kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Chetti, komuniti kecil, unik

PENERIMAAN adat dan budaya Melayu bukan sahaja wujud dalam kalangan masyarakat dari negara China yang dipanggil Baba Nyonya malah warga India turut menerimanya menjadikan mereka sebuah komuniti bergelar Chetti.


ANAK-ANAK masyarakat Chetti tidak dihantar ke sekolah aliran Tamil menyebabkan mereka tidak mahir bahasa tersebut meskipun beragama hindu.

Chetti membawa maksud pedagang, gelaran sesuai dengan masyarakat dari India yang datang ke Tanah Melayu sekitar tahun 1330-an hingga 1340-an.

Sebelum mendalami sejarah Chetti, banyak gelaran telah diberikan kepada kumpulan pedagang itu seperti ‘setu’ dalam bahasa tamil yang turut membawa maksud pedagang. Kemudian, ia telah ditukar kepada Chitty dan akhirnya dipanggil sebagai Chetti.



AKORDION salah sebuah alat muzik masyarakat Chetti yang dimainkan dalam sambutan perayaan mereka

Menyingkap sejarah komuniti kecil ini, masyarakat Chetti merupakan pedagang yang datang ke Tanah Melayu dari sebuah daerah di negara India iaitu Kalinggapatinam.

Sejarah kedatangan masyarakat Chetti hampir sama dengan komuniti Baba Nyonya iaitu datang ke Tanah Melayu melalui Indonesia dan berdagang. Antara barang-barang yang didagangkan ketika itu ialah rempah-ratus, barangan tembaga, kain dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, persamaan yang ketara dalam sejarah Chetti dan Baba Nyonya ialah semua yang terlibat dalam perjalanan dari negara masing-masing ke Tanah Melayu adalah kaum lelaki, sementara wanita dipercayai tidak ikut sama kerana cabaran dalam perjalanan dikatakan tidak sesuai bagi mereka.



K. Supramania Pillay

Melaka bukanlah satu-satunya tempat yang dituju, kerana menurut Pengerusi Persatuan Komuniti Chetti Melaka, K. Supramania Pillay (gambar), dalam kumpulan yang besar, para pedagang telah berpecah menuju ke Kedah dan Singapura.

“Semua kaum lelaki sahaja berlayar dan berdagang, dalam kelompok besar itu sebahagian sahaja yang datang ke Melaka berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap. Namun, ada juga yang tidak berkahwin dan pulang ke India.

“Setibanya masyarakat Chetti di Melaka, sebelum kedatangan Portugis, mereka telah membuka penempatan di pinggir Sungai Melaka dan diberi nama Kampung Keling.

“Apabila Portugis mendarat di Melaka, mereka telah berpindah ke kawasan penempatan sekarang ini yang dipanggil Kampung Chetti, sementara itu sumber ekonomi masyarakat Chetti turut berubah daripada perdagangan kepada pertanian,” katanya sewaktu ditemubual S2.

Tambah beliau, penempatan asal masyarakat Chetti kini telah berubah menjadi Lorong Hang Jebat terletak berhampiran dengan pasar malam Jonker Walk.



KAMPUNG Chetti pernah dilanda banjir pada tahun lepas ekoran pembangunan di kawasan sekeliling telah mengganggu sistem saliran.

Menurut K. Supramania, masyarakat Chetti tidak bermusuh dengan sesiapa, mereka sentiasa bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah.

“Orang Chetti memang mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua orang sama ada Melayu, Cina, Indonesia ataupun bangsa-bangsa dari negara barat.

“Sebagai bukti, masyarakat Chetti berkahwin dengan wanita tempatan serta menerima adat-adat dan budaya orang Melayu termasuklah belajar bertutur dalam bahasa Melayu.

“Apabila kemasukan Portugis, mereka tidak bermusuh dengan kerajaan Portugis yang menjajah Melaka pada 1511 malah ada di antara komuniti kami dilantik sebagai Naina Chittu iaitu Bendahara masa pentadbiran Portugis,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, banyak nilai adat serta budaya masyarakat Melayu diterapkan dalam kehidupan seharian seperti pakaian, makanan dan ciri-ciri kebudayaan lain.

Penerimaan tersebut telah menjadikan mereka begitu unik dan berbeza dengan masyarakat India lain.

“Kami memakai baju Melayu labuh dan berkain sarung (pelekat) sementara wanita pula mengenakan kebaya labuh, kain batik dan bersanggul.

“Tentang makanan pula, kita semua dekat sini makan asam pedas, kari ayam, kuah pindang serta lauk campur-campur, cencaru goreng cili, sayur kacang goreng minyak, ikan parang goreng cili dan banyak lagi macam awak juga,” selorohnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang keunikan Kampung Chetti, K. Supramania menambah, terdapat penganut agama Hindu, Islam dan juga orang Cina tinggal di kampung tersebut.

“Walaupun cuma terdapat lebih kurang 30 hingga 40 buah rumah, tidak semua yang tinggal disini adalah orang Chetti. Ada orang Melayu yang tinggal dekat sini sebab mereka berkahwin dengan penduduk asal kampung ini.

“Jadi, lantaran penerimaan dan perkahwinan dengan orang Melayu, di Kampung Chetti ini kami mengamalkan adat dan budaya orang Melayu termasuklah beberapa pantang larang seperti anak perempuan tidak boleh keluar malam dan sebagainya,” katanya sambil meninjau Kampung Chetti yang diwartakan sebagai Kampung Warisan pada tahun 2002.

Tags: budaya, etnik, kaum
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments