kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tun Abdul Rahman Ya’kub meninggal dunia

KUCHING 9 Jan. - Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya’kub, 87, yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah di sini sejak beberapa minggu lalu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Datuk Khir Busrah berkata, tokoh politik veteran itu difahamkan meninggal dunia akibat sakit tua.

Abdul Rahman yang dilahirkan pada 3 Januari 1928, telah dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Datuk Tawi Sli pada 7 Julai 1970.

Kemudian pada 26 Mac 1981 Allahyarham meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Dipertua Negeri Sarawak).

Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak Ketiga pada 2 April 1981 dan memegang jawatan itu bagi tempoh empat tahun.

Pada peringkat Persekutuan, beliau pernah menganggotai Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Perlombongan pada 1960. - UTUSAN ONLINE Berita 9 Jan 2015


'Peristiwa Ming Court' masih diingati

KUCHING - Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kub yang dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu, merupakan Ketua Menteri Sarawak yang ketiga (1970-1981) dan bapa saudara kepada Yang Dipertua Negeri sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud.
Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub


Terkenal dengan kehebatannya berpidato, Allahyarham meninggalkan kesan cukup besar dalam agenda pendidikan negara walaupun menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam tempoh yang hanya setahun pada 1969, dengan langkah beraninya menukar bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam negara kepada bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia.

Beliau adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.

Pada tahun 1963, beliau dilantik sebagai Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, sebelum ke jawatan menteri Muda Kementerian Kehakiman pada tahun berikutnya, Menteri Tanah dan Galian Persekutuan pada tahun 1965 dan Menteri Pelajaran pada tahun 1969.

Allahyarham mendapat mandat ke jawatan Ketua Menteri pada tahun 1970 selepas memenangi pilihan raya pertama Sarawak pasca pembentukan Malaysia dan menerajui kepimpinan negeri selama 11 tahun, sebelum dinobatkan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keempat antara tahun 1981 dan 1984.

Bermula dengan kerjaya sebagai Pegawai Bumiputera (percubaan) dalam perkhidmatan tadbir Sarawak pada tahun 1948, Allahyarham meniti arus pentadbiran kerajaan satu persatu, sebelum meletak jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Jabatan Undang-undang Sarawak, pada tahun 1963 untuk menceburi politik.

Allahyarham merupakan bumiputera pertama dari Sarawak memiliki kelulusan Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn, London pada tahun 1958, dan terlibat secara langsung dalam membimbing ramai pemimpin serta tokoh politik semasa di Sarawak dalam arena politik negeri.

Antara peristiwa besar yang dikaitkan dengan Allahyarham di bumi Kenyalang termasuk penglibatannya dalam usaha memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat, sekali gus melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman, yang menyaksikan ancaman komunis dipatahkan pada tahun 1974.

Selain itu, antara yang paling diingati pastinya berkisar kepada "Peristiwa Ming Court" pada tahun 1987 yang dianggap ramai sebagai pertembungan antara Allahyarham dengan Abdul Taib, Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Sejarah yang terpahat menyaksikan Allahyarham mengetuai sekumpulan Adun berhimpun di Hotel Ming Court, Kuala Lumpur dan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Taib sebagai ketua menteri ketika itu.

Rentetan peristiwa berikutnya menyaksikan Allahyarham mengetuai gabungan pembangkang yang melibatkan Pertubuhan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi mencabar Barisan Nasional negeri diketuai Abdul Taib dalam pilihan raya negeri 1987, namun mereka tewas, dan Abdul Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak paling lama menerajui kepimpinan negeri, dari tahun 1981 sehingga 2004.

Dalam satu temu bual dengan sebuah media pada tahun 2008, Allahyarham mengakui bahawa kesihatannya semakin merosot pada tahun 1980 sehingga membawa kepada pembedahan jantung di London dan beliau sendiri menyuarakan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Empat tahun selepas dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri, Allahyarham tetap dengan keputusannya untuk berundur disebabkan faktor kesihatan dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan beliau lebih memberi tumpuan kepada acara-acara keagamaan.

Perdamaian dengan anak saudaranya, Abdul Taib dilihat semakin ketara menjelang ketibaan alaf baru, sebagaimana yang pernah diungkap oleh Allahyarham sendiri "Air dicincang tidak akan putus".

Pada tahun 2003, satu laporan Bernama menyebut bahawa kebanyakan jemaah di Masjid Jamek Petra Jaya di Kuching hampir tidak percaya apabila melihat Allahyarham bersalaman dan berpelukan dengan Abdul Taib selepas menunaikan solat Jumaat, dan ia dilaporkan sebagai "dipercayai kali pertama kedua-dua bersaudara itu dilihat saling bertegur sapa dan bersalaman di khalayak ramai selepas sekian lama".

Allahyarham juga merupakan Yang Dipertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi, Pakistan.

Semenjak bersara daripada politik, Allahyarham masih aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lapan anak perempuan.

Seorang daripada anaknya, Datuk Norah, merupakan Adun Tanjung Manis, manakala seorang lagi, Khadijah, merupakan menantu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Isteri pertama Allahyarham, Toh Puan Normah meninggal dunia pada tahun 1983. - Bernama
Tags: tokoh
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments