kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Empati yang hilang

TAHUN 2014 kita tinggalkan dengan pelbagai pencapaian dan tidak kurang juga dengan kegagalan. Pencapaian harus diraikan dengan menambah baik perancangan untuk 2015 dan kegagalan harus dijadikan pengajaran supaya tidak diulang kesilapannya.

Jika kita renung dan perhatikan tahun 2014 penuh dengan pergolakan yang menggoncang perpaduan antara kumpulan etnik di negara ini. Rata-rata pemimpin masyarakat dilihat memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik masing-masing kerana boleh dikatakan semua kumpulan etnik merasakan mereka adalah kumpulan yang terpinggir. Mereka merasa bahawa mereka terpinggir dari segi ekonomi, tertindas dari sudut kebebasan beragama dan dikekang dari sudut hak untuk bersuara.

Perpaduan seperti sesuatu yang hanya wujud pada ketika dan ke­adaan sahaja, tatkala kita bersorak menyokong pasukan bola negara, melihat Nicol David berjuang di lapangan skuasy, bersama memilih barangan jualan murah di pusat beli-belah, bermain di pusat rekreasi atau taman tema atau makan di bawah satu bumbung di kedai mamak atau nasi kandar.

Semangat bersepadu menyo­kong wujud pada saat dan ketika itu sahaja dan setelah selesai akti­viti tersebut maka berbondong-bondonglah kita pulang ke pangkuan komunal masing-masing dan secara langsung kembali ke keadaan sediakala yang penuh rasa ketidakpuasan malah kebencian yang ada.

Malah perpaduan tampak wujud ketika negara menghadapi bencana. Di saat MH370 hilang , MH17 ditembak jatuh di Ukraine dan tragedi banjir yang sedang berlaku kini yang membawa semua lapisan masyarakat untuk keluar menghulurkan bantuan sama ada moral atau wang ringgit dan tenaga sukarela.

Sekali lagi pada saat dan ketika ini semua nampak bersatu hati tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sama-sama cuba sedaya mampu untuk membantu. Yang pasti setelah semuanya kembali kepada sediakala, kita juga akan kembali kepada perasaan ketidakpuasan dan kebencian.

Jika kita merenung kembali tatkala negara darurat, perkara yang sama juga berlaku di mana kita semua bersama-sama bersatu melindungi antara satu sama lain daripada kekejaman Jepun dan Komunis. Setelah Jepun dan Komunis dikalahkan, kita bersama-sama berjuang untuk memerdekakan negara ini daripada British.

Agaknya apakah rahsia perpaduan perjuangan kemerdekaan ketika itu yang mana semua bangsa bersatu di dalam matlamat yang sama untuk memerdekakan negara ini? Kita sama-sama mencorak intipati dan kandungan Perlembagaan negara yang secara nyata dan jelas memberi hak kepada semua bangsa demi negara bangsa Malaysia merdeka. Perlembagaan yang menjadi panduan kepada negara semenjak merdeka sehingga sekarang masih utuh dan padu kerana penghasilannya berlandaskan empati dan bukan simpati.

Penghasilan Perlembagaan negara tidak berlandaskan simpati kepada bangsa Melayu yang berjuang bermati-matian untuk merdeka atau simpati kepada bangsa Cina dan India yang tiada kerakyatan setelah dibawa secara paksa dari negara asal sebelum merdeka tetapi ia adalah kerana empati.

Semua bangsa berjuang dengan berlandaskan empati di mana hak dan kepentingan semua etnik diambil kira secara holistik. Sifat kefa­haman yang tinggi terhadap kehendak dan keperluan semua pihak yang merangkumi isu-isu sensitif seperti agama dan budaya. Mereka memahami keperluan dari kedua-dua sudut dan menilai apa yang perlu dipertahankan dan apa yang perlu dilepaskan. Maka terhasillah persetujuan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan semua hak orang Melayu dan keperluan semua etnik lain di dalamnya demi mewujudkan negara bangsa.

Sifat empati yang tinggi daripada bukan Melayu terhadap hak bangsa Melayu sebagai rakyat di bawah naungan Raja Melayu sebelum merdeka yang mempunyai hak yang khusus. Mereka sedar mereka yang dibawa oleh British datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat di bawah naungan Raja Melayu, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu ketika itu.

Atas kefahaman empati juga orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat di bawah naungan Raja Melayu dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

Tatkala British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal maka perkara-perkara tersebut dimasukkan sebagai intipati Perlembagaan.

Justeru, rakyat khususnya kaum-kaum lain dengan semangat empati sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, bangsa Melayu juga bersetuju de­ngan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut, termasuk kewarganegaraan untuk bukan Melayu; hak mempelajari dan menggunakan bahasa mereka untuk tujuan-tujuan bukan rasmi; dan hak untuk mengamalkan agama masing-masing.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuat kuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Maka dengan pendekatan empati Melayu dan bukan Melayu, Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perun­tukan perkara ini diwartakan.

Dengan semangat empati untuk mencari ekuilibrium atau keseimbangan juga menjelaskan kenapa Perlembagaan Persekutuan perlu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Ketika itu semua pihak melihat dari lensa empati tulen yang memikirkan keperluan ke arah ke­seimbangan keperluan semua pihak dan negara bangsa. Tetapi sejak 2014 terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan Perlembagaan negara terutama Artikel 153 adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah hilang sifat empati.

Ramai yang tidak mahu melihat Perlembagaan dari sudut empati akan jahil tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, apa yang boleh dibincangkan dan apa yang tidak perlu dibahaskan lagi mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting undang-undang sedia ada telah diguna pakai sejak dulu dan sudah dipersetujui bersama.

Panggilan terhadap pindaan Perlembagaan yang tidak berlandaskan empati akan mencorak jalan kemusnahan negara bangsa. Malah kenya­taan menggesa kerajaan agar memansuhkan Artikel 153 juga memperlihat dengan jelas empati yang hilang.

Empati hilang bukan sahaja dalam perkara yang serius seperti hak dan tanggungjawab sebagai rakyat malah juga dalam kehidupan harian. Hal-hal hubungan kekeluargaan yang mana nilai murni sema­kin terhakis dengan peristiwa seperti penderaan anak, keganasan rumah tangga dan kadar penceraian yang tinggi mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat dan bangsa.

Empati di kalangan jiran tetangga dan masyarakat setempat menjadi luntur akibat fahaman politik, kepentingan ekonomi, semangat komunal yang tinggi dan kepenting­an diri. Ia mengakibatkan wujud­nya perasaan kendiri yang memupuk semangat tidak ambil tahu dan ambil peduli hal orang lain.

Hak dan tanggungjawab terhadap undang-undang seperti undang-undang jalan raya amat menyedihkan ketika ini kerana rata-rata pengguna jalan raya tidak meng­endahkan langsung hak pengguna lain. Tiada empati di jalan raya kita kerana pengguna hanya takut pada penguat kuasa. Tiada rasa hormat mengikut hierarki siapa yang lebih besar sepatutnya memberi laluan kepada yang lebih kecil seperti pemandu kenderaan berat memberi laluan kepada kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal. Pejalan kaki dan yang berbasikal perlu diberi keutamaan di jalan raya.

Sifat tidak bertanggungjawab terhadap alam telah mengakibatkan bencana alam yang dahsyat di negara ini seperti tanah runtuh di Cameron Highlands dan gejala hakisan tanah akibat pembalakan tanpa batasan. Oleh kerana tiada sifat empati juga banjir melanda negara akibat kerakusan pembangunan yang tidak terkawal yang memusnahkan alam semula jadi. Kemarau panjang yang berlaku juga adalah kerana ketidakprihatinan pembangunan di kawasan tadahan air yang merosakkan sistem ekologi.

Kita hilang pertimbangan untuk memahami bahawa kita dan alam sekitar perlu wujud seiringan dan keseimbangan di dalam kepelbagaian.

Empati pemimpin kepada rakyat terhakis apabila kepentingan politik mendahului segalanya. Kerosakan kepada negara akibat sifat tamak dan gila kuasa menyebabkan hak rakyat dinodai dan memporak-perandakan negara bangsa. Kegilaan individu dan kumpulan yang bergerak secara komunal memecahbelahkan rakyat hanya dari sudut politik malah kumpulan-kumpulan kecil berbentuk ideologi yang ekstrem.

Empati mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka bererti daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Sifat melihat keperluan dan kepentingan kedua-dua pihak adalah perlu kerana akan membuka minda ke arah penyelesaian holistik yang tidak individualistik atau komunalistik. Kembalilah menyelami roh pewujudan Perlembagaan negara. Marilah kita menjadikan empati sebagai budaya hidup negara bangsa Malaysia pada tahun 2015.

Raflly Nann ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan 1 Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 5 Januari 2015

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments