kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bapa Perpaduan Sarawak

Di sebalik tubuhnya yang kecil, mungkin tidak ramai mengetahui Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub berkemahiran tinggi dalam pelbagai seni mempertahankan diri, termasuk Aikido dari Jepun.

Kecenderungan terhadap seni mempertahankan diri itu turut membawa kepada pertemuannya dengan pengasas Aikido, Morihei Ueshiba.

Malah, seni mempertahankan diri itu juga membentuk keperibadiannya, selain menjadikan beliau seorang yang berjiwa kental dan cekal dalam menghadapi jatuh bangun dalam arena politik sehingga muncul sebagai tokoh disegani.


Tun Abdul Rahman Ya'kub(3 Januari 1928 hingga 9 Januari 2015) - Foto BERNAMA

Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-4 menghembuskan nafas akhirnya di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya pada jam 9.30 malam kelmarin kerana sakit tua, genap seminggu selepas meraikan ulang tahunnya ke-87 pada 3 Januari lalu.

Sumbangan besar kepada negeri dan negara

Pemergian Allahyarham, yang memegang jawatan itu dari 2 April 1981 hingga 2 April 1985, bukan saja dirasakan oleh anggota keluarganya, bahkan segenap lapisan rakyat berikutan sumbangan besarnya kepada negeri dan negara.

Ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 dari 7 Julai 1970 hingga 2 Mac 1981, tokoh kelahiran Kampung Jepak, Bintulu ini banyak menyumbang kepada perubahan landskap negeri, terutama dalam konteks pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat.

Era kepemimpinan beliau juga disifatkan paling mencabar berikutan 'usia kemerdekaan' Bumi Kenyalang yang masih muda ketika itu, selain turut dibelenggu isu kemiskinan, masalah konfrontasi dan ancaman komunis.

Dilahirkan pada 3 Januari 1928, Allahyarham adalah tokoh yang memiliki episod hidup yang menarik dan warna-warni sejak kecil sehingga menjadikan beliau pemimpin politik berjiwa kental.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anchi, Miri. Ayah Allahyarham mahukannya menjadi tokoh agama dan belajar di Madrasah Arab Al-Juned pada tahun 1939, tetapi dibangkang oleh ibunya yang tidak dapat berjauhan dengannya. Beliau kemudian ditukarkan ke Sekolah St Joseph, Miri, tetapi pembelajarannya terbantut berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua.

Abdul Rahman pernah bekerja sebagai penguji minyak untuk Syarikat Shell Sarawak dan menjadi guru sandaran di Kuching sebelum diterima sebagai Pegawai Hal Ehwal Bumiputera dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada tahun 1948.


Abdul Rahman rapat dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Southampton, England dalam jurusan undang-undang sebelum muncul sebagai Bumiputera pertama Sarawak yang lulus sebagai peguam daripada Lincoln's Inn pada tahun 1958. Sekembalinya ke tanah air, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Undang-Undang Sarawak dari tahun 1959 hingga 1963.

Potensi Allahyarham menarik minat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman hingga membawanya ke bidang politik apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Galian.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran, dengan sumbangan terbesarnya mengilhamkan penukaran medium Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu bagi sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui 'Laporan Rahman.' Malah, Allahyarham juga antara individu yang menyumbang idea kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970.

Beliau juga antara pemimpin yang lantang mencadangkan perlunya Malaysia mempunyai syarikat minyak sendiri hingga menyaksikan penubuhan PETRONAS pada tahun 1976 yang membawa kemakmuran ekonomi negara hingga kini.

Di bawah kepemimpinan Tun Abdul Razak, Allahyarham diarahkan kembali ke Bumi Kenyalang bagi 'menyelamatkan' kerajaan negeri berikutan pemecatan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan lantaran krisis politik ketika itu.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1969 (yang diadakan pada 1970) atas tiket Parti Bumiputera Sarawak (Bumiputera) yang menjadi sekutu Perikatan Sarawak.

Tokoh berkarisma

Selepas pilihan raya itu, tiada parti yang bertanding memperoleh majoriti kukuh dan Abdul Rahman dengan kebijaksanaan, karisma dan sokongan Kerajaan Persekutuan meyakinkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk menyertai gabungan Perikatan Sarawak. Kejayaan itu meletakkan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 - seorang Melayu-Melanau beragama Islam untuk kali pertama.

Perintis usaha perdamaian dengan pihak komunis

Pada peringkat pentadbiran negeri, antara sumbangan terbesar Allahyarham yang direkodkan ialah kejayaan merintis usaha perdamaian dengan pihak komunis di Sarawak. Melalui Operasi Sri Aman pada tahun 1974, Abdul Rahman berjaya meyakinkan Bong Kee Chok, pemimpin Parti Rakyat Kalimantan Utara untuk bersama 482 gerila komunis diketuainya meletak senjata.

Pada tahun 1981, akibat desakan politik dan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di London, Allahyarham mengumumkan persaraannya daripada politik. Difahamkan, pengunduran itu juga bagi memberi laluan kepada anak saudara kesayangan beliau yang juga anak didiknya, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menerajui kepemimpinan negeri.

Abdul Rahman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-4 menggantikan Tun Abang Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatannya ketika itu.

Ia juga detik bermulanya episod 'percakaran dalaman' Abdul Rahman dan Abdul Taib disebabkan percanggahan pendapat dan salah faham sehingga membawa perubahan besar kepada senario politik negara, sekali gus pada tahun 1987, beliau menubuhkan parti baharu, Parti Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) yang berusaha menyingkirkan Abdul Taib dan bergabung dengan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang juga serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Ketika semua pihak menyangka hubungan bapa dan anak saudara ini begitu keruh, mereka bertemu dan berpelukan pada sambutan ulang tahun Abdul Rahman ke-80 di Hotel Hilton Kuching pada tahun 2008.

Abdul Rahman menyifatkan hubungan darah kedua-duanya adalah lebih pekat berbanding air, malah tidak akan sesekali terputus walaupun pelbagai isu politik dan percanggahan pendapat berlaku antara mereka.

Legasi politiknya kini diwarisi anak perempuannya, Datuk Norah Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis.

Pemergian Allahyarham meninggalkan legasi kepemimpinan gemilang, malah kehilangannya amat dirasai anggota keluarga, pengikut setia dan anak murid beliau. Al-Fatihah.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments