis barang yang dikenakan cukai jualan tetapi GST ini berdasarkan nilai ambang perniagaan dan sebab itu, kita jangkakan kutipan lebih tinggi. Pada 2015, kita jangka boleh kutip cukai sehingga RM40 bilion termasuk eksais tempatan, eksais import serta duti import dan eksport.

Memandangkan GST ini merupakan sistem cukai kepenggunaan yang baharu dan asing bagi masyarakat Malaysia, apakah cabaran dihadapi kastam dalam melaksanakan sistem ini?

KHAZALI: Tahun 2015 ini agak mencabar kepada jabatan sebenarnya. Satu, pelaksanaan GST kerana ia akan mengambil hampir 60 peratus daripada tugas jabatan kita. Cabarannya untuk mempertingkatkan kefahaman dan mewujudkan kecekapan dari segi pengurusan, bukan sahaja di peringkat pengurusan pentadbiran kerajaan tetapi di peringkat peniaga dan orang ramai.

Sekarang banyak isu orang cipta seolah-olah apabila GST dilaksanakan, akan berubah kehidupan dan menyusahkan. Orang macam takut dengan GST. Persepsi inilah yang hendak diperbetulkan. Apa yang berubahnya? Yang berubahnya dari segi cara pengurusan percukaian, itu sahaja. Kita memodenkan dan transformasi sistem cukai kepenggunaan kepada satu sistem cukai yang bukan baharu, yang memang sudah ada tetapi kita tak laksanakan di Malaysia.

Ini merupakan satu cabaran. Sebab ada orang di sana bercerita, sekarang rakyat belum bayar cukai tetapi apabila GST dilaksanakan, rakyat akan bayar cukai. Itu persepsi sedangkan rakyat memang sudah bayar cukai dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cabaran kita adalah untuk memberi taklimat, penerangan dan keterangan.

Satu lagi cabaran iaitu dari segi memastikan supaya pegawai-pegawai faham. Kita mesti buat pengurusan perubahan. Bukan sahaja rakyat di luar sana faham tetapi warga kita sendiri, kerana sudah terlampau biasa dengan sistem lama dan apabila hendak berubah kepada sistem baharu, satu sistem pengurusan perubahan hendaklah dibina dengan sebegitu rupa. Sebab itu, bahagian perancangan korporat ada perancangan bagaimana hendak menangani dan mendepani dengan pegawai kita sendiri.

Selepas banyak sesi taklimat dan penerangan diberikan oleh kastam, bagaimana penerimaan dan maklum balas golongan peniaga terhadap GST setakat ini?

KHAZALI: Saya rasa apabila sudah banyak penerangan kita beri, mereka sudah mula memahami. Sebab itu, kita perlu banyak beri penerangan bukan setakat kepada pengguna tetapi ahli-ahli perniagaan ini. Disebabkan mereka terlalu biasa dengan cara perniagaan lama, hendak menguruskan perubahan ini yang susah.

Jadi, penentangan terhadap perubahan tetap ada walaupun ia ke arah kebaikan, apatah lagi sistem percukaian. Oleh demikian, pengurusan perubahan ini merupakan satu cabaran kepada kita, terutamanya untuk melatih peniaga membiasakan diri dengan sistem cukai baharu.

Contohnya, sekarang kedai seperti hardwar’, kadang-kadang buku invois pun tidak tahu ke mana perginya dan akhirnya, buku rekod pun tidak ada. Bila hendak buat GST, itu semua kena berubah. Takkanlah ke arah kita hendak menuju negara maju, kita masih hendak berniaga macam itu tanpa rekod dan dokumen yang teratur.

Apakah kerajaan menyediakan sebarang insentif untuk golongan peniaga ini berubah kepada pengurusan perniagaan yang moden?

KHAZALI: Kerajaan memahami cara masyarakat kita berniaga. Kita tidak risau dengan syarikat-syarikat besar tetapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah biasa dengan perniagaan keluarga ini tetapi perniagaannya besar, lebih RM500,000 ada berjuta-juta pun tetapi cara berniaga tetap sama.

Oleh itu, kerajaan akan bantu mereka ini dari segi menyediakan perisian perakaunan. Kita beri bantuan RM1,000 sebagai subsidi. Dia boleh beli mana-mana perisian daripada 136 vendor yang kita ada. Contoh, kedai runcit mungkin banyak jual barang-barang yang tidak kena GST tetapi pada masa sama kedai itu pun ada jual barang-barang lain yang kena GST. Jadi, macam mana hendak bezakan barang yang kena GST dengan tidak kena GST? Oleh itu, dia kena ada sistem yang teratur bila jual barang. Kalau jual tepung, beras dan gula memang tidak kena GST tetapi kalau dia jual ubat gigi, berus gigi, sabun mandi dan selipar, yang ini tertakluk kepada GST, dia kena rekod dan bayar cukai kepada kerajaan.

Apakah kecacatan struktur dalam sistem SST yang dilaksanakan sekarang sehingga perlu dilaksanakan GST?
KHAZALI: Sistem sekarang tidak teratur dan tidak telus. Kita hendak beritahu GST ini sistem yang telus, kita tahu apa yang kita bayar. Saya sendiri pun kalau tidak kerja kastam, saya tidak tahu saya sudah bayar 10 peratus. Sebab itu, saya marah bila orang sebut keadaan di mana rakyat Malaysia pada 2015 kelak dari keadaan tidak bayar cukai kepada bayar cukai. Itu tidak betul. Kita perlu betulkan persepsi.

Walaupun SST dipanggil sistem satu peringkat tetapi sebenarnya ia sistem pelbagai lapis iaitu cukai dipindahkan ke setiap peringkat. Kesan melata ke setiap peringkat itu yang kita tidak nampak. Sebab itu akan ada cukai atas cukai. Cukai 10 peratus yang asal itu pun berkemungkinan berakhir dengan kita bayar 18 peratus. Sebab peniaga ini mark up harga sekali dengan cukai. Sedangkan, dari segi kutipan hasil, kemungkinan kerajaan tidak kutip pun 18 peratus itu tetapi kita kutip 10 peratus peringkat pertama sahaja, itu pun kalau dia (peniaga) buat pengisytiharan betul. Kalau dia buat pemindahan harga, lagilah kerajaan tertipu misalnya. Inilah dikatakan tiang kita dimakan anai-anai, kecacatan struktur itu.

Dengan GST, mereka sama sekali tidak boleh lari (elak bayar cukai). Sebab pengeluar sendiri kena bayar cukai input sebanyak enam peratus dan mereka mesti buat tuntutan balik terhadap cukai input yang telah dibayar.

Ada pihak tertentu cuba menakut-nakutkan rakyat bahawa akan berlaku banyak peningkatan harga barang apabila GST dilaksanakan. Sejauh mana kesan dan implikasi GST terhadap harga barang?
KHAZALI: Kita akui di bawah arena GST, akan ada sedikit peningkatan. Sekarang ini, simen tidak ada cukai tetapi apabila GST ada sedikit cukai. Sekarang ini pun, perkhidmatan arkitek, juruukur bahan dan peguam, semua ada cukai enam peratus. Di bawah GST pun ada enam peratus. Sekarang ini, jubin semua itu ada 10 peratus dan kalau jubin import, ada duti import sebanyak 50 peratus tambah lagi 10 peratus cukai jualan. Namun, di bawah GST, yang import cuma ada enam peratus (cukai), logiknya harga patut turun.

Barang-barang keperluan asas harian seperti ikan, sayur, budu, cencaluk dan kicap tidak kena GST. Itulah kehidupan kita. Kalau beli barang mewah, itu kenalah cukai. Sebab itu kita panggil ini cukai kepenggunaan dan cukai yang progresif. Lebih banyak kamu belanja, lebih banyak kamu bayar cukai. GST yang kita laksanakan tidak mengikut konsep asal sistem ini yang dibuat sejak 1959. Kelebihan kita buat GST lewat ini ialah kita sudah banyak belajar daripada negara-negara lain. Sebab itu kita jangkakan kenaikan 1.08 peratus sahaja dan selepas setahun, 1.08 peratus itu akan hilang.

Saya hendak cerita di sini, isunya bukan isu GST sangat tetapi isu harga. Siapa yang main harga? Pengguna mesti mewujudkan gerakan kepenggunaan yang kuat untuk melawan peniaga yang tidak bertanggungjawab supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang, di samping penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Jangan rakyat hanya memikirkan harga naik mahu salahkan kerajaan tetapi dalam masa sama, rakyat mesti membentuk gerakan kepenggunaan yang kuat untuk melawan mereka yang mengenakan perniagaan tidak betul ini.

Selain GST, apakah perancangan kastam pada 2015?
KHAZALI: Fokus jabatan kita ialah dua perkara. Satu kita hendak memodenkan sistem pentadbiran. Sebab itu, kita hendak membina sistem perkomputeran baharu yang dipanggil U-Customs. Ia sedang dibangunkan dan sistem ini ialah hujung ke hujung (end to end). Kita rasa melalui sistem ini, ia akan mengurangkan atau langsung tiada penglibatan manusia dalam sistem itu. Dengan kurangnya penglibatan manusia, kita akan mempertingkatkan usaha-usaha dari segi integriti. Apabila tidak ada penglibatan manusia, tidak ada hubungan terus antara pengimport dengan pegawai. Jadi, semua ini langkah-langkah ke arah kita hendak memperkemaskan pentadbiran kastam, melicinkan pengurusan dan seterusnya memberikan fasilitasi perdagangan yang baik kepada pedagang-pedagang. Sistem ini dijangka beroperasi mulai 1 Januari 2016. Daripada situ, seterusnya kita akan gunakan sistem ini, menggantikan sistem maklumat kastam yang kita gunakan sekarang.

Pada 2014, imej kastam terjejas dengan skandal rasuah yang mengakibatkan kerajaan kerugian lebih RM2 bilion. Apakah tindakan pihak Datuk Seri bagi meningkatkan integriti dan membasmi rasuah di dalam jabatan ini?

KHAZALI: Kita sedang merangka pelan integriti untuk 2015 hingga 2019 sebab kita rangka pelan integriti setiap lima tahun. Kita sudah ada pelan integriti sebelum ini dari 2010 hingga 2014. Ini sedang dibina supaya kita benar-benar dapat mewujudkan satu jabatan yang kukuh dari segi integriti dan amanah bagi memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam arena GST. Kita juga secara berterusan hendak meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai di peringkat dalaman dan antarabangsa. Inilah rangka-rangka kerja yang kita akan pastikan dilaksanakan, di samping kita akan terus mengekal, memberi fasilitasi perdagangan, mengawal sempadan dan keselamatan negara yang mana kita terlibat secara langsung. Contohnya, di pintu-pintu masuk negara, ada orang kita di situ. Jadi, kita hendak latih orang kita ini supaya cara pemikirannya satu langkah terkehadapan daripada orang lain. Sebab sekarang, jenayah merentasi sempadan ini pelbagai termasuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penyeludupan dadah dan senjata api.

Tema Hari Kastam Sedunia pada tahun ini ialah Penyelarasan Pengurusan Sempadan: Pendekatan Inklusif bagi Menghubungkan Pihak Berkepentingan. Boleh Datuk Seri ulas sedikit?

KHAZALI: Ini semua bercakap soal pengurusan sempadan secara bersepadu iaitu bagaimana kita boleh mewujudkan satu tindakan bersepadu dari segi pengurusan sempadan sebab kita tahu di Malaysia banyak agensi terlibat di sempadan. Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kastam.

Kita tidak boleh lagi bekerja secara silo. Kita kena cari jalan bagaimana agensi-agensi ini boleh bekerja secara bersepadu supaya tindakan kita nampak cantik, kemas dan teratur bukan hanya dari segi pentadbiran tetapi oleh orang ramai yang hendak masuk ke Malaysia, sama ada pelancong atau rakyat Malaysia sendiri. Jadi, kita hendak cari jalan bagaimana hendak sepadukan tindakan ini supaya ia kelihatan kemas dan orang ramai tidak rasa kurang selesa sebab banyak sangat orang hendak semak dan periksa. Inilah yang sedang diuar-uarkan WCO untuk mewujudkan satu pemeriksaan sahaja. Saya akan bawa perkara ini dalam perbincangan antara agensi.

Tags: cukai
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments