kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pelajar cemerlang aset berharga negara

Jika kita mengunjungi beberapa laman sesawang, kita dapati ada antara pelajar pintar dari negara ini mengecam sistem pendidikan negara kerana mendakwa konon berlakunya ketidakadilan terhadap mereka.

Kecemerlangan mereka dalam peperiksaan seolah-olah tidak diiktiraf kerana dinafikan peluang melanjutkan pelajaran menggunakan biasiswa kerajaan. Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa melanjutkan pengajian di negara lain dengan perbelanjaan sendiri atau tajaan pihak lain. Benarkah dakwaan mereka atau sejauh mana `ketidakadilan' itu wujud?


Pelajar menunjukkan uji kaji sains dalam makmal di hadapan Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan (dua dari kiri) dan Rosmah, di Pusat PERMATA Pintar Negara, UKM Bangi. - Foto Abdullah Yusof

Mereka mendakwa keputusan peperiksaan mereka lebih baik berbanding beberapa pelajar Bumiputera yang lain. Bagaimanapun, disebabkan polisi kerajaan sedia ada serta hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka hak untuk mereka mendapatkan layanan sama rata, telah diketepikan. Lebih mendukacitakan ialah menjadikan kepemimpinan kerajaan sedia ada sasaran melepaskan ketidakpuasan hati mereka.

Dalam konteks ini, penulis bukanlah hendak menyebelahi mana-mana pihak. Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patuh kepada undang-undang, perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, usahlah dipertikaikan. Malah itu adalah antara syarat ditetapkan dan dipersetujui semua kaum ketika mendapatkan kemerdekaan daripada British dahulu.

Apa-apapun, biarlah pihak berwajib yang menyelesaikan isu ini. Penulis yakin kerajaan mempunyai justifikasi serta mekanisme tertentu bagi menangani perkara ini.


Program PERMATA diwujudkan selari dengan keperluan pelajar pintar dan berbakat. - Gambar hiasan

Takrif pelajar pintar

Sebenarnya, dalam hal ini, penulis lebih berminat menyentuh berkaitan pelajar pintar atau cerdas ini. Justeru, eloklah kalau kita melihat apakah yang ditakrifkan sebagai pelajar pintar atau pelajar cerdas ini?.

Pelajar pintar adalah mereka yang mempunyai beberapa kelebihan tertentu sejak kecil lagi. Ciri-ciri ini tidak ada pada kanak-kanak lain yang sebaya atau lebih kurang seusia dengan mereka. Antara ciri-ciri itu ialah:

l Memiliki sikap ingin tahu yang tinggi;

l Bersikap kritis kepada diri sendiri dan orang lain;

l Berupaya melihat hubungan yang wujud antara beberapa pendapat atau pandangan berbeza, dan menghasilkan pelbagai idea dari satu rangsangan yang spesifik yang memerlukan persekitaran pembelajaran yang sangat mencabar;

l Sukar menerima kenyataan tidak konkrit, jawapan atau penilaian yang diberi atau dibuat orang lain;

l Memiliki persepsi berlainan terhadap persekitaran dan

l Peka kepada ketidakadilan pada tahap peribadi dan global.

Memang tidak dinafikan, pendidikan adalah antara bidang yang paling utama dalam pembangunan negara. Malaysia memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Memiliki ramai rakyat yang genius adalah aset besar kepada negara.

Namun, pada masa sama keadaan ini memberikan sedikit 'cabaran', bukan sahaja kepada ibu bapa, malah juga kepada kerajaan bagi menyediakan pelbagai infrastruktur untuk pelajar pintar ini.

Golongan pelajar pintar ini memerlukan sistem pendidikan yang berbeza dengan pelajar lain. Tahap kecekapan serta IQ (Intelligent Quotient) yang tinggi menyebabkan ada antara mereka sukar menyesuaikan diri dengan komuniti sekeliling. Sebahagian besar mereka cepat bosan dengan sistem pendidikan sedia ada kerana tidak dapat memenuhi cita rasa serta cabaran yang mereka perlukan. Disebabkan itu, pelajar berkenaan memilih belajar sendiri di rumah kerana ada ibu bapa berasakan sistem pendidikan sedia ada tidak cukup mencabar, tidak memenuhi keperluan anak mereka.

Bagaimanapun, memiliki ciri-ciri sedemikian belum tentu menjanjikan masa depan yang cerah. Kesilapan diri sendiri atau tiadanya kawalan mahupun bimbingan daripada pihak tertentu, pelajar pintar boleh menemui kegagalan dalam hidup. Ibarat kata pepatah `kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Cermin muka yang sentiasa berkilat dan setiap hari digunakan, lama kelamaan akan pudar juga jika tidak dijaga dan dibersihkan.


Pelajar pintar miliki bakat berbeza dengan pelajar biasa.

Tahap pendidikan berbeza

Bukan sahaja tahap pendidikan mereka berbeza, malah cara mereka berkomunikasi juga sudah tentu mempunyai pendekatan berbeza. Harus diingat, komunikasi bukanlah setakat berinteraksi bersemuka atau tidak bersemuka dengan seorang individu atau lebih, malah ia lebih daripada itu. Bahkan jika dalam sesebuah organisasi, komunikasi berlaku dari atas ke bawah, bawah ke atas, dan sama aras. Ini belum lagi mengambil kira mengenai halangan lain, seperti rasa tertekan, rasa marah dan sebagainya.

Justeru, pelajar sebegini memerlukan individu atau kumpulan tertentu yang dapat membimbing mereka dalam menangani beberapa kekurangan serta tekanan yang dihadapi. Bantuan lebih berupa teknik atau kaedah selain tunjuk ajar yang betul secara lebih efektif.

Dalam hal ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Pusat PERMATA Pintar Negara pada tahun 2010. Objektif penubuhannya ialah membantu pelajar terbabit menghargai kelebihan serta bakat yang mereka miliki dengan lebih sistematik.

Penekanan akan lebih difokuskan kepada pengaplikasian pemikiran kritis dan kreatif serta penyelesaian masalah. Ini bertujuan memberi kebebasan kepada pelajar pintar mempraktikkan pembelajaran sendiri dengan bimbingan guru terlatih yang bertindak sebagai fasilitator untuk membangun dan mengembangkan personaliti mereka.

Ketika menyampaikan ucap utama dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Untuk Pelajar Pintar dan Berbakat 2014 di Pusat PERMATA Pintar Negara, UKM, baru-baru ini, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pelajar pintar mempunyai kepelbagaian dimensi serta memerlukan bentuk pembelajaran berbeza, justeru tidak sepadan jika mereka ditempatkan dalam sistem pembelajaran dan persekitaran yang biasa bersama dengan pelajar lain.

Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA menegaskan, pendekatan pembelajaran yang diguna pakai melalui Program Permata adalah selari dengan keperluan pelajar pintar dan berbakat kerana program itu bukan setakat memberi tumpuan kepada silibus, malah turut memfokuskan proses pembelajaran dan persekitaran yang mampu membantu pelajar itu bagi menghargai bakat yang dimiliki mereka.

Apa yang perlu difikirkan oleh Kementerian Pendidikan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan pula ialah bagaimana untuk menyediakan platform pula kepada pelajar pintar ini untuk meneruskan pengajian mereka kelak.

Cukupkah sekadar dengan prasarana pendidikan, termasuk jumlah serta kualiti pensyarah sedia ada, sudah boleh memenuhi keperluan yang diinginkan oleh pelajar terbabit? Bagaimana pula dengan bidang pengajian yang perlu ditawarkan?


Pelajar menerima biasiswa pendidikan di Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Gambar hiasan

Ambil kira masa depan pelajar pintar

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan, IPTA dan IPTS perlu duduk semeja dan meneliti kembali segala perancangan yang terkandung dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN). Jika ada keperluan, PSPTN sewajarnya diberikan sedikit penambahbaikan atau pengubahsuaian dengan turut mengambil kira masa depan pelajar pintar.

Setiap IPTA atau IPTS, tidak kiralah sama ada universiti penyelidikan, universiti pengajaran, atau universiti teknikal, masing-masing perlu meletakkan visi pendidikan yang lebih jauh serta ruang lingkup yang lebih luas demi penjanaan bakat pelajar-pelajar pintar ini. Mereka adalah permata negara dan jika gemerlap mereka, maka bergemerlapanlah pendidikan negara. Kita tidak mahu bakat dan kelebihan yang mereka miliki, tidak diuruskan dengan sewajarnya. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kita menggigit jari jika permata yang dimiliki ini, akhirnya dimanfaatkan oleh negara lain.

Tags: cemerlang, pelajar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments