DR. Jeniri Amir, 56, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ada nostalgia dengan Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub yang kembali ke rahmatullah kerana sakit tua dalam usia 87 tahun malam kelmarin.
Abdul Rahman Ya'kub |
Pensyarah Program Kajian Komunikasi di Fakulti Sains Sosial Unimas itu masih ingat sekitar 70-an bagaimana dia seorang anak miskin dari Kampung Tellian, Mukah menulis surat kepada Abdul Rahman, yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak untuk memohon biasiswa sebanyak RM15 sebulan daripada Yayasan Sarawak.
“Surat bertulisan tangan itu saya catatkan atas kertas buku latihan.
“Jawapannya dalam surat itu telah benar-benar mengubah nasib saya,” kata Jeniri kepada Mingguan Malaysia semalam.
Allahyarham akan diingati kerana kejayaannya meletakkan batu asas untuk pembangunan Sarawak setelah berjaya membentuk kerajaan campuran daripada pelbagai parti pada 7 Julai 1979, yang sebelum itu Allahyarham memujuk komunis kembali ke pangkuan masyarakat di negeri itu pada 1974.
Selain itu, antara yang paling diingati pastinya berkisar kepada Peristiwa Ming Court pada 1987 yang dianggap ramai sebagai 'pertembungan politik' antara Allahyarham dengan anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ketika itu.
Di peringkat nasional, Tun Abdul Rahman melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tokoh dari Sarawak yang bertindak meyakinkan rakyat Sarawak dan membina sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia.
“Beliau dilantik ke peringkat Pusat untuk menyandang beberapa jawatan penting negara dan antara jasa besarnya ketika menjadi Menteri Pelajaran. Walaupun menyandang jawatan itu hanya setahun pada 1969, Allahyarham dengan langkah beraninya melaksanakan peralihan bahasa pengantar daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu di sekolah dan institusi pengajian tinggi secara berperingkat melalui penggubalan Dasar Pelajaran Kebangsaan,” kata Jeniri.
Selain itu, atas komitmen dan penyeliaannya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 1970 dan beliau juga yang mengilhamkan perlunya Malaysia mempunyai syarikat minyak sendiri, Petronas.
Generasi muda hari ini juga tidak tahu bahawa Allahyarham jugalah yang telah menghapuskan peperiksaan common entrance Darjah 6. Suatu ketika, mereka yang hendak melangkah ke tingkatan satu perlu melepasi peratusan tertentu dalam penilaian.
“Dasar tersebut mewujudkan sekatan dan ia didapati kurang sesuai untuk diteruskan. Sejak pemansuhannya, ribuan pelajar berjaya masuk ke tingkatan satu,” kata Jeniri.
Dalam satu temu bual dengan sebuah media pada 2008, Tun Abdul Rahman mengakui bahawa kesihatannya semakin merosot pada 1980 sehingga membawa kepada pembedahan jantung di London.
Dan beliau sendiri menyuarakan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri (1970-1981) kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.
Empat tahun selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketiga pada 2 April 1981, Allahyarham tetap dengan keputusannya untuk berundur disebabkan faktor kesihatan.
Sejak bersara daripada politik, Allahyarham masih aktif dalam mengajar ilmu agama dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lapan anak perempuan. Seorang daripada anaknya, Datuk Norah merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Manis manakala seorang lagi, Khadijah adalah menantu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Isteri pertama Allahyarham, Toh Puan Normah meninggal dunia 1983.
Jeniri yang sedang menyiapkan biografi Allahyarham memberitahu, Tun Abdul Rahman harus menjadi cerminan inspirasi kepada anak muda masa ini tentang bagaimana anak kepada seorang nelayan, Wan Ya’kub Wan Yusuf dan pasangannya, Siti Hajar Mohd. Tahir boleh bangkit sehingga menjadi seorang pemimpin berpengaruh.
Cucu Allahyarham, bekas Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menitipkan kepada penulis:
“Arwah cukup kuat pegangan sunnahnya, diwasiatkan tiada pengebumian negara, disolatkan ikut sunnah, tiada perarakan, tiada bunga dan tiada bendera rasmi.”
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan para solihin. Al-fatihah.