kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah Tun Rahman dan 'Tok Uban'

Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pernah melahirkan hasrat untuk menjadikan salah seorang anak Tun Abdul Rahman Ya'kub sebagai anak angkatnya. Rahman mempunyai lapan anak bersama Toh Puan Normah, semuanya perempuan dan Tun Razak pula mempunyai lima anak, semua lelaki. Bagaimanapun, hasrat itu tidak jadi apabila Normah tidak bersetuju.

Normah meninggal dunia pada tahun 1984 dan secara kebetulan dan ketentuan, beberapa tahun kemudian anak Rahman, Khadijah berkahwin dengan anak Tun Razak, Datuk Mohd Nizam.

Sebenarnya, Rahman begitu rapat dengan Abdul Razak yang pernah disifatkannya sebagai 'orang yang mengajar saya dalam politik' dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pula yang membawanya ke dunia politik. Malah, Rahman pernah ditawarkan untuk bertanding salah satu kerusi Parlimen di Kelantan, mungkin kerana imejnya sebagai orang kuat berdakwah.


Namun, apabila Sarawak berdepan masalah ancaman komunis, Razak mengarahkannya untuk kembali ke negeri asalnya itu dan menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak ketiga pada tahun 1970 sebelum bersara pada tahun 1981.

Abdul Rahman rapat dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Jawatan itu kemudian diambil alih anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud yang juga dikenali dengan panggilan 'Tok Uban' (rambut putih) dan dalam kalangan masyarakat Cina dipanggil 'Pek Moh'. Emak Taib adalah kakak Rahman.


Namun, pada babak awal Taib memerintah, bayangan Rahman masih wujud dan ramai terutama generasi tua masa itu masih teringatkannya, apatah lagi Rahman memang dikenali sebagai seorang pemidato. Beliau boleh berucap berjam-jam di depan khalayak dan pendengar tidak jemu.

Pada tahun 1987, tercetus episod pahit dalam sejarah politik Taib apabila bapa saudaranya itu dikatakan mahu menggulingnya, yang kemudian dikenali sebagai peristiwa 'Ming Court', mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur - tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan beliau.

Taib terpaksa membubar DUN lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis. Sejak itu, hubungan Rahman-Taib dikatakan amat dingin sehinggalah satu majlis meraikan hari jadi Rahman ke-80 di sebuah hotel di Kuching pada Januari 2008. Majlis itu menyaksikan kedua-duanya saling berpeluk, sekali gus memberi gambaran berakhirnya episod bermusuh selama 20 tahun.

Dalam satu temuramah, Tun Rahman menafikan perbalahan itu dan berkata bahawa ia sebenarnya bukan isu besar. Katanya, ada yang buat laporan kepada Taib bahawa beliau akan menggulingkannya dan itu tidak benar sama sekali.

Pernah dalam satu majlis, Rahman berkata bahawa beliau menganggap Taib sebagai anak sendiri - mendukungnya ketika kecil dan pernah kencing atas riba, bagi duit untuk makan minum, belanja sekolah hingga mendesak anak saudaranya itu mengambil jurusan undang-undang meskipun pada mulanya Taib bercita-cita menjadi seorang doktor.

Umur kedua-duanya berbeza lapan tahun dan Rahman lulusan undang-undang dari University of Southampton, United Kingdom iaitu anak Bumiputera Sarawak yang pertama lulusan sebagai peguam, manakala Taib, juga seorang peguam lulusan dari University Adelaide, Australia.

Rahman digelar sebagai 'Kancil Sarawak' kerana kebijaksanaannya tetapi selepas bersara daripada politik, beliau lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti keagamaan, mengajar mengaji dan membuka kelas agama. Beliau amat meminati Aikido. Al-fatihah!
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments