kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PT3 semua pihak harus terima

BEBERAPA orang rakan bertanya kepada penulis tentang keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan baru-baru ini. Ternyata bahawa keputusan peperiksaan kali pertama itu telah mendapat pelbagai reaksi yang berbeza daripada pelajar dan ibu bapa.

Bagi penulis, PT3 merupakan suatu pentaksiran atau penilaian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama. Pelaksanaannya bertujuan menguji kebolehan dan keupayaan pelajar secara menyeluruh atau holistik. Ketiga-tiga aspek pembelajaran utama pelajar diukur iaitu bidang kognitif, psikomotor dan sahsiah. Hingga kini belum ada lagi pentaksiran yang menilai ketiga-tiga bidang itu dalam satu peperiksaan kecuali, PT3.

Sejak tahun 1990-an lagi ramai tokoh pendidikan berpendapat sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Menurut mereka pendidikan di negara ini seolah-olah bermatlamatkan peperiksaan. Maka berlumba-lumbalah guru berusaha menghasilkan seramai mungkin pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang. Ironinya sekolah yang dianggap baik diukur hanya melalui berapa ramai bilangan pelajarnya yang memperolehi keputusan A.

Sistem peperiksaan sedemikian akan menyebabkan pelajar terdorong untuk menggunakan kaedah menghafal dan meramal soalan sekiranya ingin mendapat keputusan cemerlang. Peperiksaan ini juga menyebabkan minda pelajar kurang tercabar untuk mengeluarkan idea baru atau berfikir di luar kotak pemikiran biasa.

Oleh itu tokoh-tokoh tersebut menyarankan agar dibina suatu sistem peperiksaan yang lebih holistik supaya pelbagai bakat dan kebolehan pelajar dapat diukur dan diuji. Sudah tentu melalui kaedah ini pelajar akan berusaha untuk meningkatkan pencapaian bukan sahaja aspek akademik tetapi melibatkan sikap, persepsi dan kegiatan kokurikulum. Dengan itu diharapkan kita berupaya melahirkan modal insan yang memiliki berbagai-bagai kemahiran yang diperlukan pada masa kini.

Bagi mengatasi isu tersebut maka pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan berusaha mencari suatu kaedah peperiksaan baharu terutama membuat perbandingan dengan sistem yang diamalkan di negara-negara maju. Objektif mereka ialah mewujudkan sistem peperiksaan baharu yang benar-benar dapat menguji bakat, kebolehan dan keupayaan pelajar dalam pelbagai bidang. Bagi penulis, PT3 itu adalah jawapannya.

Hakikatnya peperiksaan bentuk baharu ini juga berkaitan dengan usaha bersungguh-sungguh Kementerian Pendidikan mengangkat kualiti pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Ternyata Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat agak ketinggalan kerana menguji pelajar hanya dari aspek kognitif sahaja. Soalannya pula lebih berbentuk objektif dan aneka pilihan tanpa memberi peluang kepada pelajar menjawab soalan lebih mencabar seperti ‘problem solving.’

Justeru PT3 diperkenalkan me­ngandungi soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), tahap kesukaran tinggi dan menekankan pendekatan penyelesaian masalah. Dalam masa yang sama tumpuan kepada bidang tersebut membolehkan dalam penilaian peringkat antarabangsa ujian PISA dan TIMMS kedudukan ran­king negara akan dapat ditingkatkan.

Ada perbezaan yang besar antara PT3 dengan PMR. Peperiksaan PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Bermula daripada menetapkan jadual peperiksaan, pembinaan soalan, menyediakan skor pemarkahan, pemeriksaan kertas jawapan hinggalah kepada pengumuman keputusan PMR semuanya dikelolakan oleh LPM.

Sementara itu PT3 mengambil kira penilaian daripada empat komponen iaitu melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3. Format soalan PT3 adalah berbentuk subjektif atau respon terbuka.

Tidak benar jika dikatakan PT3 ini dilaksanakan secara tergesa-gesa. Pelajar-pelajar telah didedahkan dengan PBS sejak tahun 2012 iaitu ketika mereka berada di Tingkatan 1. Ini bermakna pelajar telah melalui PBS selama tiga tahun. Kaedah ini memberi ruang dan tanggungjawab kepada guru untuk menguruskan sendiri peni­laian pelajar melalui penyediaan soalan, memeriksa kertas jawapan dan menetapkan skor pemarkahan.

PBS bukanlah suatu yang asing kepada guru. Penilaian terhadap pelajar telah dilaksanakan sejak sekian lama melalui ujian bulanan serta peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Walau bagaimanapun rekod pencapai­an pelajar dalam ujian dan peperiksaan itu hanya tinggal dalam buku rekod mengajar dan kad laporan sahaja. Tetapi pentaksiran baharu ini memberi nilai tambah apabila keputusan tersebut turut diambil kira dalam menyediakan keputusan PT3.

Pada pendapat penulis isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak terhadap PT3 itu adalah lebih kepada aspek pelaksanaan. Sudah tentu pengenalan kepada satu sistem baharu akan berhadapan dengan berbagai kelompangan. Kefahaman yang le­bih jelas perlu diberikan kepada guru dan pelajar tentang falsafah, matlamat dan pelaksanaan PT3. Taklimat secara berkala perlu diteruskan dari masa ke masa kepada pengetua dan guru agar pelaksanaannya bagi tahun kedua akan menjadi lebih berkesan.

Bagi pelajar pula sudah tentu merasa kecewa jika matlamat untuk mendapat keputusan banyak A tidak tercapai. Mereka perlu diberi penjelas­an tentang perbezaan PT3 dan PMR. Apakah perkara penting yang diambil kira jika ingin mendapat keputusan cemerlang dalam PT3? Melalui kefahaman itu sudah tentu mereka akan membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Sementara itu ibu bapa melalui usaha sama PIBG hendaklah mendapat penjelasan terhadap perubahan format peperiksaan. Ramai menyatakan kebimbangan anak mereka sukar memasuki Tingkatan 4 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Difahamkan bahawa keputusan PT3 boleh diguna pakai di samping menduduki pe­periksaan khas yang akan diadakan untuk memasuki sekolah berkenaan.

Penulis yakin bahawa ketika ini pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan sedang mengambil tindakan mengatasi segala isu yang disuarakan oleh pelajar dan ibu bapa.

Natijahnya usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan perlu mendapat penerimaan semua pihak. Oleh itu semua kita harus menerima sistem peperiksaan baharu iaitu PT3 itu.

Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA. Alimuddin Mohd. Dom Utusan Malaysia Rencana 05 Januari 2015 12:59 AM

Tags: assessment, exam, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments